Saya bersyukur, saya lalui hari ini dengan penuh sabar. Apa yang saya kenali tentang diri ini, jika dah buat salah, saya akan buat banyak salah lagi dan lagi. Bila dah buat salah, sentiasa suka "discount" kesalahan saya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar mahu menyedapkan hati tanpa mencari ke akar umbi, apa silapnya. Perlukah saya "unlearn" dan "relearn"? Saya tolak tepi itu semua. Bodoh saya rupanya...

Kini, selaras dengan perubahan yang diazamkan, saya suka untuk lebih banyak berfikir tentang diri ini, penciptaannya dan penciptanya. Bila saya melakukan salah/ silap, saya usahakan untuk cari hingga ke akar, sebab sebenarnya serta penyelesaiannya. Memang perit, kita membuka pekung di dada, tapi di hadapan Allah, bukan manusia dengan apa juga gelaran. Allah dengar, saya yakin Allah dengar dan bantu saya berubah. InsyaAllah.

Hari ini saya kerugian, sebenarnya. Ya! amat sedih tapi tetap bersyukur kerana rugi itu, bukan rugi besar, Allah mengambil semula 75% keuntungan semalam. Mesti ada sebab, dan saya tak boleh merungut. Mesti ikhlas untuk terima, kerana yang beri itu Allah. Allah ambil balik apa yang Dia beri pada saya semalam.

Puas saya fikir apa sebabnya, antara silap yang mungkin:
i] kurangnya ilmu perniagaan - saya seorang yang liat membaca.
ii] kurangnya persediaan diri - macam Mak Minah, kalau Mak Minah tak tahu resepi nasi lemak, macamana nak masak nasi lemak yang sedap. Kalau Mak Minah lupa nak beli daun pisang, macamana nak bungkus nasi lemak itu. Rezeki tentu makin jauh.
iii] kurang yakin apa yang dibuat - macam Mak Minah, kalau Mak Minah rasa nasi lemak yang dia masak pada hari tertentu, tak sesedap biasa mengikut standard Mak Minah sendiri, tentu Mak Minah rasa tak yakin - kalau berjaya jual, bimbang pelanggan tak datang lagi, kalau tak jual, tentu membazir.
iv] kurangnya doa - saya kena banyak berdoa. Kakak saya kata, ada rakannya yang berjaya dalam perniagaan, Alhamdulillah, telah mula beristikharah dan bertahajjud pada Allah sejak dua tahun sebelum memulakan perniagaan. SubhanAllah. 
v] Banyak impian, tapi tidak ambil peluang - peluang datang pada masa tertentu dan dalam perniagaan yang saya ceburi, ianya boleh dijangka. Biasanya saya tunggu dan "titik". Bila peluang berlalu, saya katakan pada diri, kalaulah tadi aku buat begitu tentu dot dot dot. Klise sungguh! 

Apa pilihan yang saya ada? Penyelesaiannya:
Bagi kesilapan [i]: Saya tambahkan Sasaran Mingguan saya menjadi 4 Bab bagi setiap 2 buku yang saya baca. Semoga, kesannya empat kali ganda.
Bagi kesilapan [ii]: Pengaturan masa perlu lebih teratur, jika ketika bekerja di organasasi luar, saya suka datang awal, untuk perniagaan sendiri, saya akan masuk pejabat jam 8.30 pagi. buat persediaan peribadi - sarapan sambil membaca dan menilai situasi pasaran ketika saya tidur dan situasi semasa;
Bagi kesilapan [iii]: Saya hanya mohon pada Allah. Apabila bahagian [i] dan [ii] dibuat dengan baik, semoga kesannya akan nampak dalam hal keyakinan diri.
Bagi kesilapan [iv]: Mula bangun lebih awal, saya akan usahakan untuk bertahajjud dan bersolat hajat.
Bagi kesilapan [v]: Saya akan sediakan strategi dan 'mind-travelling' untuk melalui saat itu.

InsyaAllah, semua di atas akan saya usahakan sekarang. Semoga Allah beri petunjuk dan saya tetap mendapat rahmatNya dalam susah dan senang. Pengakhiran kejayaan adalah dambaan saya. Amin.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...




  

Comments (0)