Antara dua makhluk yang wujud di dunia, Si bodoh dan Si penipu. Tanpa menambah syarat dan ciri lain, siapa yang kita lebih rela jumpa?
Jawapan saya.... Si bodoh.Itu pilihan saya. Si bodoh akan kata tak tahu dalam semua hal yang dia tak tahu. Lebih memudahkan, Si bodoh tidak menipu dan cuba memperbodohkan kita.
Si penipu pula, dengan sifat penipu itu mampu membuat kita nampak dia seperti orang yang pandai, orang yang bodoh, orang yang kaya atau orang yang miskin. Mana-mana pun boleh dilakonkan watak itu di hadapan kita mengikut apa kepentingannya.
Dalam memulakan hubungan, jauhkan diri dari Si penipu, walaupun kita kata kita pandai 'handle' orang seperti ini, kerana tiada penipu yang boleh berhenti menipu. Kenapa? Satu penipuan perlu ditutup dengan tiga penipuan. Kira sahajalah gandaannya berapa. Jika terpaksa pula berkawan dengan si bodoh, ajarlah dia jadi cerdik. Si bodoh boleh menjadi cerdik kalau kena gaya dan usahanya.
Kepada Si penipu, jika yang ditipu isu diri sendiri, itu terpulang. Namun, kalau ia melibatkan hak atau kepentingan ramai orang - tunggu sahaja bala yang datang. Janji Allah adalah benar, doa orang yang dizalimi akan diangkat. Jika kita tergolong dalam kumpulan yang dizalimi, senyum banyak-banyak pada ALLAH... doa banyak-banyak. Semoga semuanya diangkat. Jangan lupa doakan kawan-kawan yang masuk dalam kumpulan Si bodoh supaya cepat jadi cerdik.
Paling penting, doakan diri sendiri dan keluarga tersayang supaya ALLAH lindung kita semua dari menjadi seorang penipu dan seorang yang bodoh. Amin
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
11/22/2011 01:31:00 pm |
Category: |
0
comments
Comments (0)