Dalam Abad yang mencabar ini, dengan permintaan orang pandai/ bodoh terhadap hak yang bukan hak, dengan serangan akal terhadap fesyen, makanan, gaya hidup dan pertuturan melalui pelbagai media terang atau kelam, apakah institusi yang boleh mengikat hati kita?

Tak kira anda tinggal di mana? Bersekolah di mana? Shopping di mana? Makan di mana? Setiap waktu berkesempatan dan ruang Jumaat yang sedia lapang, kita akan bertemu di rumah Allah, di Masjid. Inilah satu-satunya institusi yang mengikat hati kita.

Ketika saya bersekolah menengah, ada sebuah buku usang yang saya baca di surau asrama. Antara kata penulis yang saya ingat adalah : Si Kafir berjaya kerana meninggalkan rumah ibadah mereka, Islam gagal kerana meninggalkan Masjid.

Saya percaya, jika semua kita mendekatkan diri dengan Masjid, sedikit sebanyak kita akan menjadi lebih baik dari saat kita mula melangkah masuk ke pintu Masjid itu. Masjid adalah rumah Allah dan tentu ada daulatNYA.

Bayangkan, jika anak yang hendak ketenangan belajar untuk menduduki peperiksaan besar, kita izinkan belajar di dalam Masjid. Anak yang inginkan ketenangan hati, kita izinkan duduk beriktikaf di dalam Masjid. Anak yang nakal dan hendak melembutkan hati, kita minta mereka menjadi pekerja am di Masjid. Membantu Pak Imam atau AJK Masjid membersih karpet, mencuci toilet, membasuh pinggan selepas More, mengelap lantai dll.

Namun, saya percaya, ada ibu bapa akan kata "Kenapa nak suruh anak saya sedangkan AJK Masjid dapat elaun untuk buat itu semua....". Dangkalnya. Sebenarnya kita tahu yang anak kita liat ke Masjid. Atau hanya  ke Masjid untuk Solat Jumaat, itupun jika Mak atau Ayah dah tegur.

Saya percaya, kenakalan anak-anak boleh dijinakkan dengan selalunya mereka berada di Masjid untuk apa sahaja aktiviti. Siapa yang kita tak jumpa di Masjid? Orang kaya dengan kereta berjenama? Ada. Orang miskin yang perlu dibantu? Ada. Pencuri yang mencuri selipar? Ada. Mana yang baik kita jadikan pedoman dan motivasi. Mana yang tidak, dijadikan sempadan.

Malah, Tok Bilal boleh buat kelas Melafaz Azan kerana 'siapa selepas kita' perlu dipersiapkan. Jangan tunggu Pak Bilal atau Tok Imam yang ada sudah hilang gigi atau ketar lutut baru sibuk nak latih anak kariah menggantikan tempat mereka.

Jangan takut wahai umat Islam di Malaysia. Datanglah kembali ke Masjid dengan niat kerana Allah. Allah akan satukan hati kita. Biar kita berlainan cara berfikir dan berlain pendapat. Biar orang yang disebelah kita, gaya pakaiannya tidak kita berkenan, asalkan berada dalam satu saf yang sama, mereka adalah Saudara.

Para Muslimah!

Saya menyeru kita ajak atau perintah anak-anak lelaki kita, terutamanya, untuk lebih kerap ke Masjid. Biar hati mereka rapat ke Masjid. Belajar di Masjid. Bermain di Masjid. Bersosial di Masjid.

Pada mana-mana isteri Tok Imam, bisikkan pada Suami puan untuk buat program anak-anak dan remaja. Tak semestinya yang berkait dengan sekolah - mungkin hobi seperti penulisan khat, penulisan kreatif dll. Kelas Bahasa Asing seperti Bahasa Arab dan Mandarin atau apa sahaja. Jangan lupa aktiviti yang melibatkan sukan seperti Sukaneka, Merentas Desa dan lain-lain.

Pada mana-mana isteri Pak Bilal, yang biasanya mempunyai nada suara yang sedap, bisikkan pada Suami puan untuk buatkan program yang berdasarkan seni suara. Kelas mengalunkan Azan, Berzanji, Kelas Tarannum, menubuhkan kumpulan Nasyid dll.

Saya mengimpikan Masjid yang memiliki kolam renang, padang menunggang kuda dan lapangan memanah. Bayangkan apa yang anak kita akan kata.... Masjid kami Terbaikkkk!!!!  

Mungkin ada yang mengatakan, kami tidak mahu Masjid menjadi riuh dengan jeritan anak-anak... Cukup-cukuplah lari dari tanggungjawab dan melihat anak sebagai bebanan. Saya tak keterlaluan mengatakannya yang ada sesetengah ibubapa penat dengan kerenah anak-anak hingga ambil jalan mudah melepaskan diri masing-masing. Bila anak-anak kita anggap sebagai beban, dah tua nanti, anak anggap kita yang tua ini sebagai beban. Bila anak-anak kita anggap sebagai tanggungjawab, dah tua nanti, anak anggap kita yang tua ini sebagai tanggungjawab.

Bagaimana jika kita sediakan prasarana khas untuk kanak-kanak di dalam masjid. Ruangan khas untuk mereka bersolat atau ruang 'playground' macam di Mc Donald yang pasti menyebabkan mereka leka di situ. Kedua-dua tempat ini boleh diawasi oleh para Muslimah yang 'on-leave solat'. Siapa yang berminat untuk menyahut cabaran ini?

Sudah masa kita untuk fikir, bukan setakat, apa warna kubah Masjid? Lebih baik kita fikir apa yang akan wajib dilakukan untuk menarik Jamaah datang 24/7 dengan aktiviti yang boleh mengikat hati kita kepada Masjid dan seterusnya kepada pemiliknya iaitu Allah SWT.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya 


Comments (0)