Anak adalah amanah Allah pada kita. Mereka juga ujian buat kita. Ragam mereka seharian menjadikan kita alpa amanah ini. Terkadang, kita sebagai ibu merasakan anak itu terlalu kecil, tak tahu apa dan boleh kita arah itu dan ini serta berbuat apa sahaja ikut hati kita.

Namun ramai antara rakan saya yang anaknya sudah meningkat remaja berkata, "Sunyilah... sejak anak dah besar sekolah menengah, semua yang dia buat dengan kawan. I... dia dah tak hairan.... Kalau I tahu, I beranak ramai-ramai". Saya tersenyum mendengarnya...
Pulang berhari raya memberi saya peluang bermesra dengan anak buah;

Cerita terbaru dari Haridz, 14 tahun, "Kawan baik saya (budak perempuan), dah tak nak kawan dengan saya kerana budak lain ejek dia". Isu kecil bagi kita. Tapi besar bagi budak awal remaja. Dalam hati saya, apa saya nak nasihatkan dia.... jika silap, nasihat jadi penggalak dosa pun yea juga. Bersama adik saya, kami bergabung tenaga menasihati Haridz agar mohon sahaja dengan Allah, jika benar kawannya itu adalah yang terbaik buatnya, minta Allah izinkan mereka terus berkawan dan jauhkan diri dari fitnah.

Susah jadi dewasa, katanya. Kami tersenyum. Kena belajar sampai universiti, kena cari kerja, kena kahwin, sambungnya. Tiba-tiba datang satu idea:

Memandangkan Haridz bercita-cita nak jadi seorang ustaz, konsep berdoa adalah mudah untuk difahaminya. Saya berkata begini,

Apa kata setiap lepas baca doa untuk diri, ibu bapa dan keluarga, Haridz doakan bakal isteri Haridz. Kelakar? Sebab dia budak lagi? Jangan salah faham, anak sekarang cepat matang, daripada mereka fokus pada keseronokan dunia yang entah apa-apa. Baik kita 'channel'kan usaha untuk mereka belajar kenal tanggungjawab dan lebih bertanggungjawab.

Setiap anak lelaki/ perempuan pasti dah fikir tentang ini - kahwin. Imbas sahaja kenangan kita bersekolah dulu. Berapa ramai 'couple' yang ada dalam satu kelas.....Ha! tersenyum. Mengakupun...

Jika mereka sudah berani bercakap/ mengaku berkenaan isu ini, antara yang kita boleh nasihatkan adalah...

"Sebab itu Mama suruh kamu jadi lelaki yang baik dan beriman, belajar betul-betul dan jadi anak yang soleh. Sebab, Allah kata, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Doa banyak-banyak. Macam Mama suruh kamu sedekahkan Al-Fatihah untuk Mama, Abah, Cikgu, kamu juga boleh baca Al-Fatihah dan sebut begini: Ya Allah! Al-Fatihah ini aku sedekahkan buat isteri yang Engkau bakal jodohkan kepada ku" 

Lihat logik di bawah:

Katakan anak kita berusia 15 tahun. Dalam perancangan peribadi, anak ini mungkin berkahwin pada usia 25 tahun. Jumlah masa yang ada 10 tahun.

10 tahun ada 10 x 365 hari = 3650 hari.
1 hari anak kita solat wajib 5 kali;

Maka 5 x 3650 kali solat wajib = 18,250 kali anak kita akan mensedekahkan Al-Fatihah kepada bakal isteri/ suami mereka.

Insya-Allah, itu akan menjadikan mereka lebih berusaha untuk mencapai yang terbaik, mencari calon suami/isteri yang terbaik dan mengusahakan rumah tangga yang terbaik. Siapa yang akan tumpang bahagia.... tentu kita....Amin.

Keluhan Piya, 8 tahun pada Pak Usunya, "Piya susah nak dapat nombor 1. Abang asyik dapat nombor 1". Pak Usu pula menjawab, "Masa sekolah dahulu, Pak Usu pun susah nak dapat nombor 1. Kadang-kadang sahaja dapat nombor 1". Pia menjawab,"Oh! ye ke... Tapi Pak Usu pernah dapat nombor 1, Piya tak pernah sekalipun".

Kadang-kala kita fikir anak-anak yang manja dan aktif bermain tidak peduli tentang pencapaian mereka, tetapi sebenarnya, pada waktu tertentu, mereka juga berani untuk meluahkan keluhan hati mereka. Dalam hal ini, ramai ibu bapa yang sedar, apa yang penting adalah peratusan keseluruhan yang dicapai oleh anak, namun "NOMBOR 1" adalah yang sering kita bayangkan kepada anak tentang kecemerlangan.

Kembangkan konsep ini, 
Kalau kamu solat nombor 1, maksudnya solat on-time lepas dengar Azan, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu bangun pagi nombor 1, maksudnya Mama kejut bangun pagi, kamu terus bangkit, tak banyak soal terus mandi, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu tolong Mama/ Abah/ Cikgu nombor 1, maksudnya apa Mama/ Abah/ Cikgu minta tolong, kamu terus bangun tolong Mama/ Abah/ Cikgu dengan ikhlas, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu siap kerja sekolah dengan baik, tanya Mama atau Abah, jika tak faham, mana-mana soalan,  Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu baca balik semua nota yang kamu salin dari cikgu di sekolah hari ini,  Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Saya yakin, jika kita hubungkaitkan semua perkara kecil dan besar yang berkaitan dengan anak kita, dengan keinginannya untuk mencapai kecemerlangan 'NOMBOR 1' itu, dia akan dilatih untuk faham bahawa 'buat homework bukan satu-satunya perkara untuk dapat nombor 1'. Anak akan faham kecemerlangan hidup ini adalah sesuatu yang besar dan bukannya terhad antara empat dinding rumah atau empat dinding pagar sekolah.

Cerita dari anak kami pula, 10 tahun usianya. Meluahkan hajat hati tentang hadiah jika cukup puasa 30 hari. Mama memilih untuk dia memiliki netbook sendiri, namun dia memilih untuk memiliki Lego dan ini semua diluahkan kepada Abahnya ketika mereka duduk berbincang man-to-man talk. Bab ini, memang kelebihan Abah dan anak kami yang memang memandang tinggi Abahnya sebagai seorang pemimpin. Sebagai Mummy, saya ikut sahaja. Semuanya pun baik untuk anak kesayangan itu. Lego makes him express himself, which is good for him.

Cerita Alya, 8 tahun. "Kakak, Azie tak faham kenapa Alya suka menari-nari, membuat gerakan-gerakan pelik, cakap seorang-seorang dan tak reti duduk diam", tanya adik saya melalui Skype dari Jerman. Saya kenal Alya sebagai anak yang manja dan lemah-lembut, tapi jangan berani buat dia naik angin. Tapi itu dulu ketika dia 6 tahun.  "Apa hobinya sekarang?",tanya saya. "Menulis Jurnal... Memang kami curi-curi baca tapi banyak yang tak faham", jawab Mamanya. Alya fasih berbahasa Jerman. Bahasa Malaysianya ok tapi dia kurang praktis melainkan dengan Mamanya sahaja. Jurnalnya ditulis dalam bahasa Jerman. Melalui skype, dia sudah tidak kenal dengan saya. "Siapa tu?",tanyanya kepada saya. "Cik Ngah lah....", jawab saya. Nasib baik dia ingat neneknya, jika tidak, parah kami di sini untuk memujuk Mama saya tu. Kepada Azie, saya katakan "Alya mungkin banyak imiginasi. Dia imagine dirinya melakukan sesuatu, cuma kita sahaja tidak faham". Azie ketawa... "Betul, hari itu, dia cakap seorang-seorang, macam cikgu mengajar depan kelas. Then dia berlakon macam doktor pada adiknya yang baru berusia empat bulan. Ada juga sekali dia berlakon jadi chef di rancangan masak-masak". Rupanya Alya sedang mencari jawapan pada pertanyaan "Apa saya nak jadi bila dewasa nanti"....

Saya terkenang diri ini pada saya sebaya Alya. Saya juga begitu. Bermain basikal berseorangan dan bercakap sendirian, belum lagi ambil bedak kompak Mama, atau makan maajun Atuk Saleh, atau minum tonik Cap Gajah Abah. Semuanya tanpa pengetahuan mereka dengan niat yang baik iaitu nak jadi cantik, sihat dan kuat macam mereka.... saya memang berani.... Tapi itulah yang membina diri saya sekarang....

Alhamdulillah... Hidup kita lengkap bila mengenang adanya anak-anak di sekeliling kita, jauh atau dekat. Saya bersyukur kerana semua adik beradik dan ipar duai saya menerima cara saya berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Saya sayangkan mereka bagai anak sendiri, saya tegur atau marah jika perlu. Saya ikhlaskan hati dalam hubungan saya dengan anak-anak ini. Buat macam anak sendiri, kerana, saya juga mahu anak saya disayangi, dikasihi dan ditegur, jika perlu, dengan ikhlas oleh semua pakcik dan mak cik mereka. Jika ditakdir Suami, Kakak atau saya sudah tiada, kepada merekalah anak kami ini akan dipertanggungjawabkan. Panjangnya umur kita tiada siapa yang tahu...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)