Saya bimbang dengan DUA perkara yang berulang kali berlaku semasa kita menyambut Aidilfitri. Iaitu:
i) Kemalangan yang makin menjadi-jadi. Semua orang tak sabar nak sampai kampung, bawa keretapun melebihi had laju. Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan co-pilot, yang kebanyakkannya orang perempuan perkara berikut:
- kekalkan kebecokan mulut kita/ tambahkan sikit kebecokan mulut kita untuk temankan suami yang memandu kereta. Anak-anak pasti tertidur, al-maklum puasa. Maka tinggal kita sahajalah yang menjadi harapan cik abang untuk menemankan mereka.
- masuk waktu, kita berhenti solat. Bukannya apa, memandu terlampau lama menyebabkan kita hilang peka, hilang rasa. Maka semuapun akan jadi tak perasan dan tak nampak yang akhirnya menjadi tak kisah. Sedangkan, jika boss di office suruh kita menaip kertas kerjapun, kita akan ambil masa ke tandas, buat minuman dll untuk kekal segar. Takkanlah bila melibatkan nyawa sendiri, anak dan isteri, kita boleh kompromi. Betul tak?
- Bergilir-gilir memandu. Yang ini payah sikit, tapi boleh cuba. Maklumlah, para isteri ramai yang gerun nak drive kereta suami - bukannya apa, kebanyakkannya lebih besar dari kereta kita. Suami pula, dalam diam macho mereka tu gerun nak tengok isteri pandu kereta mereka yang biasanya mereka anggap sebagai isteri muda. Maklum, kita ni kan lady driver!
ii) Anak-anak hilang jari. Bab ini cukup buat saya berdukacita. Saya cadangkan kita para ibubapa, panggil anak-anak duduk mengadap kita dan katakan pada mereka begini:
Along, angah, uda, achik, itam, utih, .......usu,
Bulan Ramadhan dan Syawal ini, Abah dan Mama HARAMkan kamu membeli, bermain dan melihat orang bermain mercun, meriam buluh atau segala apa yang berkaitan dengannya. Sesiapa yang terlibat, dengan pengetahuan Abah dan Mama atau tidak, akan masuk neraka.
Over? Lebih baik kita over dari memberi peluang anak kita membakar duit, membakar rumah atau membakar diri.
Namun, saya juga tahu, perangai anak tak boleh nak jangka dan bila anak dah minta maaf - lepas mengaku mereka beli/ bermain atau melihat orang bermain mercun, takkan kita tak maafkan. Maka, ini cadangan saya:
i] Hubungi semua adik beradik kita untuk pastikan tiada siapa yang akan membenarkan anak-anak mereka membeli mercun dan membawanya balik ke kampung. Pembuatan meriam buluh diHARAMkan kepada semua sepupu anak-anak kita. Bila semua ibubapa seia sekata, anak-anak mudah diurus.
ii] Buatkan tabung khas dan tuliskan perkataan berikut di atas tabung ini. "SESIAPA YANG HENDAK MEMBELI MERCUN/ MERIAM BULUH, SILA MASUKKAN DUIT YANG INGIN DIGUNAKAN KE DALAM TABUNG INI". Bawa tabung itu balik ke kampung jika perlu. Sedekahkan duit yang berjaya dikumpul ke masjid, jika ada.
iii] Buatkan Banner Besar seperti di bawah:
KELUARGA HAJI MUHAMMAD BIN HAJI ABDULLAH
MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DAN
MAAF ZAHIR BATIN
RUMAH KAMI ZON BEBAS MERCUN & MERIAM BULUH
Anda ketawa? Saya pasti! Bagi yang tinggal di bandar perkara ini mudah diurus. Namun, di kampung lain ceritanya. Percampuran antara sesama sepupu dan anak-anak orang keliling, menyukarkan untuk kita rasa tenang setiap kali anak hilang dari pandangan mata. Para ibu dan bapa pula kadang-kadang jadi super sensitif apabila ada orang yang menegur aktiviti bahaya anak mereka. Sedangkan bila ada sesuatu yang buruk berlaku, masing-masing menyalahkan anak orang lain. Itu belum kira, rasa serba salah pasangan, apabila peristiwa buruk itu berlaku di rumah keluarga kita atau dia.
Jika kita masih rasa tak kisah, bayangkan perkara di bawah:
Anak orang ada 10 jari tangan, anak kita ada 7.
Bila masuk sekolah, kawan sekelas tanya, kenapa jari awak cuma 7? Mungkin mudah nak jawab.
Bila masuk universiti, kawan sekuliah tanya, kenapa jari awak cuma 7? Mungkin mudah nak jawab.
Bila masuk bilik interview, bakal boss tanya, kenapa jari awak cuma 7? Mungkin mudah nak jawab.
Bila masuk meminang, bakal mak mertua tanya, kenapa jari awak cuma 7? Saya tak fikir yang ini mudah dijawab.
Maka, apa lagi Muslimah, kita wajib berfikir dan buat tindakan segera.
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
8/18/2011 09:10:00 pm |
Category: |
0
comments
Comments (0)