Kita dinilai setiap saat oleh ALLAH SWT, bukan manusia. Sayangnya, kita pentingkan apa yang manusia cakap lebih dari apa yang ALLAH lihat tentang kita. Benar, pandangan manusia itu penting, namun, dari mana asalnya pandangan manusia itu, jika bukan dari izin ALLAH?

Kita tengok muka kita di cermin pada waktu selepas buat Appraisal dengan ketua di tempat kerja.

Senyum.... sebab muka bos nampak happy buat appraisal pada kita tadi. Lagipun, prestasi memuaskan - staf di bawah kita mencapai target yang ditetapkan, dokumentasi amat memuaskan, pelanggan berpuas hati dan bos pun berpuas hati dengan disiplin, kerjasama, komitmen dan dedikasi yang kita tunjukkan.

Poyo..... sebab muka bos pun nampak poyo buat appraisal pada kita tadi. Lagipun, prestasi kita ala-ala suam kuku - staf bawahan pun lembap, dokumen berterabur, banyak komplen dari pelanggan yang memanaskan punggung bos dan bos pun tak puas hati dengan staf bawahan yang pandai curi tulang, banyak pertikaian dan tidak ada sifat bekerjasama dalam kumpulan.

Muram...... sebab muka bos pun muram buat appraisal pada kita tadi. Lagipun, sepanjang tahun ini, kita asyik kena bambu sebab banyak benda, kita buat perangai atau staf bawahan buat perangai.....

Itulah ironinya dunia kerja.... semua yang bekerja sekurang-kurangnya berusia 18 tahun, memiliki sekeping dua sijil, ada yang sudah berpengalaman.... bila kita buat perangai, bos kita marah kita - betul.... layak untuk kita sebab kita yang buat perangai. Kemudian, bos kepada bos kita, marah bos kita sebab kita buat perangai - adil kah? Kita sudah dewasa. Sudah mumaiyiz. Tahu mana benar mana salah. Mungkin ada yang kita keliru, tapi saya yakin kita tak perlu keliru terlalu lama.... di keliling kita ada ramai/ banyak sumber untuk membantu kita mengeluarkan diri kita dari kekeliruan. Jika kita tidak berbuat apa-apa, membiarkan keliru itu terus keliru. Itu menzalimi diri sendiri dan hidup tak aman dan boleh mendatangkan dosa. Apatah lagi, jika kita sengaja membuat angkara di tempat kerja, kita sengaja menganiaya diri dan orang lain, terutama bos yang memang percaya kita 100%, Itu bukan sahaja kita menzalimi diri kita, orang lain dan agama juga. kerana apa sahaja yang kita lakukan, kita adalah duta agama kita, Agama Islam.

Itu baru cakap pasal prestasi kerja. Bagaimana prestasi kita dengan keluarga?

Jika Suami dan Anak sentiasa gembira dan bahagia dengan kita, kita gembira.
Jika Suami dan Anak sedang poyo dengan kita, kita pun poyo juga.
Jika Suami dan Anak sedang muram, kita pun muram juga.

Di dalam hal bekeluarga, anak hendak periksa di sekolah, ibu dan ayah yang berdebar lain macam di rumah/ ditempat kerja. Ada ketikanya, anak kita itu sempoi sahaja, kita yang sakit perut, pening kepala mengenangkan keputusan apa yang akan dicapai mereka. Seperti yang Kakak saya kata, "Alah.... bila kita tanya anak, anak kata... semua soalan boleh jawab, Mama.". Yang buat kita, Mama dan Abah kecut perut adalah apa yang anak kita boleh jawab tu betul atau tidak. Ha ha ha....

Belum lagi, bila tengok anak dan suami beria-ia makan masakan yang kita sediakan.  Wah! Kadangkala ikan goreng dan sayur masak air sahaja.... tapi ghairahnya menghadap rezeki.... MasyaALLAH... Anugerah ALLAH berada di hadapan mata.

Itulah seronoknya berkeluarga... Tiada pengkhianatan yang berlaku sama sekali kerana agenda suami adalah agenda kita. Agenda anak adalah agenda kita. Agenda kita adalah agenda mereka.

Di dalam hidup berkeluarga, jika anak buat perangai, kita rasa rela mengambil tanggungjawab itu, kerana anak kita memang di bawah didikan kita dan warna hatinya, banyak diwarnai oleh tunjuk ajar kita sejak dia mula lahir. Rasa rela itu berterusan, hingga anak kita dewasa, memilih kehidupan sendiri dan doa kita sebagai ibu/ bapa pasti akan berterusan semoga semuanya berakhir dengan sebaik mungkin.

Berbeza, dengan dunia kerja, ada rakan sekerja yang cuma nak menimba pengalaman dan akan pergi ke syarikat lebih baik bila tiba masanya. Ada rakan sekerja yang cuma bekerja kerana terpaksa untuk mencari pendapatan menampung kehidupan. Ada rakan sekerja yang cuma bekerja kerana sunyi duduk rumah dan sebagainya. Pada pengakhiran hari, rupanya kita baru sedar, hanya agenda mesyuarat yang sama. Hatta, niat datang bekerja juga mungkin berbeza...

Saya percaya rasa sayang, rasa mesra, rasa percaya, rasa setia dan mencari pahala adalah lebih mudah di rasa dan mudah didapati di rumah berbanding di luar rumah. Di kalangan keluarga berbanding bukan keluarga. Di kalangan yang dekat bukan di antara yang jauh.

Hanya ALLAH SWT yang mampu menilai semua hambaNYA dengan sebaik-baik dan seadil-adil penilaian. Wallahuaklam.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)