Bulan Ramadhan ini, ramai orang rajin ke Surau. Kalau waktu Siang - jemput singgah ke surau di mana-mana Shopping Complex yang kita terokai. Kalau waktu Malam - jemputlah ke mana-mana Masjid/ Surau yang anda suka. Apa yang paling membuat jiwa lara adalah Bau Telekong! Kakak saya pesan, kita bawa telekong sendiri/ pakai tudung yang sesuai jadi telekong. Tapi mata tak boleh lepas dari tengok keadaan telekong wakaf.

Kepada pengurus yang bertugas menjaga dan mentadbir Masjid/ Surau:

1] Sediakan penyidai yang tinggi dan hanger untuk menyidai telekong - lebih mudah untuk mengering dan kemas.
2] Sediakan juga pengudaraan yang sesuai - Saya maklum ada surau terutama di bangunan yang diurus oleh mereka yang bukan beragama Islam, mungkin kita dapat melihat Surau cukup Sifat sahaja - tak mengapa! Cuma, saya cadangkan, sediakan kipas untuk pengudaraan yang sesuai.
3] Sediakan sahaja Tabung Cuci Telekong - saya percaya semua pengguna akan mengambil kesempatan untuk bersedekah untuk keselesaan sendiri/ amal jariah. Ini kiraan saya:

Katakan:

1 Hari Bekerja = 25 orang pengguna
1 Hari Sabtu/ Ahad = 50 orang pengguna

Maka:
Jika anggapan terdapat 40% pengguna berulang pada hari bekerja; maka, jumlah pengguna setiap minggu adalah 175 orang.

Setiap orang menderma RM 1.00. Seminggu Tabung Cuci Telekong akan kutip RM 175.00. Kutipan keseluruhan sebulan adalah RM700.00.

Sekiranya kita hanya ambil 50% sahaja yang menderma, Jumlah kutipan adalah RM 350.00 per bulan.

Maka, Wahai Pengurus Budiman, anda ada dua pilihan:

Pilihan 1: Hantar Telekong ke Dobi yang diurus oleh seorang Muslim.

Pilihan 2: Lantik mana-mana muslimah menjadi kontraktor membasuh telekong. Kita buka tender pada pekerja kita yang memang suka ke Surau/ ibu tunggal yang perlu sedikit duit tambahan/ mereka yang suka untuk melakukannya.

Kekerapan menghantar - bergantung pada budget dari Tabung Cuci Telekong.

      
Kepada pengguna yang rajin singgah untuk Solat: 

1] Harap cuci muka bersih-bersih sebelum mengangkat wudhu'. Banyak kesan 'forensik' di telekong adalah kesan alat make-up seperti foundation, lipstick dan mascara.

2] Lepas kita guna mana-mana telekong yang kita suka, sidai baik-baik dan lipatkan sejadah kemas-kemas.

3] Ikut undang-undang Surau - Jangan tidur jika ada tulis arahan sedemikian.

4] Jangan kebas barang Surau - Berdosa!

Saya percaya, kita akan lihat perubahannya! Wallahuaklam.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

[Catatan Penulis: Terharu melihat kesungguhan Kakak Cleaner yang menjaga surau di Semua House. Kecil & tersusun. Tahniah! Cuma malu dengan sesetengah pengguna, pakaian kita rupanya tidak memperlambangkan tingginya budi dan akal.]
   

Comments (0)