Kenangan Lalu...

Kampung halaman menggamit jiwa. Seperti biasa, saya ke pasar besar. Kami ambil keputusan untuk buat ketupat version original - semata-mata untuk mengimbas kenangan sewaktu kecil. Yang menjadi perkara keutamaan adalah mencari penjual-penjual yang sudah biasa berurusan sejak saya menemani Mama saya ke pasar suatu waktu dulu.

Mak Cik Peah, penjual ikan yang kecik comel, kalau nampak saya, akan tanya "Cikgu apa khabar?". Soalan itu merujuk kepada Mama dan Abah saya.  

Pak Cik Hassan, penjual sayur kampung, juga akan tanya soalan yang sama.

Pak Cik xx dan Kakak yy, penjual barang dapur seperti bawang, ikan bilis dll juga bertanyakan soalan itu.

Saya ada banyak pilihan lain, malah ada orang lain yang jual barang yang sama tetapi lebih murah. Mungkin saya seorang yang setia atau sentimental. Mereka adalah wajah kesayangan saya. Memang tak setaraf dengan suami atau keluarga. Ia bagai kasih sayang seorang anak kepada pak cik dan mak ciknya. Mereka semua sudah tua. Dalam lingkungan 50 an - 60 an. Sekiranya, saya mampu dan ditakdirkan ibu bapa saya pergi dahulu, mereka adalah antara figura yang bakal saya kunjungi biarpun hanya sekadar di pasar kerana mereka pernah menceriakan ibu dan ayah saya sepanjang pengetahuan saya. 

Ada juga yang saya sudah tidak jumpa. Mak Cik Kesian, merujuk kepada mak cik yang jual kerepek-kerepek/ kuih tradisional buatan sendiri. Saya pasti beli kuih siput pedasnya yang memang yummy...

Begitu juga dengan Pak Cik Kesian, merujuk kepada pak cik yang jual apam balik. Langsung saya tak nampak muka pada kunjungan kali ini.

Perniagaan kakak putu piring pula sudah diambil alih oleh adiknya.... Saya pasti beli. Nak makan atau tidak, saya tak peduli. Ada ramai ahli rumah yang pasti gembira menyambut saya pulang dari pasar.

Tentu saya tak lupa singgah ke kedai cendol tersedap di bandar kelahiran saya, membeli cendol sehingga 10 bungkus, RM2.00 setiap satu. Bukan saya seorang, ramai peminat setia baya saya yang berbuat begitu. Berbual dengan mereka yang singgah, kami akui kami membesar dengan cendol di kedai itu..... Mama pasti geleng kepala melihat apa yang saya beli.

Kebanyakkannya saya beli atas dasar "for the sake of old time". Tapi cendol itu memang sedap.... Suami saya tersenyum ... saya pasti!

Harga barang sudah naik.... terharu melihat orang tua, dalam usia 60an - 70an yang masih ke pasar membeli ikan merah dan ikan parang bersaiz besar. Tentu untuk hidangan anak menantu yang mungkin dalam perjalanan pulang. Semoga anak menantu juga berbesar hati untuk pulang berjumpa mereka.

Abah dan Mama gembira melihat kami pulang. Saya tahu, saya dan suami adalah antara wajah kesayangan mereka ... Dan Aidilfitri ini, seperti sebelumnya adalah satu pengorbanan antara suami dan saya. Semoga keredhaan kami melakukannya dengan ikhlas akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Saya gembira Abah dan Mama memahaminya...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

[Catatan Penulis : Pak Cik/ Mak Cik Kesian merujuk kepada seorang Mak Cik dan Pak Cik yang berwajah sempurna di mata saya tetapi melahirkan rasa kasihan di jiwa saya, sejak kali pertama saya melihatnya. Seingat saya waktu itu saya hanya berusia 8 atau 9 tahun. Pak Cik xx dan Mak Cik yy adalah pasangan suami isteri yang saya tak pasti namanya, namun ramah orangnya.]

Comments (0)