[Nota Penulis: Catatan ini adalah ibarat Taj Mahal bagi Suami yang banyak berkongsi ilmu dan pandangan sepanjang penulis mengenalinya. Brilliant Young Man & Wise Old Man adalah frasa yang selalu beliau gunakan untuk menghargai staf muda dan staf senior di bawah kepimpinannya. Semoga bermanfaat buat saya dan semua dan hanya rahmat Allah buat Suami. ]

Unlearn & Relearn

Saya diajar bahawa ada sesetengah pengetahuan adalah sudah tidak boleh digunapakai - maka saya perlu jalani proses ini. "Unlearn" adalah proses men'tidakaktif'kan sesuatu maklumat dalam otak. "Relearn" adalah proses belajar semula atau memasukkan dan mengaktifkan maklumat baru dan terkini. Kedua-dua proses ini juga perlu di buat jika kita telah salah faham tentang sesuatu. Bagi mereka yang masih muda, proses ini berlaku dengan mudah dan kadang-kala luar sedar. Bagi mereka yang sudah usia lebih 35 tahun, lebih baik, proses ini dijalankan dalam sedar kerana bimbang berlaku kecelaruan maklumat.

contoh :
Saya belajar Pemprograman Sistem Komputer semasa di Universiti dulu, ada konsep pemprograman yang telah saya silap faham, dan saya menyebabkan system yang saya bina menjadi 'error'. Bila rakan sekerja memberitahu saya sudah memegang konsep yang salah selama ini - detik ini saya perlu "unlearn". Kemudian saya perlu belajar konsep yang sebenar - detik ini saya perlu "relearn".


Mind-travelling

Satu proses pembayangan diri berada pada satu tempat dan melalui satu situasi yang bakal dilalui.

contoh :
Ketika saya bekerja di organisasi lama, saya sering diarahkan untuk memberi ucapan. Maka, suami saya memperkenalkan proses "mind-travelling". Setelah input penting bagi ucapan telah saya senaraikan, saya akan mengambil masa untuk membayangkannya. Saya naik ke atas pentas, berjalan menuju ke rostrum, membetul letak mikrofon, menarik nafas panjang yang perlahan, melihat ke audiens, tersenyum dan buka mulut untuk bercakap.

Malah, suami juga seorang yang mengambil berat tentang surat yang diutuskannya. Tiada istilah surat formal, hanya hasrat yang formal. Maka, ketika saya menulis surat untuk dihantar ke pihak Kementerian, saya melakukan perkara yang sama. Saya mengambil tahu siapa penerima, sedikit sebanyak maklumat akan membantu, saya bayangkan si penerima membaca surat saya dengan perasaan yang ingin saya suntikan sesuai dengan hasrat yang disampaikan di dalam surat tersebut.

Alhamdulillah, hasilnya positif.

Terima kasih Suami.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

Comments (0)