Dulu, bila saya balik dari sekolah, soalan pertama yang Mama tanya adalah, "Ada homework tak?". Jika saya kata ada, Mama akan kata, "Pergi makan dan solat! Lepas itu, buat homework!" Serius arahannya pada saya, biarpun, saya bukanlah anak yang 'liat' dalam hal sekolah. Jika saya kata tiada, Mama akan kata, "Kenapa?" Dia ingin tahu, adakah tadi kelas batal kerana cikgu MC atau apa?
Tapi bila dengar, ibubapa sekarang komplen pasal homework anak-anak yang guru sekolah beri, saya terdiam dan cuba berfikir. Berikut adalah pendapat saya:

i) Bagi anak dari keluarga berada, mereka mungkin berkata homework tidak penting kerana mereka mampu pergi tuisyen. Masa mereka habis kerana terpaksa menghadiri dari satu kelas tuisyen ke kelas tuisyen yang lain.
ii) Bagi anak dari keluarga susah, mereka sentiasa inginkan homework dari guru kerana mereka mahu membuat latihan yang terancang. Biar pun ada segelintir yang mungkin terasa terbeban kerana terpaksa membantu ibu dan bapa. Jika kita buka mata luas-luas ketika melawat gerai-gerai di pasar malam, tentu kita pernah nampak, anak kecil atau nak remaja yang sedang membuat kerja sekolah sambil membantu ibubapa di gerai jualan mereka.
iii) Bagi anak yang malas, mereka memang banyak komplen dan jika ibu bapa terperangkap dengan kecetekan fikiran anak, mereka akan lemas bersama. Untuk golongan ini, SAYONARA!

Maka, konklusi saya, biarlah berapa banyakpun homework anak kita, marilah kita bersama duduk di sebelah anak untuk menemankan mereka buat kerja sekolah biarpun sampai pukul tiga pagi...

Ingin saya ucapkan tahniah buat:

i) Babah saya yang sanggup mengulang ambil peperiksaan SPM semasa saya mengambil SPM untuk menemani saya belajar. Balik tuisyen pukul 10.30 malam, kami akan bersama buat homework masing-masing sehingga jam 1.00 pagi.

ii) Kakak Ipar saya, Kak Ju yang membeli berpuluh buku novel ALAF 21 semata-mata menemankan anak-anaknya menyiapkan kerja sekolah setiap malam. Katanya pada saya masih saya ingat, "Mana mungkin anak nak membaca, kalau Kak Ju tengok TV atau tidur! Membaca akhbar atau novel adalah solusinya..."

iii) Cikgu Haron, guru matematik tingkatan empat di Temenggong Ibrahim Girls School, TIGS, Batu Pahat pada tahun 1989.
Bila Cikgu Haron beri homework, dia suka membaca nombor soalan yang dia mahu kami buat di rumah. Bila dia dengar, ada pelajar yang merungut, dia akan tambah lagi banyak homework. Bila saya cerita pada Mama, Mama pula jatuh hukum, "Mama nak kamu buat semua soalan dalam buku, cikgu suruh atau tak, mesti buat!" 
Hasilnya, memang berbaloi, malahan, sehingga saya menjadi pensyarah matrikulasi, saya membuat semua soalan di dalam buku teks yang ditetapkan oleh pihak universiti. Selain dari untuk bersedia apabila ditanya pelajar, ia jadi habit sebenarnya. Habit yang baik bukan?
  
Sedih! Jepun yang dilanda tsunami mengambil iktibar dan bersatu untuk jadi lebih maju. Kita pula, sekadar isu homework, kecohnya hingga perlu dibincang panjang lebar.

Akhir kata, janganlah komplen banyak sangat pada guru, takut guru tak ikhlas beri ilmu pada anak kita, sebab guru pun manusia. Bila guru tak ikhlas, ilmu tak berkat. Yang hendak guna ilmu hingga akhir hayat adalah anak kita juga. Buat para guru, sabarlah menghadapi dugaan. Sabar itu separuh dari iman. Semoga pengakhiran yang baik bagi isu ini.

Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya
Saya merancang untuk menyerahkan ILHAM CINTA, novel pertama saya pada 'bos' saya empat minggu lepas. Namun, ALLAH menetapkan hanya hari ini saya diizinkan untuk jumpa 'bos' saya untuk menyerahkan manuskrip tersebut. Saya gembira bagai terbang ke awan kerana dapat bertemu 'bos' yang saya impikan.

Impikan?

Ya, 'bos' yang saya impikan. Sebagai orang yang baru belajar 'menulis', tentunya saya inginkan 'bos' yang banyak memberi maklumat, tunjuk ajar dan motivasi. Nasihatnya pada saya sebelum kami mengakhiri pertemuan tengahari tadi adalah, TERUSKAN BERKARYA! INSYA-ALLAH, dengan ilham dariNYA, pasti saya akan terus berusaha untuk menggilap bola kristal bakat saya dalam bidang penulisan.

Malam tadi Siti Nurhaliza bercerita pada saya, dia menyanyi kerana minat dan dia bertindak bijak setelah bakatnya diterima dengan mencari sebanyak-banyaknya rezeki dengan bekerja keras. Saya belum pernah bertemu Siti Nurhaliza secara berdepan, namun dia sudi berkongsi pengalamannya dengan saya, dan tentunya berjuta rakyat Malaysia yang lain, di dalam sebuah rancangan bualbicara lawak. Menilai diri sendiri di dalam hal menulis, saya masih berada di tahap kedua. Iaitu tahap menguji adakah bakat saya diterima atau tidak? Semoga ALLAH izinkan dan sesiapa yang membacanya akan mendapat manfaat.

Malam tadi, saya merenung fail putih manuskrip yang telah saya susunkan cantik-cantik. Suami pula bersusah payah mencari ruang masa membuatkan cover depan untuk saya letakkan. Bukanlah saya tidak pandai membuat sendiri, namun, itulah buah hati saya, dia akan sentiasa buat banyak perkara kecil untuk menyatakan sokongannya pada minat saya. Beria Suami mengambil gambar 'baby' saya. Suasana tiba-tiba menjadi meriah. Di dalam kemeriahan itu, saya bisikkan buat PENCIPTA saya, biar satu atau beribu orang yang membacanya, harapan saya hanya satu; samada saya dan dia, atau saya dan mereka, mendapat manfaat darinya. Jika tidak sekarang, biarlah nanti.

Saya panggil ILHAM CINTA sebagai baby kami yang pertama. Saya sudah hantar baby saya ke 'boarding school'. Semoga ALLAH mengizinkan ia dinilai dengan baik oleh 'bos' saya dan 'bos' kepada 'bos' saya, malah mendapat feedback yang baik dari mereka. INSYA-ALLAH.

Serangkap pantun buat 'bos' dan 'bos' kepada 'bos saya',

                                   
              Pagi-Pagi pergi ke pekan,
                          Pergi ke pekan membeli tabung,
                                    Untuk diisi duit syiling seguni,
             Telah kuserahkan padamu Puan,
                          ILHAM CINTA karya yang sulung,
                                    Bersama harapan menggunung tinggi.


Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya

p/s:
Kepada Puan Saadiah, semoga cepat sembuh.
Kepada Puan Lis dan Cik Ida, terima kasih di atas pertemuan yang bermanfaat buat saya, semoga buat anda berdua jua.