Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Setiap kita mesti bersyukur dengan apa yang ALLAH SWT berikan kepada kita. Namun terkadang kita terlepas perbuatan dalam kehidupan seharian. Untuk mengakuinya pada orang lain mungkin sukar. Namun, jika kita tidak mengakuinya pada diri sendiri, lantas proses memperbaiki diri adalah suatu perkara yang mustahil dan tidak mungkin akan berlaku.

Sayang, sepanjang tempoh kita duduk dalam kebodohan dan memperbodohkan diri, mungkin kelima - lima perkara sebelum, seperti yang tersebut di dalam Sabda Rasulullah SAW akan terlepas tanpa kita sedar. Jadilah kita manusia yang beruntung tapi tak tahu diuntung.

Kenapa?

Kita mungkin berjaya dalam satu fasa kehidupan, kita berjaya melaluinya namun harus diingat dalam setiap apa yang kita dapat, adalah anugerah dari ALLAH SWT atas keinginan kita, usaha kita dan doa kita, setentunya kerana kasih-sayang dan belas kasihan dari NYA. Pada fasa yang lain kehidupan yang seterusnya, kita mungkin jadi manusia yang paling tidak bahagia, menyesal dan hidup melara. Hendakkah kita begitu?

Satu demi satu kekhilafan dan kesilapan yang kita lakukan sejak baligh akan ALLAH SAW datangkan semula ingatan tersebut pada kita pada bila-bila masa kerana ALLAH masih ingin memberi peluang untuk kita bertaubat. Sejak menghampiri usia 40, itu yang berlaku pada saya. Dan mana-mana individu yang telah melepasi tempoh umur itu, yang saya hubungi dan bersetuju untuk berkongsi cerita, juga mengakui bahawa mereka juga melalui pengalaman yang sama.

Apa yang saya harus lakukan?

Kakak saya kata, patut bersyukur kerana saya menyedari petunjuk dariNYA. Walaupun saya akui, ada sesetengah ketidak sempurnaan itu begitu mengganggu fikiran sebenarnya. Kakak saya kata jangan biarkan, dengar petunjuk itu dan ambil tindakan perlahan-lahan.

Contohnya,

Solat... Bila kita mula yakin dengan Solat yang kita lakukan? Masa remaja dulu, terkadang solat macam ribut. Lebih ribut dari berlari keluar jumpa kawan untuk bermain bersama di pangkin belakang rumah. Buat kerja sekolah dan tolong Mama pula macam siput.

Puasa... Bila kita mula puasa dengan sempurna mungkin?

Dalam hal Solat dan Puasa, bukanlah tidak solat atau tidak puasa, namun bersolat dan berpuasa yang BERASA. Sedikit sebanyak, boleh rasa solat itu atau puasa itu. Apa rasa ketika hendak menyerahkannya kepada ALLAH SWT. Itu maksud saya.

Bayar Zakat Pendapatan.... Bila kita mula membayar zakat pendapatan? Ironinya, ketika saya menjadi pengurus dulu, beria-ia saya memanggil pegawai KWSP dan HLDN datang ke organisasi saya untuk mereka memberi penerangan tentang hak dan tanggungjawab pekerja bawahan saya, yang rata-ratanya orang muda. Namun saya tidak terfikir pula untuk memanggil Pusat Zakat memberi penerangan yang sama. Ampunkan aku, Ya ALLAH.

Adakah saya ingin menjadi orang yang beruntung tapi tidak beruntung?

Orang yang dianugerahkan ibubapa yang baik, tetapi mudah melupakan jasa mereka.
Orang yang diamanahkan suami dan keluarga yang bahagia, tetapi mudah mengetepikan sumbangan mereka.
Orang yang dianugerahkan sahabat yang baik, namun, hanya kerana berpisah arena, sepotong doa pun tidak saya ucapkan untuk mereka...

Masya-ALLAH. Inilah manusia memang lalai. Saya lalai dan wajib buat saya untuk keluar dari kelalaian itu.

Bagaimana untuk saya perbaiki kehidupan saya agar hidup saya lebih berkat pada masa hadapan.

i) Bayar balik semua hutang..... hutang puasa, yang masih berhutang, jika ada. Jangan lupa fidyahnya sekali. Hutang Zakat, malah pendapat sekarang, walaupun sedikit, bayar zakat siap-siap. ALLAH akan mengimarahkan lagi rezeki kita Insya-ALLAH. Hutang pinjaman pendidikan, hutang bank dan apa juga hutang duit, usahakan untuk kita bayar balik. Keberkatan rezeki amat penting. Duit yang kita bawa masuk sebagai rezeki keluarga akan jadi darah daging... mesti halalan toyyiban. 

ii) Ganti Solat .... tips ini saya dapat dari beberapa orang tua yang saya kenal. Setiap masuk waktu, mereka akan solat 2 kali, satu untuk waktu itu pada hari tersebut, satu untuk ganti waktu itu pada hari terdahulu.

iii) Buat baik banyak-banyak. Minta Ampun dari ALLAH SWT. Hanya DIA yang  berhak mengampunkan kita. Semoga Syurga di Akhirat ini buat kita atas kebaikan dan usaha kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. 

Wallahuaklam.


Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)