Saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan Muslimah yang sudah bersuami, jawatan tertinggi kita di dunia ini adalah ISTERI. Ini adalah yang terpenting selepas jawatan kita sebagai Hamba kepada Allah SWT dan Ummat Rasulullah SAW.
Mengenali suami adalah ibarat perjalanan jauh yang terasa dekat pada detik-detik tertentu dan terasa jauh pada detik-detik lain. Yang lebih hebatnya setiap detik itu akan dikira Allah dengan pahala yang besar sebagaimana Syariat Islam yang bersumberkan Hadis Rasulullah. Empat perkara yang dijamin Allah, kita para isteri, perlu lakukan untuk masuk Syurga adalah:
i) Solat fardhu lima waktu
ii) Puasa sebulan di bulan Ramadhan
iii) Memelihara Kehormatan (Aurat)
iv) Mentaati Suami
Berikut adalah sabda Rasulullah SAW
"Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan, memelihara kehormatannya (Aurat) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga" (Riwayat Imam Bazzar melalui Anas RA).
Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Apabila seorang perempuan mengerjakan solat lima waktu, mengerjakan puasa sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatan serta taat suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai" (Hadis Riwayat Ahmad).
Dalam beberapa perbincangan saya dengan pelbagai kumpulan wanita, terdapat sekumpulan yang memang agak berkeras tentang keadilan yang saya pasti ianya datang dari fikiran yang berlandaskan logik semata-mata. Sayangnya, logik ini mengeraskan hati nurani kita untuk tunduk dan patuh pada syariat Allah dan Rasulullah. Antaranya adalah persoalan 'Jika suami boleh, kenapa kita tak boleh'. 'Jika suami dapat, kenapa kita tak dapat'.
Saya hendak kita semua fikir jauh, sekurang-kurangnya pada waktu kewarasan kita adalah 100%, semoga Allah mempermudahkan penghijrahan kita. Saya takut sikap negatif kita - ego dan keras kepala yang menyebabkan kita tertutup segala perkara yang benar dari ajaran Islam. Malah, penutupan itu berlaku hanya kerana dendam amarah kita pada insan yang bergelar suami. Saya pasti, semakin lama kita hidup bersama seseorang, semakin banyak baik dan buruknya yang kita tahu dan mungkin menggembirakan dan menyakitkan hati kita. Jangan lupa Sahabat, begitulah juga sebaliknya. Maksud saya, para suami pun boleh berfikir/ merasai seperti itu.
Ada sesetengah kesalahan yang dilakukan, tidak kita maafkan sepenuhnya hingga menjadi titik hitam dalam hati sendiri. Siapa yang rugi? Kita. Cadangan dan azam saya, kita maafkan sahaja apa yang suami lakukan selagi suami tidak membawa rezeki haram kepada kita sekeluarga. Jika kesalahan yang lain dari itu, kita bincang baik-baik dan jika responnya adalah negatif (berkeras), doakan sahaja. Allah akan beri kita manfaat, Insya-Allah. Jika kita uruskan kekurangan suami di dunia ini, semoga Allah uruskan kekurangan kita di akhirat nanti.
Suami berhak untuk merasa gembira di samping kita. Dan jika cinta kita kepada suami adalah antara yang indah, tentu kita akan gembira melihat dia gembira. Percayalah, semakin kita tunduk kepada Allah dan Sunnah Rasulullah, semakin Allah sayang kita dan kasih sayang itu akan terpancar hingga membolehkan kita disayangi oleh insan keliling kita terutama suami. Jika kita isteri yang baik, insya-Allah kita juga anak yang baik, ibu yang baik dan pekerja yang baik.
Saya mencari kisah Wanita Zaman Rasulullah untuk memotivasikan kita agar lebih taat pada suami. Saya cari kisah wanita lain selain dari para isteri Rasulullah untuk menjawab mana-mana hati yang degil yang biasanya menjawab "Aisyah RA boleh lah... suaminya Rasulullah SAW" atau "Siti Khadijah RA bolehlah... suaminya Muhammad SAW".
Maka, ini kisah wanita biasa di Zaman Rasulullah:
i] Semasa Rasulullah berangkat ke Perang Tabuk. Abu Khaisamah tertangguh dari menyertai peperangan dan apabila beliau tersedar, beliau mengejar bala tentera Rasulullah untuk menyertainya tetapi sudah terlalu jauh, lantas Abi Khaisamah berpatah balik.
Apa yang kesemua isterinya buat? Mereka menyiapkan khemah di depan rumah, air disembur ke tanah untuk menyejukkan tanah, juga disembur ke khemah untuk menyejukkan khemah. Buah-buahan yang segar dipetik dan mereka berhias untuk Abu Khaisamah. Ini adalah hak Abu Khaisamah yang di berikan oleh isteri-isterinya. Namun, ketika ingin melangkah masuk ke khemah, Abu Khaisamah terfikir, "Adakah aku mahu berehat dan berasa nyaman di khemah ini, sedangkan Pesuruh Allah sedang berpanas menuju ke medan perang. Ini tidak adil! Tidak mungkin orang beriman berbuat begini. Demi Allah! Aku tidak akan masuk khemah, aku mahu kamu siapkan persiapan perangku dan kenderaanku bagi mengejar Pesuruh Allah". Abu Khaisamah berjaya mengejar bala tentera Rasulullah dan bersama dalam perang tersebut.
Apa yang kita boleh belajar dari sini?
Isteri tetap menyediakan hak suaminya, walaupun perbuatan suaminya menghilangkan kemuliaan keluarga tersebut (Pada Zaman Rasulullah, mana-mana lelaki yang mengikut Rasulullah berperang, lelaki itu dan keluarganya akan mendapat kemuliaan.) Mungkin kerana usaha para isteri Abu Khaisamah lah Allah memberi ilham untuk Abu Khaisamah mengejar semula Rasulullah lantas keluarga tersebut mendapat semula kemuliaan mereka. Wallahuaklam.
ii] Semasa Rasulullah baru menguasai Kota Mekah, baginda mengarahkan para rombongannya untuk supaya tidak membunuh/ memerangi sesiapa kecuali 10 orang dan antaranya adalah Ikrimah bin Abu Jahal kerana terlalu dasyat memusuhi Islam sebagaimana ayahnya Abu Jahal.
Oleh kerana ketakutan, Ikrimah lari ke Jeddah untuk menaiki kapal lari dari bumi Arab. Isteri Ikrimah yang sudah memeluk Agama Islam bertemu Rasulullah. memohon keamanan bagi pihak suaminya jika suaminya masuk Islam. Rasulullah bersetuju. Isterinya mengejar hingga ke pelabuhan , namun Ikrimah sudah menaiki kapal dan kapal sudah bergerak.Ribut taufan datang dan semua orang berdoa menyeru nama Allah di dalam doa mereka. Tidak ada yang menyebut nama berhala Latta atau Uzza ketika dalam kesempitan dan bencana. Ikrimah menyedari peristiwa itu dan berkata "Kalau begitu, Tuhan yang menyelamatkan manusia di lautan, dia juga Tuhan yang menyelamat manusia di daratan". Allah telah mencampakkan Islam ke hati Ikrimah.
Bila taufan reda, Ikrimah meminta untuk pulang ke Jeddah dan bila tiba di Jeddah, Ikrimah gembira melihat isterinya dan lebih gembira mendengar janji rasulullah kepada isterinya. Dia juga dengan gembira pergi berjumpa Rasulullah untuk mengisytiharkan keislamannya.
Apa yang kita boleh belajar dari cerita ini?
Seorang isteri yang telah mendapat cahaya kebenaran, sanggup mempertahankan cintanya dan berusaha agar suaminya juga mendapat cahaya kebenaran. Mungkin kerana usaha isteri Ikrimah, bertemu Rasulullah dan merendah diri memohon keamanan, serta bersungguh-sungguh mengejar suaminya untuk menyebarkan kebenaran, menyebabkan Allah mengizinkan Ikrimah mendapat hidayah. Wallahuaklam.
Sahabat Muslimah, kita hanya perlu buat empat perkara di atas dan Allah dah janjikan sesuatu yang terindah buat kita. Kita patut kasihan dengan suami, sudahlah penat mencari rezeki, suami ada unlimited perkara yang perlu dilakukan untuk membolehkan suami masuk syurga. Jika, kita pernah ada rasa cinta itu dulu, kini dan diharap seterusnya pada masa akan datang, marilah kita berkorban untuk keutuhan rumahtangga kita.
Ada juga rakan saya yang berkata, "saya biarkan sahaja suami nak buat apa. Saya tak kisah. Jika di tegur mengamuk. Tak nak dengar".
Jawapan saya untuk ini; dipihak kita, para isteri:
Ubah pandangan buruk sangka kita pada suami pada setiap detik nafas kita. Takut pada kita, kita kata ada aku kisah dan suami pula, dia mulakan langkah untuk berubah. Kenapa kita mesti mengalah dalam meletakkan harapan? Selagi kita dalam perkahwinan, 50% markah untuk ke Syurga adalah berkaitan dengan suami. Rugi jika kita buat macam tak penting kan! Islam kata lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik. Maka jika kita baik, insya-Allah, suami kita yang tersayang akan Allah ilhamkan untuk jadi terbaik juga seperti Abi Khaisamah dan Ikrimah.
Ada baiknya, kita belikan frame yang mengandungi Khutbah terakhir Rasulullah SAW yang jelas menyebut hak kita dan hak suami, semoga kita dan pasangan dapat saling memberi tunjuk ajar dan saling mengingati.
Buat saya dan semua para isteri, Rasulullah bersabda, Sebaik-baik wanita adalah mereka yang apabila kamu melihat, menyenangkan hatimu, apabila kamu menyuruhnya dia taat, apabila kamu tiada, dia menjaga maruahnya dan menjaga hartamu. (Riwayat al-Tabrani)
Buat suami saya dan para suami, Rasulullah bersabda, Takuti kamu akan Allah dalam memimpin isterimu. (Riwayat Al- Nasa'i)
Buat kita iaitu Abang, Iza dan Kakak serta semua para suami isteri yang lain, Allah berfirman, Selamatkan dirimu dan keluargamu dari api neraka. (Surah al-Tahrim 66:6).
Dan kita orang Islam di Malaysia, mencatat 1 perceraian dalam setiap 15 minit. Masya-Allah. Kita pohonkan Allah menutup aib kita di akhirat nanti di atas segala kesalahan dan dosa yang kita pernah buat kepada suami kita. Semoga Allah bantu kita agar lebih disayangi suami dan Syurga lebih dekat dengan kita. Sebelum Allah bantu, kita yang kena buat sedikit usaha. Dan saya berusaha untuk mengingatkan diri saya dan anda semua.
Maafkan saya jika tersalah kata, jika catatan ini bukan untuk anda, saya pasti ia adalah sentiasa untuk ingatan saya.
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
[Catatan Penulis: Sekiranya ada pengkisahan saya yang tidak tepat, sila beri komen untuk saya perbetulkan]
8/23/2011 11:08:00 pm |
Category: |
0
comments
Comments (0)