Saya tertarik dengan pakaian Prof Dr. Muhaya Mohamad, salah seorang pakar mata dan pakar motivasi juga. Saya perhatikan pakaiannya berwarna cantik tetapi tidak menyerlah, berfesyen tetapi tidak menjolok mata, professional dan nampak sederhana tetapi tidak sampai merendahkan title nya sebagai individu terkenal di Malaysia.

Saya ingin bercakap tentang pakaian wanita Muslimah. Pakaian wanita belum berkahwin serba sedikit merefleksikan iman ibubapanya. Pakaian wanita sudah berkahwin pula tak boleh lari dari refleksi iman suaminya.

Saya akui wanita kadang-kala berada dipersimpangan. Antara memenuhi kehendak hati atau keperluan diri.

Dari kecil, ibu ayah memilih pakaian untuk kita, kita terima sahaja. Kadangkala, pakaian rakan yang lebih ranggi mendapat pujian dan perhatian. Kita cuma pakai baju kurung sahaja. Tak ada siapa kata apa-apa.

Bila remaja, kita diberi hak memilih. Tetap kena ikut prosedur ibu ayah, alasannya adalah itu duit mereka, bukan duit kita.

Bila dewasa dan sudah bekerja, kita ada ruang memilih dan membeli sendiri. Jika dua proses di atas menggunakan asas yang salah, maka waktu inilah kita mula buat keputusan yang salah. Siapa tidak mahu dikatakan cantik? Siapa yang tidak mahu pakaian yang up-to-date dan nampak mewah?

Kita pilih kebaya yang ikut bentuk badan. Kerana apa? Kita muda dan badan cantik.
Kita pilih warna yang terang dan jelas macam lampu trafik. Kerana apa? Kita mahu perhatian.
Kita pilih yang nipis. Kerana apa? Kita mahu yang up-to-date.

Lihat sahaja iklan perkhidmatan tertentu.Saya gembira melihat kejayaan mereka melakukan perubahan, namun, kita lihat pakaiannya. Cuba fokus pada pakaian "sebelum" dan "selepas".
Saya mencadangkan kita ubah semua itu. Kerana apa? Kerana Allah. Kita ikut contoh Prof. Muhaya dan ramai lagi bijak pandai kerana mengikut garis panduan Islam. Kita semua adalah idola. Kita tunjukkan contoh yang betul dan sebenar. Kita muda, cantik dan bergaya tetapi hanya untuk Allah dan suami. Tutup mana yang wajib tutup. Kita tukar kebiasaan kita. Puji anak-anak yang bertudung dan berbaju kurung. Puji remaja yang berbaju kurung dan bersopan santun. Katakan ya kepada wanita Muslimah yang mengikut garis panduan Allah.

Memang sukar menegur perkara yang salah. Terutama jika ibu bapa atau suami individu itu ambil tak endah. Saya sendiri pernah melalui pengalaman ini. Dulu semasa bekerja di organisasi lama, saya ada 70 orang staf yang 70% adalah wanita. Saya akui pelbagai fesyen yang mereka tonjolkan. Terkesan juga melihat pakaian anak dara yang 'tutup tapi buka'. Bila sudah berkahwin dan mendengar kata suami tentang alami lelaki, saya jadi ngeri sendiri. Terbayang siapa saya suatu waktu dahulu.

Pada awal perkhidmatan saya, saya akui saya kerap memuji mana yang cantik berkebaya, bertudung lilit, sepit atas bawah dan sebagainya. Sampai pada satu tahap menyedari kesilapan saya, saya akur panduan Islam. Saya ubah arah dan kata pujian saya kepada siapa yang lebih berhak. Islam itu selamat. Pakaian kita sepatutnya tidak membantu sesiapa untuk memberi sangka buruk pada kita.

Apa yang saya maksudkan?

Perhatikan A: Berpurdah.
Perhatikan B: Tidak berpurdah.

Sebagai manusia biasa, jika kita perhatikan A, kita takkan berani untuk kata atau fikir apa-apa yang tidak baik tentang A. Penilaian kita terhadapnya adalah baik. Paling tidakpun 0, sebelum kita mula mengenalinya.

Jika kita perhatikan B, belum lagi mengenali atau bercakap dengannya, kita sudah ada pelbagai penilaian yang menjadikan ia satu persepsi. Lebih berlebihan seseorang dalam berpakaian, lebih banyak persepsinya.

Tak percaya? Cuba duduk dan perhati wanita yang lalu di hadapan anda di mana-mana jua. Fikirkan tentang hal ini. Saya berani mengatakannya kerana saya manusia biasa yang melalui pengalaman itu. Saya menerima daftar dua orang pelajar berpurdah semasa bekerja dahulu. Sungguh, walaupun dua semester sudah berlalu, saya kerap nampak mereka, saya masih tiada persepsi tentang mereka! Itu pengalaman saya. Saya yakin, pakaian mereka memainkan peranan.

Saya juga belum ke tahap berpurdah, tapi azam saya adalah untuk berpakaian seperti seorang Islam sebenar dan mengajak anda juga melangkah seperti saya.

Adalah lebih baik juga, kita sediakan sedikit budget untuk kita atau anak perempuan kita memiliki pakaian yang hendak dipakai ketika sendirian/ atau di hadapan suami jika sudah berkahwin dan pakaian yang hendak pakai di khalayak. Pakaiannya tentu berbeza kerana nilai kita bukannya murah!

Sebagai ibu/ kakak, kita patut berani memperkatakan tentang garisan ini pada anak-anak/ adik-adik perempuan kita. Sebagai bapa/ abang, kita patut berani memperkatakan tentang garisan ini pada anak-anak/ adik-adik lelaki kita. Supaya mereka semua bijak memilih dan tidak tersalah pilih. Sebagai suami, buat apa yang wajib.

Pujian siapakan yang kita dambakan?

Wallahuaklam.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman... 

[Catatan Penulis: Ramadhan & Syawal telah dekat. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperbetulkan pemakaian kita kerana saya pasti, banyak pakaian yang kita akan beli sempena perayaan ini.]

Comments (0)