Bila membaca suratkhabar harian, ada sahaja kisah bayi dibuang, kanak-kanak ditinggalkan, didera mahupun dibunuh. Manakah perginya maruah manusia yang bergelar DEWASA! 

Dalam saya mensyukuri dunia saya yang dikelilingi anak-anak bijak dan manja, saya terkenang nasib anak-anak yang ditinggalkan ibu/ ayah di dalam tong sampah. Jika di depan surau itu, masih ada maafnya walaupun peratusan yang amat kecil. Namun, jika di tong sampah, tandas, stesyen bas.... Mana pergi akal fikiran si pelaku.

Semasa menjadi pentadbir di sebuah institusi dulu, jantung saya pernah rasa bagai nak meletup kerana mendapat cerita 'anak gadis' yang dipertanggungjawabkan kepada saya berbadan dua. Dia mengakuinya bahawa dia lari ke KL dari kampung dan menyambung pelajaran secara sendirian kerana bimbang dimarahi bapanya. Menurutnya, bapanya adalah seorang yang garang.

Saya dan rakan sekerja dengan berani mencari penyelesaian. Dia mesti maklumkan pada ibubapanya. Kami, sebagai pendidik tidak boleh mengajar pelajar menipu. Kami akan bantu untuk menjadi orang tengah kepada mana-mana perbalahan yang mungkin muncul. Tidak ada cara lain selain dari gadis itu cuti belajar dan menyambung pelajaran selepas bersalin nanti. Memang, bapanya marah. Menggigil tangan bapanya bila mendengar cerita itu, namun dia menerima hakikat yang gadis itu tetap anaknya. Dia bersetuju dengan cadangan kami, malah menerima senarai Rumah Perlindungan Remaja yang kami berikan.


Alhamdulillah, selama saya di sana, gadis terbabit menyambung pelajarannya hingga tamat. Sudah bekerja dan menjaga anaknya sendiri. Memakai tudung, menjadi muslimah yang jauh lebih baik dari kali pertama saya bertemu dengannya.... berbibir dan berkuku hitam, urban style katanya...

Ini pesanan saya buat diri dan semua ibu dan bapa, sayangi anak kita. Lihat siapa dibelakang anak kita. Kita selalu bercakap, baby ni yang jaga Malaikat. Maka, bila kita nak terlebih marah, terlebih pukul, terkurang ajar atau terkurang peduli pada anak kita, anak adik beradik kita, anak jiran kita..... bayang bayangkanlah Malaikat yang berada di belakang anak kita. Malah rezeki yang kita dapat pada hari ini, mungkin dianugerahkan kepada Allah berasbabkan anak kita, bukannya kita... yang sememangnya banyak dosa...

Buat remaja, jika sudah terlajak perbuatan dan ada 'hasil'nya. hadapi kenyataan. Satu dosa sudah cukup dan jangan ditambah lagi.

Buat ibu bapa yang berkaitan, jangan buang anak anda yang sudah terlajak perbuatan. Jangan beri mereka peluang untuk terus berdosa. Sokong dan bantu mereka bertaubat.

Buat masyarakat, doa dengan ikhlas. Bukan hina berbekas-bekas. Memang yang terlajak perbuatan bukan anak sedarah sedaging kita. Tapi, jangan lupa, tidak sempurna Islam kita tanpa menganggap orang Islam yang lain bagai saudara sedarah sedaging.

Maafkan saya, kerana agak emosional dalam isu ini. Tapi saya dah malu dengan Allah!

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)