Salam, Para Muslimah!

Hari ini, genap kita berpuasa Ramadhan selama 15 hari. Alhamdulillah! Jadual mata dan perut dah stabil. Bangkit jam 4.00 pagi untuk memasak sahur sudah menjadi perkara yang ditunggu-tunggu. Bersahur dengan keluarga memang seronok, apatah lagi melihat perihal anak dan suami yang suka menceriakan keadaan.

Kini, kami suka ditemani rancangan Lau Kana Bainana di TV Al Hijrah. Membayangkan apa yang Rasulullah SAW akan berkata tentang keluarga kami adalah sesuatu yang ingin kami ambil perhatian. Semoga, melalui amalan Ramadhan dapat kita sama-sama mengubah diri dan beristiqamah dengannya.

Dalam perbincangan saya bersama rakan-rakan baik, kami ada tertanya, pada bulan Ramadhan; Syaitan dirantai oleh Allah, namun, adakah Syaitan dibisukan dari menghembuskan fikiran-fikiran jahat pada manusia? Adakah benar apa sahaja dosa yang kita lakukan pada bulan Ramadhan adalah kerana 100% berpunca dari nafsu serakah kita sebagai manusia?

Walaupun masih belum dapat mencari jawapan tepat tentang perkara di atas, saya merasakan puasa adalah untuk kita menjinakkan nafsu dengan meletakkan diri kita untuk merasai apa yang orang susah rasai.

Kita BANTAI nafsu membazir dengan banyak bersedekah.
Kita BANTAI nafsu mengumpat dan mengutuk dengan banyak berzikir.
Kita BANTAI nafsu mata dengan memandang Ayat Suci Al-Quran.
Kita BANTAI nafsu penyakit hati dengan Solat sunat malam hari.

Semoga nafsu kita bertenang dalam Music Box yang kita setkan dengan alunan bacaan Al-Quran dan nasyid mengagungkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. 

Adat orang perempuan banyak nak ambil tahu dan memberitahu. Jika rakan di sebelah kiri mengumpat, kita kata "Maaf, hari ini kita berpuasa". Jika rakan di sebelah kanan mencerca, kita kata "Maaf, hari ini kita berpuasa". Bagaimana selepas Ramadhan?

Para Muslimah!
Sebaik sahaja tamat Ramadhan ini, kita ada 11 bulan mesti berhempas-pulas untuk menjaga Music Box kita tadi. Kita mesti pastikan baterinya tidak habis supaya alunan bacaan Al-Quran dan nyanyian Nasyid berterusan dan Nafsu kita benar-benar tenteram di sana. Jika ini kita mampu lakukan, Alhamdulillah, memang kita disayangi Allah.

Hati saya gundah gulana mengenangkan pergaulan pada perjumpaan keluarga dan sahabat di Aidilfitri di mana kita sering terperangkap dalam ZON GOSSIP. Azam saya, akan saya sebutkan secara berterus-terang. "Maaf, Ini Zon Zero Mengumpat". Tentu Mama dan Suami saya menyokong.

Mama selalu menceritakan tentang Arwah Mak Su, rakan baiknya yang juga jiran kami, adalah seorang yang tidak suka bercakap tentang orang. Saya mengingati Arwah sebagai seorang yang amat baik hati. Guru Matematik di sekolah rendah, kulitnya putih melepak dan Arwah adalah ibu rakan baik saya. Jika berbicara dengannya, topiknya adalah mengenai dia dan saya, bukan orang lain. Taktik yang diajarnya, melalui pergaulan, walau seketika, jika berjalan beramai-ramai, kumpulan kami akan bergerak paling depan atau paling belakang. Kenapa? Terhindar dari bercakap atau mendengar cakap tentang hal orang.... Semoga Syurga buat Arwah kerana menjadi rakan yang baik pada Mama, dan guru yang baik buat saya.

Sahabat!
Jangan mengalah, kita ada 15 hari lagi untuk membantai segala nafsu yang ada.... Selamat Membantai!

Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya

Comments (0)