Pada Ramadhan yang lalu, kita telah cuba berusaha mengubah beberapa sisi diri kita dan cuba sedaya upaya untuk beristiqamah dengannya.

Setelah Ramadhan berlalu, usaha yang sama cuba dilakukan dan didapati sukar untuk dilaksanakan tidak sebagaimana dalam Ramadhan yang lepas.

Mungkin tak ini adalah antara yang berlaku?

Dalam Ramadhan, jika saya lambat berbuat sesuatu, saya fikir itu kemalasan saya secara individu. Jika malas saya adalah pada skala 1, maksudnya 1 dan setakat itulah sahaja. Tidak akan bertambah, sekiranya saya yang tidak menambah kemalasan saya.

Luar Ramadhan, jika malas saya pada skala 1, Syaitan laknat akan memberat-beratkan lagi rasa malas itu mungkin hingga ke skala 5. Malah, membuatkan saya rasa selesa dengan rasa yang sedemikian, leka dan cuai hingga beratnya kemalasan tadi mungkin sudah sampai ke skala 25..... Lebih menyedihkan saya selesa dengan rasa itu. Rasa malas itu bagaikan bercampur menjadi darah daging dengan begitu mudah....

Bagaimana perkara ini berlaku? Kerana Syaitan berada dalam darah, daging dan setiap sel-sel kita. Puasa menyebabkan syaitan terkeluar dari sistem, antaranya kerana rasa lapar dan dahaga kita semasa berpuasa.

Maka bagaimana kita nak menghadapi masalah ini? Kembali pada garisan lurus yang kita bina masa Ramadhan lepas, walaupun garisan itu terlalu nipis dan halus.

i) Buat apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah benci.

ii) Jangan bagi peluang - jangan bagi peluang untuk rasa malas, kecewa, putus asa, marah, benci dan semua rasa atau fikiran negatif yang lain. Syaitan suka ambil peluang pada waktu kita memiliki perasaan ini.

iii) Bagi arahan lengkap, pada setiap tubuh badan, akal dan hati untuk menolak Syaitan keluar dari sistem tubuh badan kita.

iv) Berpuasa sunat sebanyak mungkin

v) Berzikir dan berdoa banyak-banyak.....

vi) Bergembira melakukannya kerana Allah....

Apabila saya menulis seperti di atas, bukan bermakna saya sudah berjaya melakukannya. Walaupun itulah impian saya sebelum menutup mata. Menjadi hamba Allah yang sebaik-baiknya.  

Saya juga sedang bertatih dalam mencari kebahagian hakiki. Ia datang dan pergi. Saya cuma berkongsi apa yang sedang, akan dan telah saya lakukan kerana saya fikir ini peperangan peribadi namun, boleh dibuat secara berkumpulan, bagi Muslimah yang sekapal dengan saya.

Para Muslimah,

Semoga kita semua akan berjaya... Amin

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya 

Comments (0)