Saya merancang untuk menyerahkan ILHAM CINTA, novel pertama saya pada 'bos' saya empat minggu lepas. Namun, ALLAH menetapkan hanya hari ini saya diizinkan untuk jumpa 'bos' saya untuk menyerahkan manuskrip tersebut. Saya gembira bagai terbang ke awan kerana dapat bertemu 'bos' yang saya impikan.

Impikan?

Ya, 'bos' yang saya impikan. Sebagai orang yang baru belajar 'menulis', tentunya saya inginkan 'bos' yang banyak memberi maklumat, tunjuk ajar dan motivasi. Nasihatnya pada saya sebelum kami mengakhiri pertemuan tengahari tadi adalah, TERUSKAN BERKARYA! INSYA-ALLAH, dengan ilham dariNYA, pasti saya akan terus berusaha untuk menggilap bola kristal bakat saya dalam bidang penulisan.

Malam tadi Siti Nurhaliza bercerita pada saya, dia menyanyi kerana minat dan dia bertindak bijak setelah bakatnya diterima dengan mencari sebanyak-banyaknya rezeki dengan bekerja keras. Saya belum pernah bertemu Siti Nurhaliza secara berdepan, namun dia sudi berkongsi pengalamannya dengan saya, dan tentunya berjuta rakyat Malaysia yang lain, di dalam sebuah rancangan bualbicara lawak. Menilai diri sendiri di dalam hal menulis, saya masih berada di tahap kedua. Iaitu tahap menguji adakah bakat saya diterima atau tidak? Semoga ALLAH izinkan dan sesiapa yang membacanya akan mendapat manfaat.

Malam tadi, saya merenung fail putih manuskrip yang telah saya susunkan cantik-cantik. Suami pula bersusah payah mencari ruang masa membuatkan cover depan untuk saya letakkan. Bukanlah saya tidak pandai membuat sendiri, namun, itulah buah hati saya, dia akan sentiasa buat banyak perkara kecil untuk menyatakan sokongannya pada minat saya. Beria Suami mengambil gambar 'baby' saya. Suasana tiba-tiba menjadi meriah. Di dalam kemeriahan itu, saya bisikkan buat PENCIPTA saya, biar satu atau beribu orang yang membacanya, harapan saya hanya satu; samada saya dan dia, atau saya dan mereka, mendapat manfaat darinya. Jika tidak sekarang, biarlah nanti.

Saya panggil ILHAM CINTA sebagai baby kami yang pertama. Saya sudah hantar baby saya ke 'boarding school'. Semoga ALLAH mengizinkan ia dinilai dengan baik oleh 'bos' saya dan 'bos' kepada 'bos' saya, malah mendapat feedback yang baik dari mereka. INSYA-ALLAH.

Serangkap pantun buat 'bos' dan 'bos' kepada 'bos saya',

                                   
              Pagi-Pagi pergi ke pekan,
                          Pergi ke pekan membeli tabung,
                                    Untuk diisi duit syiling seguni,
             Telah kuserahkan padamu Puan,
                          ILHAM CINTA karya yang sulung,
                                    Bersama harapan menggunung tinggi.


Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya

p/s:
Kepada Puan Saadiah, semoga cepat sembuh.
Kepada Puan Lis dan Cik Ida, terima kasih di atas pertemuan yang bermanfaat buat saya, semoga buat anda berdua jua.  

Comments (2)

On 4 May 2012 at 16:15 , Nelayan Forex said...

Salam Tahniah!

Semoga ILHAM CINTA benar-benar mengilhamkan...

 
On 29 January 2014 at 13:20 , Unknown said...

Terima kasih, Nelayan Forex!