1 Syawal ini, Abah menyatakan hasratnya untuk mengubah tradisi. Jika sebelum ini, sebaik pulang dari masjid, kami akan mengunjungi kubur datuk, iaitu Arwah Ayah Abah, kini, Abah menukarkannya dengan membuat Majlis Bacaan Yaasiin, Tahlil dan Doa Selamat untuk ahli keluarga. Saya fikir, Abah melihatnya untuk merapatkan hubungan beliau dengan para menantu, Abah dan Mama sudah kehilangan empat orang besan mereka dalam tempoh dua tahun. Malah, majlis ini lebih sesuai memandangkan, kami ada ramai anak-anak saudara yang terlalu kecil. Kubur datuk akan hanya dikunjungi kemudian oleh Abah dan adik beradik lelaki saya sahaja.

Selesai bertahlil, bermaafan, bergambar, makan, kami bersiap untuk memulakan kunjungan ke rumah mereka yang istimewa:

i) Mak - beliau adalah 'nanny' kami yang menjaga kami ketika kami kecil lagi. Bagaikan saudara sedarah, biarpun bukan, di rumahnya kami akan makan lagi biarpun baru makan sebelum keluar dari rumah. saya sayang Mak macam saya sayang Mama. Mak jaga saya sejak saya dilahirkan, menyayangi saya dengan kasih sayang yang meresap dijiwa. Bagai ibu melayani kami lima beradik, sedangkan beliau tidak memiliki anak sendiri. Tugas Mak adalah mengemas rumah dan membasuh baju sambil menjaga kami. Selesai kedua-dua tugas itu, beliau akan membawa kami balik ke rumah beliau sehingga Mama saya pulang dari sekolah. Kami akan balik rumah, Mama akan memasak dan makan... Jika tiada apa nak buat, kami bersama Mama akan pergi rumah Mak sementara menunggu Abah pulang dai sekolah. Waktu itu, Mama mengajar waktu pagi, Abah pula mengajar waktu petang. 

Masa kecil, jika saya baru sembuh dari demam yang lama, Mak akan pilih seekor ayam yang dipeliharanya untuk disembelih dan buat sup. Mak pernah hadiahkan saya patung kanak-kanak tapi Abah buang sebab Abah tak suka ada sebarang patung dalam rumah. Sejak itu, Mak akan hadiahkan saya permainan lain seperti set pinggan mangkuk plastik, biji guli, antara yang saya ingat. Jasa Mak terlampau besar, beliau jugalah yang mengasah pensil saya setiap pagi dengan pisau dapur sebelum ke sekolah. Kalau kena marah dengan Mama, Mak akan pujuk. Mak tak pernah marah kami.

Hujung minggu, kadang-kadang, Abah akan izinkan kami tidur di rumah Mak yang jaraknya hanya 250M dari rumah kami dan boleh anda bayangkan kami berulang alik dari rumah kami ke rumah Mak, macam pergi dari bilik depan ke bilik belakang, kadang-kadang berkali-kali pada satu hari. Kalau tidur di rumah Mak dan hari hujan, kami akan main hujan. Bila hujan sudah berhenti, kami akan ikut Mak ke belakang rumah untuk menggali ubi kayu. Kemudian kami akan masak dan makan ubi kayu rebus dengan ikan masin dan air kopi.... SubhanAllah.... sedapnya....  

Jika ada siaran langsung sukan, bola sepak atau tinju, Mak dan Atuk Saleh (Arwah Suami Mak) akan datang menyaksikannya bersama-sama kerana rumah kami adalah antara rumah pertama yang ada TV. Pada masa itu, wayar TV akan di sambung ke bateri kereta Volksagen Abah.... Best......

ii) Nenek - adalah Mak Abah. Sebenarnya beliau tidak rapat dengan kami, mungkin pada waktu kami kecil, beliau menjaga beberapa orang sepupu saya yang lain, yang mereka panggil nenek 'Mak'. Tak banyak cerita yang saya boleh coretkan di sini, bukan kerana saya tidak sayang pada Nenek, tapi hubungan itu memang hubungan yang agak formal sebenarnya.

Untuk 1 Syawal, itu adalah jadual lawatan kami yang biasa. Namun, Syawal ini, Abah mengajak kami melawati dua buah rumah datuk saudara kami. Salah seorangnya akan pergi mengerjakan haji tahun ini. Salah seorang lagi, kami melawati balunya kerana datuk baru meninggal dunia seminggu sebelum Ramadhan.

Malam itu, Along selamat balik dari KL. Mama adalah yang paling gembira....

2 Syawal, kami beraya hingga ke Johor Bahru. Kami kunjungi sebahagian rumah adik beradik sebelah Mama, empat buah rumah semuanya dan salah seorang besan Mama, Mak Cik Kam. Mak Cik Kam adalah Mak Mertua adik saya yang tinggal di JB, suaminya baru meninggal dalam tahun ini. Saya masih mengingati Arwah yang sememangnya amat ramah. Kami sering mengunjungi pada setiap Syawal kerana rumahnya terletak antara kampung Mama saya dan Johor Bahru.

Puas hati saya apabila Syawal ini, semua individu penting dapat dilawati dengan sebaik mungkin. Maklumlah, tiada siapa yang tahu, ia mungkin yang terakhir, buat saya atau mereka... Hanya Allah yang tahu...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya  




Comments (0)