Sebagai insan yang pernah berpeluang bekerja di dalam organisasi yang besar, bekerja sepenuh hati dan menanti gaji pada setiap 28 haribulan pada setiap bulan, saya berada dalam keadaan yang sangat selesa. Tiada yang perlu saya bimbangkan, dalam bahasa lain "confirm dapat gaji". Tidak kiralah organisasi besar atau kecil, asalkan memiliki "business" tiada pekerja yang patut susah hati. Malah, ada juga pekerja yang mengambil kesempatan - mengambil mudah, memandang ringan, cuai dan lalai.
Kini, saya bekerja sendiri. Baru saya nampak dalam sedar rezeki datang dari Allah. Saya kini sama dengan Mak Minah atau Mak Piah yang menjual nasi lemak, kuih-muih; Pak Mail yang menjual ikan keliling kampung atau Pak Hamid yang menjual cendol di bawah pohon ketapang depan sekolah. Kami kena berusaha mempersiapkan diri, bahan jualan, sistem perkhidmatan yang terbaik bagi kepuasan hati pelanggan. Kemudian, saya faham dalam sedar, hanya belas kasihan Allah yang diharapkan agar nasi lemak, kuih-muih, cendol dibeli pelanggan dan pelanggan menyukainya. Tiada alasan untuk merungut terhadap gelagat dan sikap pelanggan, apa lagi terhadap Yang Maha Esa yang mengizinkan pelanggan datang kedai.
Berbeza dari senario asal, dalam organisasi, sebagai ketua, saya pernah merungut tentang ketidakcekapan pekerja. Malah hingga satu tahap, saya merungut dengan teguran Ketua saya, MasyaAllah, semoga ada kemaafan untuk saya. Tidak di depan, kita merungut di belakang. Tidak wajar dimulut, dalam hati kita merungut.
Percayalah, rasa bersyukur saya kini, serta rasa syukur Mak Minah, Mak Piah, Pak Mail dan Pak Hamid adalah berbeza dari apa yang saya rasakan ketika saya berada di dalam organisasi dulu. Manisnya berbeza. Nikmatnya terus disyukuri tanpa tunggu.
Kini, saya nampak dalam sedar, saya faham dalam sedar. Demi keinginan terhadap hidup yang penuh berkat dan tiada was-was di dalam hati, saya gembira kehidupan saya kini. Inilah kehidupan yang akan saya pertahankan sampai bila-bila. InsyaAllah.
Ustazah Fatima AzZehra berkata, jika bersyukur, lafazkan dan tunjukkan agar Allah SWT tahu dan terus mahu memberi. Itulah yang patut dilakukan, oleh hamba Allah, tanpa kira siapa.
Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman ...
7/04/2011 09:43:00 pm |
Category: |
0
comments
Comments (0)