Menonton permainan bolasepak selalu buat saya emosi. Suami adalah orang yang akan menenangkan saya dengan tawa bahagianya. Dia ketawa melihat apa reaksi saya.

Keputusan 5-3 : Macam ok! Macam tak ok! Alhamdulillah. Itu takdir Allah selaras usaha kita. Mengikut kata Ustaz Amin, Kita usahakan A, lawan usahakan B, Allah bagi yang mana usaha yang baik. (Saya ambil pengajaran sahaja, Ustaz tak cakap pasal bola semasa rancangan Tanyalah Ustaz pagi tadi).

Saya serahkan kepada yang arif untuk mengatur strategi bagi perlawanan 28 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil jika Malaysia berhajat ke peringkat seterusnya. Yang pasti mereka dapat sokongan dan doa kami sekeluarga.

Jujur cakap, mereka main agak baik malam kelmarin. Walaupun terlalu banyak kali disebut, Malaysia melawan Singapura yang menggunakan pemain import. Saya memandangnya sebagai apa yang suami saya selalu ajar saya, men'diskaun' kegagalan. Saya rasa kita tak perlupun menyebutnya banyak kali isu itu. Malah pemain negara patut bersemangat kerana jika kita benar layak berjaya ke peringkat seterusnya, saya percaya mereka terpaksa menghadapi lawan yang semakin besar saiz fizikalnya. Lebih baik, pasukan negara bayangkan, setiap perlawanan adalah perlawanan akhir Piala Dunia. Tak gitu?

Saya sekadar memberi pandangan di atas untuk mengingati memori lama semasa mewakili sekolah di Sukan Matrikulasi USM tahun 1991 dulu, bagi acara Bola Jaring. Pasukan kami yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Hanya seorang dari kami pernah mewakili negeri, yang lain, peringkat sekolah pun tak lepas. Saya pula hanya bermain semasa sekolah rendah. Malah, saya diminta kawan-kawan bermainpun hanya untuk cukupkan korum mungkin kerana fizikal yang cukup tinggi dan habit yang suka berlari. Itu sahaja sebabnya. Salah satu nasihat Nor Azizah Ibrahim, kapten pasukan kami adalah: Kita kena main macam untuk peringkat akhir. Saya angguk sahaja. Alhamdulillah! Kami masuk peringkat akhir, dan saya masih teringat semangatnya. Bermain di peringkat akhir memang lain rasanya. Apa yang pasti, tiada siapa yang mahu merasa 'ralat' - hampir dapat tapi tak dapat, sebab itu permainan akhir biasanya amat menarik. Yang lebih bestnya kami menang.

Maka, tak kiralah level apa sekalipun, meskipun baru level Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Petaling, yang penting, kita mesti bermain sehabis baik dan enjoy the game!

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

Comments (0)