Minggu ini, saya katakan Minggu Penangguhan. Rezeki Tertangguh. Usaha Tertangguh. Saya hidup dalam kesedihan yang saya simpan sendiri. Fikiran berselirat dan hati jadi berat. Hilang rasa bersungguh. MasyaAllah, mudahnya saya mengalah.

Saya turuti kembali sejarah hidup saya. Kebiasaannya, jika saya sedang mengusahakan sesuatu, Allah akan beri saya sedikit, dan kemudian Allah akan tarik balik. Kemudian Allah akan gantikan semula dengan yang lebih baik.

i] Semasa sekolah rendah, saya mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Saya gembira, kemudian, saya menduduki peperiksaan Kelayakan Masuk MRSM, saya gagal. Allah beri saya hadiah masuk Sekolah Agama Maahad Muar. Itu hadiah yang lebih besar rupanya.

ii] Semasa mengusahakan untuk memiliki rumah yang pertama, saya membuka mulut kepada pemilik rumah yang kami sewa untuk membeli rumah itu darinya. Pemilik rumah gembira kerana perkara yang sama juga sudah lama difikirkan olehnya. Maka, amat tinggi harapan yang kami letakkan untuk memiliki rumah pertama kami. Pelbagai perkara yang kami, suami isteri rancangkan untuk rumah yang bakal kami miliki. Namun, harapan hancur berkecai, pemilik rumah bertukar fikiran. Saya menangis sakan, namun Alhamdulillah, suami memang 'cool'. Sesuailah dengan saya yang kerap 'ghoplah'. Suami kata, Allah akan beri yang lebih baik. Alhamdulillah, dia memang benar. Dapat rumah yang lebih luas di lokasi yang lebih selesa buat kami sekeluarga.

Berpatah-balik pada peristiwa minggu ini. Sudah ditakdirkan begitu ceritanya. Pasaran aktif namun saya gagal untuk capai sasaran saya. Namun, sampai bila? Jika saya perhati balik peristiwa [i] dan [ii], apa yang saya perlu lakukan adalah usaha yang lebih keras. Kenapa saya harus tanya pada Allah, bila Allah nak beri pada saya hasilnya? Allah dah beri banyak. Saya lihat pada diri sendiri, suami dan keliling. Semuanya baik. Apa lagi?

Maka, minggu depan, saya buat strategi baru. Jadi tak jadi? Saya tak tahu. Allah sahaja yang tahu. Bahagian saya, usahakan yang terbaik. Tak sabar nak tunggu apa yang lebih baik yang Allah nak bagi pada saya untuk perniagaan saya.....

Peratusan Solat dalam Waktu : 92%. Ini tanggungjawab saya dan saya akan pastikan sedaya upaya peratusan menjadi 100%.

Iza Safiya
Bila Pena Di Genggaman...

Comments (0)