Pada Ramadhan yang lalu, kita telah cuba berusaha mengubah beberapa sisi diri kita dan cuba sedaya upaya untuk beristiqamah dengannya.

Setelah Ramadhan berlalu, usaha yang sama cuba dilakukan dan didapati sukar untuk dilaksanakan tidak sebagaimana dalam Ramadhan yang lepas.

Mungkin tak ini adalah antara yang berlaku?

Dalam Ramadhan, jika saya lambat berbuat sesuatu, saya fikir itu kemalasan saya secara individu. Jika malas saya adalah pada skala 1, maksudnya 1 dan setakat itulah sahaja. Tidak akan bertambah, sekiranya saya yang tidak menambah kemalasan saya.

Luar Ramadhan, jika malas saya pada skala 1, Syaitan laknat akan memberat-beratkan lagi rasa malas itu mungkin hingga ke skala 5. Malah, membuatkan saya rasa selesa dengan rasa yang sedemikian, leka dan cuai hingga beratnya kemalasan tadi mungkin sudah sampai ke skala 25..... Lebih menyedihkan saya selesa dengan rasa itu. Rasa malas itu bagaikan bercampur menjadi darah daging dengan begitu mudah....

Bagaimana perkara ini berlaku? Kerana Syaitan berada dalam darah, daging dan setiap sel-sel kita. Puasa menyebabkan syaitan terkeluar dari sistem, antaranya kerana rasa lapar dan dahaga kita semasa berpuasa.

Maka bagaimana kita nak menghadapi masalah ini? Kembali pada garisan lurus yang kita bina masa Ramadhan lepas, walaupun garisan itu terlalu nipis dan halus.

i) Buat apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah benci.

ii) Jangan bagi peluang - jangan bagi peluang untuk rasa malas, kecewa, putus asa, marah, benci dan semua rasa atau fikiran negatif yang lain. Syaitan suka ambil peluang pada waktu kita memiliki perasaan ini.

iii) Bagi arahan lengkap, pada setiap tubuh badan, akal dan hati untuk menolak Syaitan keluar dari sistem tubuh badan kita.

iv) Berpuasa sunat sebanyak mungkin

v) Berzikir dan berdoa banyak-banyak.....

vi) Bergembira melakukannya kerana Allah....

Apabila saya menulis seperti di atas, bukan bermakna saya sudah berjaya melakukannya. Walaupun itulah impian saya sebelum menutup mata. Menjadi hamba Allah yang sebaik-baiknya.  

Saya juga sedang bertatih dalam mencari kebahagian hakiki. Ia datang dan pergi. Saya cuma berkongsi apa yang sedang, akan dan telah saya lakukan kerana saya fikir ini peperangan peribadi namun, boleh dibuat secara berkumpulan, bagi Muslimah yang sekapal dengan saya.

Para Muslimah,

Semoga kita semua akan berjaya... Amin

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya 
Apa jua yang kita lakukan, semoga bermanfaat. Jika belum mampu untuk orang lain, semoga bermanfaat untuk diri sendiri.

Pada masa saya menerima pelawaan Suami untuk mula menulis di Blog ini, saya terharu dengan kepercayaan yang diberikan, agar saya meneruskan bidang yang saya minati, iaitu penulisan dan mengharapkan manfaat dari apa yang saya tuliskan. Insya-Allah.

Saya bertuah dapat bercakap dengan taiko penulisan baru-baru ini. Biarpun kami belum bertentang mata, nasihat darinya amat saya hargai.

Wanita di Malaysia gemar membaca, biarpun saya tidak pasti berapa ramai yang masuk kategori ini, atau berapa banyak purata buku yang dibaca dalam setahun. Maka, selain dari pembaca yang berhak memilih bacaan yang terbaik, penulis juga bertanggungjawab memberikan hasil penulisan yang baik - bukan semata-mata menjadi ruang escapism tetapi melaluinya dapat menambah prespektif pembaca dalam menilai dunia yang penuh cabaran ini.

Para Muslimah,
Saya mengingatkan diri ini dan anda semua, walau apa juga bahan bacaan kita, Al-Quran dan Hadis adalah bahan bacaan yang utama dan unggul sepanjang hidup kita.
Semoga Allah memberi idea yang baik, jelas dan manfaat kepada semua penulis Muslimah. Marilah kita bersama-sama menulis dengan akal dan hati. Semoga bermanfaat buat kita dan pembaca. Amin.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Hari ini saya mengharapkan kepada para Muslimah yang sudah jumpa Mesin Lipat Kain, sila hubungi saya. Tapi saya tak nak yang ada nama macam saya atau boleh cakap macam saya. Saya nak mesin bukan orang.
Sehingga tarikh saya berjumpa mesin itu, berikut adalah tips untuk melipat kain bagi wanita bekerja, termasuk yang bekerja di rumah:
i) Ianya mesti bermula dari proses mencuci baju - klasifikasikan jenis baju spt baju kurung/ kemeja kerja, baju sekolah anak-anak, baju basahan di rumah, baju sokongan yang Puan-puan faham tentunya.

ii) Untuk melipat, asingkan juga sebagaimana di atas. Baju kurung/ kemeja kerja, baju sekolah anak-anak sidai guna hanger - jimat masa, senang nak cari, anak lelaki boleh ambil kontrak buat bahagian ini.

ii) Masa nak melipat kain bagi jenis lain, anak lelaki dan perempuan yang berusia 8 tahun dan ke atas diwajibkan turut serta untuk melipat pakaian masing-masing bersama-sama. Buat secara berjamaah. Boleh buat sambil adakan sesi bual bicara. Elakkan buat depan TV, sebab anak-anak akan lari fokus, maka, masa yang diambil untuk melipat akan terlalu panjang. 

iii) Ajar anak-anak untuk buat time frame :
a) Kira berapa helai kain,
b) Ambil masa sehelai boleh dilipat dengan kemas
c) Dapatkan jumlah masa yang diperlukan
Contoh:
Terdapat 22 helai pakaian
Sehelai mengambil masa 45 saat
Maka Masa yang saya ambil adalah 990 saat bersamaan 16 minit 30 saat.
iv) Bagi kain/pakaian sokongan, yang mana besar mesti dilipat, mana yang kecil, boleh diletakkan di dalam laci, mana yang berpasangan seperti stoking - boleh disimpul bersama.
v) Jangan lupa, ajar anak-anak susun pakaian dalam almari - biar mereka faham sistem penyusunan pakaian. Bila mereka nak cari sesuatu, tak perlulah mereka terjerit-jerit mencari pakaian mereka yang kita susun kemas-kemas dan bila mereka dah jumpa, mereka tarik dan berterabur. Anak memang gembira cepat dapat baju mereka, tapi Mama.... sakit mata!!!
Dalam hal kerja rumah, saya lebih suka jika anak-anak dapat terlibat sama. Kenapa? Untuk anak perempuan, memanglah. Untuk anak lelaki? Kita nak bagi senang para isteri mereka bila dah kahwin nanti dan percayalah, isteri - isteri anak-anak kita akan amat berterima kasih pada kita dan seluruh keturunan kita selepas ini, lelaki dan perempuan tidak akan canggung buat kerja rumah. Kenapa? Kerana rumah kita adalah syurga di dunia dan yang tinggal di rumah kita adalah bakal ahli syurga di Akhirat kelak... Insya - Allah.
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Hujung tahun hampir tiba, Cuti sekolah bakal menjelma. Bos-bos ditempat kerja dah merangka bonus sebab muka para pekerja juga dah masuk mod "Bos! Ada bonus tak tahun ini?". Semoga semua pekerja yang sudah bekerja dengan sebaik mungkin dan penuh kejujuran mendapat hadiah bonus dari Allah dan buat bos-bos yang berkenaan, sikit atau banyak, berilah dengan ikhlas. Rahmat Allah buat kita semua.

Bila sebut pasal bonus, anak-anak mula tanya, Mama, kita bercuti di mana Disember nie? Kita tak tempah flight AirAsia kemana-mana ke... tempah sekarang dapat murah.... Kalau itulah kata-kata anak berusia lima tahun, kita memang dah kena masuk zon berjaga-jaga. Kita juga yang ajar mereka untuk berbicara begitu.

Saya lebih suka buat Tabung Bercuti untuk memastikan ianya satu aktiviti yang semua orang perlu ambil bahagian. Sepanjang tahun ini, sebelum tabung dipecahkan, jika ada duit lebih, masukkan dalam tabung, jika ada cadangan nak pergi mana, masukkan dalam tabung. Boleh bayangkan seronoknya apabila tabung di buka kelak.... Maka proses kira mengira dan undi mengundi tentang destinasi akan dijalankan, semoga di berkati Allah.

Bercuti memang best. Namun sekarang kita terpaksa memilih tempat yang lebih selamat - selamat apa? Selamat untuk pandangan mata.......

Kaum Adam suka membuat anggapan, orang perempuan suka bercuti di tempat yang best untuk shopping. Maka, jika kita pergi ke mana-mana gunung atau laut, selamat pandangan mata orang perempuan, selamat poket Cik Abang...

Kaum Hawa selalu menganggap, orang lelaki suka bercuti di tepi kolam memancing. Bab ini saya tak nak komen..... sebab tak berpengalaman tentangnya. Suami dan saudara lelaki saya terselamat dari aktiviti ini....

Saya berpendapat, untuk bercuti, mungkin baik jika pergi ke pergunungan.... Kenapa? Semua yang pergi ke sana menutup aurat akibat kesejukan. Begitu juga pergi ke negara yang memiliki 4 musim dan pergilah pada waktu musim sejuk. Jika pada waktu bekerja, berjumpa klien dan mengadakan mesyuarat dengan personel yang pelbagai fesyen, kadang- kadang tidak boleh dielakkan dan terpaksa menundukkan pandangan mata agar kurang dosa. Waktu bercuti, kita tidak sepatutnya menghadapi masalah yang sama. 

Tempat percutian yang paling hebat adalah di Kotaraya Mekah dan Madinah. Saya belum pernah ke sana. Namun Suami dan Kakak sudah pernah menjejakkan kaki. Komen kakak saya.... itulah Kota Suci yang mana kita mampu menyuci diri dan hati. Tiada makanan haram, tiada yang terbuka aurat. Komunikasi wanita dan lelaki jelas hadnya dan tiada siapa berani 'cross the border'.

Sesiapa yang ke sana adalah Tetamu Allah.... Semoga nama saya dan anda sudah masuk list... Amin...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Saya bukan orang yang berpengalaman dalam bidang penyiaran. Apabila kita katakan yang Saluran itu adalah khas untuk penonton Islam, mempersembahkan kisahan berciri Islam, apa yang saya cuba bayangkan?

i) Pakaian penyampaian yang benar mengikut Syariat Islam.
ii) Pengisian yang jelas terang tentang kehebatan Islam.
iii) Usaha meningkatkan pengetahuan dan amalan setiap orang Muslim.
iv) Usaha menjadikan pemikiran Muslim Malaysia lebih ke tahap global

 - melihat kesilapan Muslim di negara lain - untuk dipelajari & dielakkan
 - melihat kehebatan Muslim di negara lain - untuk dipelajari & diikuti

Cabarannya - penajaan & sumber bahan penyiaran....

Saya patut rakamkan rasa amat selesa kami sekeluarga dengan perkembangan yang berlaku di TV Al-Hijrah... Fenomena Ustaz Don, Program JOM, Madrasah dan program Solehah amat saya dan keluarga syukuri... Saya berdoa mereka yang terlibat dalam usaha ini terus melakukannya dengan berhikmah, menyediakan dan menyiarkan program yang baik, personalitinya dapat menghadapi tsunami popular ini dan menjaga diri dengan sebaik mungkin kerana cabarannya kini tentu berbeza..

Harap teruskan usaha baik ini kerana ALLAH. Doa saya buat kalian....

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Dalam Abad yang mencabar ini, dengan permintaan orang pandai/ bodoh terhadap hak yang bukan hak, dengan serangan akal terhadap fesyen, makanan, gaya hidup dan pertuturan melalui pelbagai media terang atau kelam, apakah institusi yang boleh mengikat hati kita?

Tak kira anda tinggal di mana? Bersekolah di mana? Shopping di mana? Makan di mana? Setiap waktu berkesempatan dan ruang Jumaat yang sedia lapang, kita akan bertemu di rumah Allah, di Masjid. Inilah satu-satunya institusi yang mengikat hati kita.

Ketika saya bersekolah menengah, ada sebuah buku usang yang saya baca di surau asrama. Antara kata penulis yang saya ingat adalah : Si Kafir berjaya kerana meninggalkan rumah ibadah mereka, Islam gagal kerana meninggalkan Masjid.

Saya percaya, jika semua kita mendekatkan diri dengan Masjid, sedikit sebanyak kita akan menjadi lebih baik dari saat kita mula melangkah masuk ke pintu Masjid itu. Masjid adalah rumah Allah dan tentu ada daulatNYA.

Bayangkan, jika anak yang hendak ketenangan belajar untuk menduduki peperiksaan besar, kita izinkan belajar di dalam Masjid. Anak yang inginkan ketenangan hati, kita izinkan duduk beriktikaf di dalam Masjid. Anak yang nakal dan hendak melembutkan hati, kita minta mereka menjadi pekerja am di Masjid. Membantu Pak Imam atau AJK Masjid membersih karpet, mencuci toilet, membasuh pinggan selepas More, mengelap lantai dll.

Namun, saya percaya, ada ibu bapa akan kata "Kenapa nak suruh anak saya sedangkan AJK Masjid dapat elaun untuk buat itu semua....". Dangkalnya. Sebenarnya kita tahu yang anak kita liat ke Masjid. Atau hanya  ke Masjid untuk Solat Jumaat, itupun jika Mak atau Ayah dah tegur.

Saya percaya, kenakalan anak-anak boleh dijinakkan dengan selalunya mereka berada di Masjid untuk apa sahaja aktiviti. Siapa yang kita tak jumpa di Masjid? Orang kaya dengan kereta berjenama? Ada. Orang miskin yang perlu dibantu? Ada. Pencuri yang mencuri selipar? Ada. Mana yang baik kita jadikan pedoman dan motivasi. Mana yang tidak, dijadikan sempadan.

Malah, Tok Bilal boleh buat kelas Melafaz Azan kerana 'siapa selepas kita' perlu dipersiapkan. Jangan tunggu Pak Bilal atau Tok Imam yang ada sudah hilang gigi atau ketar lutut baru sibuk nak latih anak kariah menggantikan tempat mereka.

Jangan takut wahai umat Islam di Malaysia. Datanglah kembali ke Masjid dengan niat kerana Allah. Allah akan satukan hati kita. Biar kita berlainan cara berfikir dan berlain pendapat. Biar orang yang disebelah kita, gaya pakaiannya tidak kita berkenan, asalkan berada dalam satu saf yang sama, mereka adalah Saudara.

Para Muslimah!

Saya menyeru kita ajak atau perintah anak-anak lelaki kita, terutamanya, untuk lebih kerap ke Masjid. Biar hati mereka rapat ke Masjid. Belajar di Masjid. Bermain di Masjid. Bersosial di Masjid.

Pada mana-mana isteri Tok Imam, bisikkan pada Suami puan untuk buat program anak-anak dan remaja. Tak semestinya yang berkait dengan sekolah - mungkin hobi seperti penulisan khat, penulisan kreatif dll. Kelas Bahasa Asing seperti Bahasa Arab dan Mandarin atau apa sahaja. Jangan lupa aktiviti yang melibatkan sukan seperti Sukaneka, Merentas Desa dan lain-lain.

Pada mana-mana isteri Pak Bilal, yang biasanya mempunyai nada suara yang sedap, bisikkan pada Suami puan untuk buatkan program yang berdasarkan seni suara. Kelas mengalunkan Azan, Berzanji, Kelas Tarannum, menubuhkan kumpulan Nasyid dll.

Saya mengimpikan Masjid yang memiliki kolam renang, padang menunggang kuda dan lapangan memanah. Bayangkan apa yang anak kita akan kata.... Masjid kami Terbaikkkk!!!!  

Mungkin ada yang mengatakan, kami tidak mahu Masjid menjadi riuh dengan jeritan anak-anak... Cukup-cukuplah lari dari tanggungjawab dan melihat anak sebagai bebanan. Saya tak keterlaluan mengatakannya yang ada sesetengah ibubapa penat dengan kerenah anak-anak hingga ambil jalan mudah melepaskan diri masing-masing. Bila anak-anak kita anggap sebagai beban, dah tua nanti, anak anggap kita yang tua ini sebagai beban. Bila anak-anak kita anggap sebagai tanggungjawab, dah tua nanti, anak anggap kita yang tua ini sebagai tanggungjawab.

Bagaimana jika kita sediakan prasarana khas untuk kanak-kanak di dalam masjid. Ruangan khas untuk mereka bersolat atau ruang 'playground' macam di Mc Donald yang pasti menyebabkan mereka leka di situ. Kedua-dua tempat ini boleh diawasi oleh para Muslimah yang 'on-leave solat'. Siapa yang berminat untuk menyahut cabaran ini?

Sudah masa kita untuk fikir, bukan setakat, apa warna kubah Masjid? Lebih baik kita fikir apa yang akan wajib dilakukan untuk menarik Jamaah datang 24/7 dengan aktiviti yang boleh mengikat hati kita kepada Masjid dan seterusnya kepada pemiliknya iaitu Allah SWT.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya 

Selagi belum 30 Syawal, kita mesti terus raikan Kedatangan Aidilfitri. Lebih bermakna lagi apabila mengunjungi Hari Terbuka yang disulamkan dengan Majlis Akikah atau Cukur Jambul Anak-anak... Alhamdulillah.

Tak kiralah apa yang akan kita hidangkan pada Majlis Rumah Terbuka, yang penting jangan membazir. Membazir itu amalan Syaitan. Saya sudah memberi Tips untuk elakkan pembaziran pada entry yang sebelum ini, maka perkara itu tidak akan diperkatakan dengan mendalam lagi.

Tercari-cari masa untuk Puasa 6 agak payah tahun ini, saya tak pasti mengapa. Mungkin kesilapan perancangan saya sendiri, namun, 9 hari masih ada, semoga Allah izinkan.

Menerima kunjungan Abah, Mama, Mak Ana dan Adik Cik dari kampung, dan kemudian membawa mereka ke Rumah Terbuka Adik saya di Denai Alam, membuatkan hati saya puas. Itu kali pertama Abah, Mak Ana dan Adik Cik saya datang ke rumah saya. Saya melihat suami juga gembira, walaupun belum cukup melepas lelah sekembalinya dari luar negara akibat tuntutan tugas.

Paling mereka suka adalah surau rumah kami yang berbau wangian Kaabah, itu semua adalah kesukaan Suami, dengan gambar Suami yang sudah menjejakkan kaki ke Tanah Haram, telah dibelek-belek oleh kedua-dua bonda saya, siapa yang tidak gembira.... melihat gelagat mereka.

Paling best, dapur kami menjadi warung Mak Limah, begitu aktif penyediaan makanan dijalankan. Dan Kami kaum Hawa, mencuri masa menonton, Nur Kasih The Movie pada awal pagi, memandangkan semua kaum Adam masih berehat di katil menyambung lena sesudah Suboh.

Lawatan warga emas, tidak boleh disamakan dengan lawatan kita orang muda yang boleh meredah tujuh atau lapan rumah sehari. Mereka perlu banyak berehat, kesanggupan Abah untuk datang ke KL dengan memandu keseorangan perlu disyukuri oleh semua anak-anak. Semua adik beradik saya tahu keliatan Abah untuk meninggalkan kedua-dua istananya di kampung.

Kenangan tidak habis di situ, kedatangan abang saya beserta kakak ipar dan enam anak mereka menyebabkan Aidilfitri kami semakin meriah. Mana tidaknya, keletah manja anak bongsu mereka yang super comel, Alhamdulillah, menyebabkan kami sering tersenyum mengenangkannya. Bayangkan, ketika semua ahli keluarga Solat Maghrib berjamaah, Ana tidak ketinggalan malah mencipta sebutan bacaan tersendiri bagi Surah Al-Fatihah dan mengucapkan 'Amin' sekuat-kuatnya sebelum Imam menyebutnya. Usai memberi salam, terus dikutip semua sejadah untuk dilipat olehnya. 

Itulah Ana, si Merpati Putih dalam keluarga abang dan kakak ipar saya. Berbeza dengan anak tunggal Adik saya, Imran, si pemalu yang turut mengunjungi kami pada hujung minggu lepas. Semoga Rahmat Allah buat semua yang hadir ke rumah kami.

Dalam mengatur surau di rumah kami, terdetik di dalam hati saya, itulah kawasan yang paling Allah suka di dalam rumah saya. Masjid adalah ibarat rumah Allah. Surau juga begitu. Saya harap Allah redha dengan surau di rumah saya. Saya harap Allah beri Rahmat yang melimpah ruah kepada Suami yang beria-ia menggezetkan bilik tercantik di rumah kami sebagai surau. Tercantik? ya, yang tercantik dan siap ada balkoni lagi... Itu semua memang idea Suami. Saya bersyukur kepada Allah, pilihan saya adalah tepat. Pilihan kami tepat dalam memilih lokasi rumah, tepat dalam menentukan lokasi surau di dalam rumah.... dan yang paling saya syukuri... pilihan saya tepat dalam memilih Suami, Alhamdulillah. Saya harap dia juga berfikiran begitu :-).

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Bila membaca suratkhabar harian, ada sahaja kisah bayi dibuang, kanak-kanak ditinggalkan, didera mahupun dibunuh. Manakah perginya maruah manusia yang bergelar DEWASA! 

Dalam saya mensyukuri dunia saya yang dikelilingi anak-anak bijak dan manja, saya terkenang nasib anak-anak yang ditinggalkan ibu/ ayah di dalam tong sampah. Jika di depan surau itu, masih ada maafnya walaupun peratusan yang amat kecil. Namun, jika di tong sampah, tandas, stesyen bas.... Mana pergi akal fikiran si pelaku.

Semasa menjadi pentadbir di sebuah institusi dulu, jantung saya pernah rasa bagai nak meletup kerana mendapat cerita 'anak gadis' yang dipertanggungjawabkan kepada saya berbadan dua. Dia mengakuinya bahawa dia lari ke KL dari kampung dan menyambung pelajaran secara sendirian kerana bimbang dimarahi bapanya. Menurutnya, bapanya adalah seorang yang garang.

Saya dan rakan sekerja dengan berani mencari penyelesaian. Dia mesti maklumkan pada ibubapanya. Kami, sebagai pendidik tidak boleh mengajar pelajar menipu. Kami akan bantu untuk menjadi orang tengah kepada mana-mana perbalahan yang mungkin muncul. Tidak ada cara lain selain dari gadis itu cuti belajar dan menyambung pelajaran selepas bersalin nanti. Memang, bapanya marah. Menggigil tangan bapanya bila mendengar cerita itu, namun dia menerima hakikat yang gadis itu tetap anaknya. Dia bersetuju dengan cadangan kami, malah menerima senarai Rumah Perlindungan Remaja yang kami berikan.


Alhamdulillah, selama saya di sana, gadis terbabit menyambung pelajarannya hingga tamat. Sudah bekerja dan menjaga anaknya sendiri. Memakai tudung, menjadi muslimah yang jauh lebih baik dari kali pertama saya bertemu dengannya.... berbibir dan berkuku hitam, urban style katanya...

Ini pesanan saya buat diri dan semua ibu dan bapa, sayangi anak kita. Lihat siapa dibelakang anak kita. Kita selalu bercakap, baby ni yang jaga Malaikat. Maka, bila kita nak terlebih marah, terlebih pukul, terkurang ajar atau terkurang peduli pada anak kita, anak adik beradik kita, anak jiran kita..... bayang bayangkanlah Malaikat yang berada di belakang anak kita. Malah rezeki yang kita dapat pada hari ini, mungkin dianugerahkan kepada Allah berasbabkan anak kita, bukannya kita... yang sememangnya banyak dosa...

Buat remaja, jika sudah terlajak perbuatan dan ada 'hasil'nya. hadapi kenyataan. Satu dosa sudah cukup dan jangan ditambah lagi.

Buat ibu bapa yang berkaitan, jangan buang anak anda yang sudah terlajak perbuatan. Jangan beri mereka peluang untuk terus berdosa. Sokong dan bantu mereka bertaubat.

Buat masyarakat, doa dengan ikhlas. Bukan hina berbekas-bekas. Memang yang terlajak perbuatan bukan anak sedarah sedaging kita. Tapi, jangan lupa, tidak sempurna Islam kita tanpa menganggap orang Islam yang lain bagai saudara sedarah sedaging.

Maafkan saya, kerana agak emosional dalam isu ini. Tapi saya dah malu dengan Allah!

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Anak adalah amanah Allah pada kita. Mereka juga ujian buat kita. Ragam mereka seharian menjadikan kita alpa amanah ini. Terkadang, kita sebagai ibu merasakan anak itu terlalu kecil, tak tahu apa dan boleh kita arah itu dan ini serta berbuat apa sahaja ikut hati kita.

Namun ramai antara rakan saya yang anaknya sudah meningkat remaja berkata, "Sunyilah... sejak anak dah besar sekolah menengah, semua yang dia buat dengan kawan. I... dia dah tak hairan.... Kalau I tahu, I beranak ramai-ramai". Saya tersenyum mendengarnya...
Pulang berhari raya memberi saya peluang bermesra dengan anak buah;

Cerita terbaru dari Haridz, 14 tahun, "Kawan baik saya (budak perempuan), dah tak nak kawan dengan saya kerana budak lain ejek dia". Isu kecil bagi kita. Tapi besar bagi budak awal remaja. Dalam hati saya, apa saya nak nasihatkan dia.... jika silap, nasihat jadi penggalak dosa pun yea juga. Bersama adik saya, kami bergabung tenaga menasihati Haridz agar mohon sahaja dengan Allah, jika benar kawannya itu adalah yang terbaik buatnya, minta Allah izinkan mereka terus berkawan dan jauhkan diri dari fitnah.

Susah jadi dewasa, katanya. Kami tersenyum. Kena belajar sampai universiti, kena cari kerja, kena kahwin, sambungnya. Tiba-tiba datang satu idea:

Memandangkan Haridz bercita-cita nak jadi seorang ustaz, konsep berdoa adalah mudah untuk difahaminya. Saya berkata begini,

Apa kata setiap lepas baca doa untuk diri, ibu bapa dan keluarga, Haridz doakan bakal isteri Haridz. Kelakar? Sebab dia budak lagi? Jangan salah faham, anak sekarang cepat matang, daripada mereka fokus pada keseronokan dunia yang entah apa-apa. Baik kita 'channel'kan usaha untuk mereka belajar kenal tanggungjawab dan lebih bertanggungjawab.

Setiap anak lelaki/ perempuan pasti dah fikir tentang ini - kahwin. Imbas sahaja kenangan kita bersekolah dulu. Berapa ramai 'couple' yang ada dalam satu kelas.....Ha! tersenyum. Mengakupun...

Jika mereka sudah berani bercakap/ mengaku berkenaan isu ini, antara yang kita boleh nasihatkan adalah...

"Sebab itu Mama suruh kamu jadi lelaki yang baik dan beriman, belajar betul-betul dan jadi anak yang soleh. Sebab, Allah kata, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Doa banyak-banyak. Macam Mama suruh kamu sedekahkan Al-Fatihah untuk Mama, Abah, Cikgu, kamu juga boleh baca Al-Fatihah dan sebut begini: Ya Allah! Al-Fatihah ini aku sedekahkan buat isteri yang Engkau bakal jodohkan kepada ku" 

Lihat logik di bawah:

Katakan anak kita berusia 15 tahun. Dalam perancangan peribadi, anak ini mungkin berkahwin pada usia 25 tahun. Jumlah masa yang ada 10 tahun.

10 tahun ada 10 x 365 hari = 3650 hari.
1 hari anak kita solat wajib 5 kali;

Maka 5 x 3650 kali solat wajib = 18,250 kali anak kita akan mensedekahkan Al-Fatihah kepada bakal isteri/ suami mereka.

Insya-Allah, itu akan menjadikan mereka lebih berusaha untuk mencapai yang terbaik, mencari calon suami/isteri yang terbaik dan mengusahakan rumah tangga yang terbaik. Siapa yang akan tumpang bahagia.... tentu kita....Amin.

Keluhan Piya, 8 tahun pada Pak Usunya, "Piya susah nak dapat nombor 1. Abang asyik dapat nombor 1". Pak Usu pula menjawab, "Masa sekolah dahulu, Pak Usu pun susah nak dapat nombor 1. Kadang-kadang sahaja dapat nombor 1". Pia menjawab,"Oh! ye ke... Tapi Pak Usu pernah dapat nombor 1, Piya tak pernah sekalipun".

Kadang-kala kita fikir anak-anak yang manja dan aktif bermain tidak peduli tentang pencapaian mereka, tetapi sebenarnya, pada waktu tertentu, mereka juga berani untuk meluahkan keluhan hati mereka. Dalam hal ini, ramai ibu bapa yang sedar, apa yang penting adalah peratusan keseluruhan yang dicapai oleh anak, namun "NOMBOR 1" adalah yang sering kita bayangkan kepada anak tentang kecemerlangan.

Kembangkan konsep ini, 
Kalau kamu solat nombor 1, maksudnya solat on-time lepas dengar Azan, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu bangun pagi nombor 1, maksudnya Mama kejut bangun pagi, kamu terus bangkit, tak banyak soal terus mandi, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu tolong Mama/ Abah/ Cikgu nombor 1, maksudnya apa Mama/ Abah/ Cikgu minta tolong, kamu terus bangun tolong Mama/ Abah/ Cikgu dengan ikhlas, Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu siap kerja sekolah dengan baik, tanya Mama atau Abah, jika tak faham, mana-mana soalan,  Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Kalau kamu baca balik semua nota yang kamu salin dari cikgu di sekolah hari ini,  Insya-Allah itu akan membantu kamu dapat nombor 1 dalam kelas

Saya yakin, jika kita hubungkaitkan semua perkara kecil dan besar yang berkaitan dengan anak kita, dengan keinginannya untuk mencapai kecemerlangan 'NOMBOR 1' itu, dia akan dilatih untuk faham bahawa 'buat homework bukan satu-satunya perkara untuk dapat nombor 1'. Anak akan faham kecemerlangan hidup ini adalah sesuatu yang besar dan bukannya terhad antara empat dinding rumah atau empat dinding pagar sekolah.

Cerita dari anak kami pula, 10 tahun usianya. Meluahkan hajat hati tentang hadiah jika cukup puasa 30 hari. Mama memilih untuk dia memiliki netbook sendiri, namun dia memilih untuk memiliki Lego dan ini semua diluahkan kepada Abahnya ketika mereka duduk berbincang man-to-man talk. Bab ini, memang kelebihan Abah dan anak kami yang memang memandang tinggi Abahnya sebagai seorang pemimpin. Sebagai Mummy, saya ikut sahaja. Semuanya pun baik untuk anak kesayangan itu. Lego makes him express himself, which is good for him.

Cerita Alya, 8 tahun. "Kakak, Azie tak faham kenapa Alya suka menari-nari, membuat gerakan-gerakan pelik, cakap seorang-seorang dan tak reti duduk diam", tanya adik saya melalui Skype dari Jerman. Saya kenal Alya sebagai anak yang manja dan lemah-lembut, tapi jangan berani buat dia naik angin. Tapi itu dulu ketika dia 6 tahun.  "Apa hobinya sekarang?",tanya saya. "Menulis Jurnal... Memang kami curi-curi baca tapi banyak yang tak faham", jawab Mamanya. Alya fasih berbahasa Jerman. Bahasa Malaysianya ok tapi dia kurang praktis melainkan dengan Mamanya sahaja. Jurnalnya ditulis dalam bahasa Jerman. Melalui skype, dia sudah tidak kenal dengan saya. "Siapa tu?",tanyanya kepada saya. "Cik Ngah lah....", jawab saya. Nasib baik dia ingat neneknya, jika tidak, parah kami di sini untuk memujuk Mama saya tu. Kepada Azie, saya katakan "Alya mungkin banyak imiginasi. Dia imagine dirinya melakukan sesuatu, cuma kita sahaja tidak faham". Azie ketawa... "Betul, hari itu, dia cakap seorang-seorang, macam cikgu mengajar depan kelas. Then dia berlakon macam doktor pada adiknya yang baru berusia empat bulan. Ada juga sekali dia berlakon jadi chef di rancangan masak-masak". Rupanya Alya sedang mencari jawapan pada pertanyaan "Apa saya nak jadi bila dewasa nanti"....

Saya terkenang diri ini pada saya sebaya Alya. Saya juga begitu. Bermain basikal berseorangan dan bercakap sendirian, belum lagi ambil bedak kompak Mama, atau makan maajun Atuk Saleh, atau minum tonik Cap Gajah Abah. Semuanya tanpa pengetahuan mereka dengan niat yang baik iaitu nak jadi cantik, sihat dan kuat macam mereka.... saya memang berani.... Tapi itulah yang membina diri saya sekarang....

Alhamdulillah... Hidup kita lengkap bila mengenang adanya anak-anak di sekeliling kita, jauh atau dekat. Saya bersyukur kerana semua adik beradik dan ipar duai saya menerima cara saya berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Saya sayangkan mereka bagai anak sendiri, saya tegur atau marah jika perlu. Saya ikhlaskan hati dalam hubungan saya dengan anak-anak ini. Buat macam anak sendiri, kerana, saya juga mahu anak saya disayangi, dikasihi dan ditegur, jika perlu, dengan ikhlas oleh semua pakcik dan mak cik mereka. Jika ditakdir Suami, Kakak atau saya sudah tiada, kepada merekalah anak kami ini akan dipertanggungjawabkan. Panjangnya umur kita tiada siapa yang tahu...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Abang dan kakak ipar saya ada enam orang anak. Kira pengeluar cucu paling produktif dalam senarai anak Mama dan Abah. Dua darinya sudah bersekolah menengah dan yang lain masih belum mencecah sepuluh tahun.

Dalam mendidik anak, mereka mengajar kedua anak remaja mereka tentang satu perkara "berbuat baik kepada ibu bapa, satu langkah ke syurga. Jika sebaliknya, satu langkah ke neraka". Allah izinkan kelancaran dalam usaha mereka mendidik anak yang melangkah remaja dengan adanya tagline ini. Saya sebagai ibu saudara, tumpang gembira. Ia menjadikan Haridz dan Haridzah lebih bertanggungjawab, rajin membantu ibu bapa, menyayangi adik-adik mereka sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya itu yang saya nampak di hadapan mata ketika bercuti hari raya yang lepas....

Itu juga yang saya cuba tanamkan dalam diri saya, dalam menjaga hubungan saya dengan Suami, secara logiknya Pintu Syurga itu akan nampak lebih jelas... Insya-Allah

Sekadar catatan 24 Ogos 2011

Buat Suamiku...
Setiap apa yang kutuliskan
Membuatkan aku mengingati betapa pentingnya kejadianmu untukku
Dan sekiranya cinta ini perlu ditukarkan
Tanpa ragu kepada Allah kusebutkan
Ambil sahaja nyawaku

.......

Telah lama dimaafkan dengan sesungguhnya
Terima kasih kerana bersabar pada langkahanku yang terkadang mengundur ke belakang
Dan setiap kali aku memandang ke hadapan, aku dapat melihatmu dengan jelas
Dan di hadapanmu ada Syurga di mana Safiya menanti di sana
Pastinya aku akan pantas berlari mengejarmu
agar kita terus bersama
Maafkan aku, Cinta

......

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

 
Mengenangkan kesedihan cerita duka Mak Cik Kam, salah seorang besan Mama menceritakan detik akhirnya bersama suami yang menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu, membuatkan saya banyak berfikir mengenainya.

Betapa akrabnya mereka sehingga Mak Cik Kam bagai hilang keceriaan yang selalu terpancar di wajahnya. Beliau seorang surirumah dan sering menemani suami ke mana sahaja, seperti belangkas.

Suami ke Masjid, dia ada di situ. Suami ke kedai, juga diturutinya... ke mana sahaja.

Saya mengenangkan cerita diri ini. Betapa saya selalu berkata pada Suami, jika Allah ingin mengambilnya dari saya, bawalah saya bersama. Jangan tinggalkan saya di dunia yang tidak bermakna, tanpanya.

Bila berjauhan, rumah terasa kosong. Jiwa juga begitu, bagai di bawa pergi saya bersamanya.

Suamilah tempat saya berkongsi gembira,
Suamilah penggalak di saat saya kecewa dengan pencapaian diri,
Suamilah badut yang comel buat saya ketawa,
Suamilah Doktor Koyok ketika saya demam,
Suami juga Doktor Kontraktor ketika saya bising apabila ada peralatan rumah yang meragam, 
Suami juga Penghias Dalaman ketika saya buntu hendak pilih perabot rumah kami,
Suamilah Imam saya, Dia 'Banker', Dia kawan, Dia lawan - kami lawan gusti lengan, tentu saya yang menang... menang kesian :-), 
Dia 'food tester',...semuapun dia...

Kepada semua para isteri, sekiranya kita sangat cintakan suami kita, kita mulakan dari sekarang mengekspresikan cinta padanya, dengan seikhlas hati yang mungkin, dengan sedar dan penuh jiwa; semoga Allah nilaikan cinta itu, dan izinkan suami kita merasakannya di dunia dan akhirnya mengizinkan kita bersamanya di Syurga nanti. Ekspresi cinta itu dengan memenuhi Syariat Allah & Sunnah Rasulullah.

Sukar? Saya akui adakalanya memang sukar... Suami saya pernah mengatakan begini:

Cabaran orang JAHIL adalah mencari ILMU
Cabaran orang berILMU adalah mengAMALkan ilmu
Cabaran orang berAMAL adalah berISTIQAMAH
Cabaran orang berISTIQAMAH adalah rasa RIAK

Jika kita jahil dalam Cinta, kita belajar apa itu Cinta dan bagaimana untuk bercinta sebenarnya,  Cinta yang wajib kita ada dahulu adalah untuk Allah SWT dan Allahlah yang mengatur semua cinta kita yang lain termasuk untuk Suami.

Cinta yang saya maksudkan adalah cinta yang membawa Allah dekat dengan kita
Cinta yang membuka pintu rezeki dan bahagia
Cinta yang buat kita lebih menginginkan Syurga
Yang kita perlu akui... dalam penipuan dunia, kita kadangkala hilang pegangan pada Cinta ini

Berikut adalah langkah untuk Mencintai Allah, yang dipetik dari Majalah Solusi:

1) Amalkan segala suruhan
2) Jauhi semua larangan
3) Allah adalah prioriti
4) Sentiasa berdoa
5) Redha akan qada' dan qadar serta bila ditimpa musibah
6) Kerahkan semua anggota badan untuk taat pada Allah termasuk hati dan lidah
7) Anggap dunia adalah penjara
8) Renew - perbaharui Cinta pada Allah
9) Aktif - melakukan pelbagai aktiviti ibadah tanpa tawar menawar
10) Ikhlas
11) Pinta - Pintalah Cinta dari Allah
12) Cintai apa yang Allah Cintai & Benci apa yang Allah Benci

[Sumber : Majalah Solusi Isu 23; ms19. Catatan Penulis : Terima kasih kepada penulis asal]

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya


Dalam kesibukan mengunjungi saudara mara atau menerima kunjungan mereka, saya dapati orang kita masih ada sifat sibuk menyibuk. Sibuk menyibuk adalah sifat yang sesuai untuk mereka yang pura-pura sibuk, tapi tak bantu apa-apa. Terutama yang sibuk-sibuk tanya, macam ambil berat tapi tak hairan pun dengan apa-apa yang berlaku.

Saya simpati dengan salah seorang Mak Cik saya yang sudah memang jatuh sakit sekian lama, namun, ada juga antara mereka yang mengunjunginya, sengaja menanyakan soalan yang buat Mak Cik saya sedih. "Anak engkau Si XXXX tu tak balik beraya ke? Memang tak sedar dirilah budak tu!". Ada juga yang bertanya soalan yang hampir serupa pada Mak Cik saya yang seorang lagi, yang salah seorang anaknya belajar di US dan tak balik-balik sampai sekarang dengan pelbagai alasan.

Apa erti soalan itu? Benar-benar tak bermakna. Jika saya lihat ingin mengambil berat, bukan kerappun individu itu mengunjungi Mak Cik saya. Malah memberi aura mendung pada wajah Mak Cik yang nampak ceria pada awalnya. Jika teringin sangat nak mengekalkan sifat tersebut, tanyakan soalan itu pada orang yang lain, yang lebih muda atau masih gagah minda dan perasaan. Jangan sengaja nak membuli orang tua dengan Soalan Tak Bermakna.... fikirkanlah supaya tak berulang.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
1 Syawal ini, Abah menyatakan hasratnya untuk mengubah tradisi. Jika sebelum ini, sebaik pulang dari masjid, kami akan mengunjungi kubur datuk, iaitu Arwah Ayah Abah, kini, Abah menukarkannya dengan membuat Majlis Bacaan Yaasiin, Tahlil dan Doa Selamat untuk ahli keluarga. Saya fikir, Abah melihatnya untuk merapatkan hubungan beliau dengan para menantu, Abah dan Mama sudah kehilangan empat orang besan mereka dalam tempoh dua tahun. Malah, majlis ini lebih sesuai memandangkan, kami ada ramai anak-anak saudara yang terlalu kecil. Kubur datuk akan hanya dikunjungi kemudian oleh Abah dan adik beradik lelaki saya sahaja.

Selesai bertahlil, bermaafan, bergambar, makan, kami bersiap untuk memulakan kunjungan ke rumah mereka yang istimewa:

i) Mak - beliau adalah 'nanny' kami yang menjaga kami ketika kami kecil lagi. Bagaikan saudara sedarah, biarpun bukan, di rumahnya kami akan makan lagi biarpun baru makan sebelum keluar dari rumah. saya sayang Mak macam saya sayang Mama. Mak jaga saya sejak saya dilahirkan, menyayangi saya dengan kasih sayang yang meresap dijiwa. Bagai ibu melayani kami lima beradik, sedangkan beliau tidak memiliki anak sendiri. Tugas Mak adalah mengemas rumah dan membasuh baju sambil menjaga kami. Selesai kedua-dua tugas itu, beliau akan membawa kami balik ke rumah beliau sehingga Mama saya pulang dari sekolah. Kami akan balik rumah, Mama akan memasak dan makan... Jika tiada apa nak buat, kami bersama Mama akan pergi rumah Mak sementara menunggu Abah pulang dai sekolah. Waktu itu, Mama mengajar waktu pagi, Abah pula mengajar waktu petang. 

Masa kecil, jika saya baru sembuh dari demam yang lama, Mak akan pilih seekor ayam yang dipeliharanya untuk disembelih dan buat sup. Mak pernah hadiahkan saya patung kanak-kanak tapi Abah buang sebab Abah tak suka ada sebarang patung dalam rumah. Sejak itu, Mak akan hadiahkan saya permainan lain seperti set pinggan mangkuk plastik, biji guli, antara yang saya ingat. Jasa Mak terlampau besar, beliau jugalah yang mengasah pensil saya setiap pagi dengan pisau dapur sebelum ke sekolah. Kalau kena marah dengan Mama, Mak akan pujuk. Mak tak pernah marah kami.

Hujung minggu, kadang-kadang, Abah akan izinkan kami tidur di rumah Mak yang jaraknya hanya 250M dari rumah kami dan boleh anda bayangkan kami berulang alik dari rumah kami ke rumah Mak, macam pergi dari bilik depan ke bilik belakang, kadang-kadang berkali-kali pada satu hari. Kalau tidur di rumah Mak dan hari hujan, kami akan main hujan. Bila hujan sudah berhenti, kami akan ikut Mak ke belakang rumah untuk menggali ubi kayu. Kemudian kami akan masak dan makan ubi kayu rebus dengan ikan masin dan air kopi.... SubhanAllah.... sedapnya....  

Jika ada siaran langsung sukan, bola sepak atau tinju, Mak dan Atuk Saleh (Arwah Suami Mak) akan datang menyaksikannya bersama-sama kerana rumah kami adalah antara rumah pertama yang ada TV. Pada masa itu, wayar TV akan di sambung ke bateri kereta Volksagen Abah.... Best......

ii) Nenek - adalah Mak Abah. Sebenarnya beliau tidak rapat dengan kami, mungkin pada waktu kami kecil, beliau menjaga beberapa orang sepupu saya yang lain, yang mereka panggil nenek 'Mak'. Tak banyak cerita yang saya boleh coretkan di sini, bukan kerana saya tidak sayang pada Nenek, tapi hubungan itu memang hubungan yang agak formal sebenarnya.

Untuk 1 Syawal, itu adalah jadual lawatan kami yang biasa. Namun, Syawal ini, Abah mengajak kami melawati dua buah rumah datuk saudara kami. Salah seorangnya akan pergi mengerjakan haji tahun ini. Salah seorang lagi, kami melawati balunya kerana datuk baru meninggal dunia seminggu sebelum Ramadhan.

Malam itu, Along selamat balik dari KL. Mama adalah yang paling gembira....

2 Syawal, kami beraya hingga ke Johor Bahru. Kami kunjungi sebahagian rumah adik beradik sebelah Mama, empat buah rumah semuanya dan salah seorang besan Mama, Mak Cik Kam. Mak Cik Kam adalah Mak Mertua adik saya yang tinggal di JB, suaminya baru meninggal dalam tahun ini. Saya masih mengingati Arwah yang sememangnya amat ramah. Kami sering mengunjungi pada setiap Syawal kerana rumahnya terletak antara kampung Mama saya dan Johor Bahru.

Puas hati saya apabila Syawal ini, semua individu penting dapat dilawati dengan sebaik mungkin. Maklumlah, tiada siapa yang tahu, ia mungkin yang terakhir, buat saya atau mereka... Hanya Allah yang tahu...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya  



Kenangan Lalu...

Saya mesti rakamkan peristiwa ini, hanya keluarga saya dan keluarga adik yang pulang ke kampung awal, sebelum Hari Raya. Keluarga adik beradik yang lain akan pulang Syawal 1 atau 2, giliran rumah keluarga Mertua mereka. Oleh kerana yang mampu bertugas hanyalah empat orang, kami bahagikan segmentasi untuk produktiviti dan hasil yang 'tip top'. Ini rumah Mama, maka mesti ikut standard Mama.

Adik dan isteri 'take over' ruang tamu dan ruang tengah, bilik tidur depan dan bilik tidur Mama. Mama sudah berusia 69 tahun, tentu kami lantik dia sebagai pemerhati sahaja. Saya dan suami pula 'take over' dapur serta memasak untuk hari raya - 12 ekor ayam....amacam? Jadi chef kelas A.

Apa lagi.... dari hujung ke hujung. Peti sejuk perlu dikemas atur, bekas plastik yang disimpan setahun tanpa faedah saya kumpulkan untuk 'recycle'. Anak saudara yang tengah lincah di larang keras berlari di dapur. Jika tidak, dengarlah jeritan saya dari hati yang tulus ikhlas tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku. Si kecil yang berusia setahun lebih, bagaikan faham-faham peraturan lantas membawa diri ke 'teritory' ibu ayahnya di ruang tamu.

Sebahagian makanan dihantar ke rumah jiran tetangga dan kenalan keluarga. Sebahagian lagi akan menjadi hidangan kami sekeluarga terutama untuk 1 syawal.

Alhamdulillah.... Dalam puasa yang sudah penghujung, serta Lailatulqadar yang masih berpeluang diraih, kami berjaya melakukannya secara sederhana yang mungkin. Langsir bertukar. Karpet bertukar. Lantai dibersihkan, dapur tersusun, 'frame' gambar keluarga dibersihkan, ukiran tembaga kilat semula, bilik Mama 'clear', bilik tetamu 'clear'. Tiada perabot atau perhiasan baru untuk Aidilfitri ini, cuma barang lama yang nampak baru...

Akhir sekali, longgokkan sampah berjaya dibakar pada pukul 1.00 pagi oleh adik saya. Dan bantuan tambahan pun tiba. Adik saya dan keluarganya selamat sampai dari Johor Bahru. Apa lagi... bilangan tulang berkerat telah bertambah....

Semoga Aidilfitri memberi makna kepada kita semua....

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya.







Kenangan Lalu...

Kampung halaman menggamit jiwa. Seperti biasa, saya ke pasar besar. Kami ambil keputusan untuk buat ketupat version original - semata-mata untuk mengimbas kenangan sewaktu kecil. Yang menjadi perkara keutamaan adalah mencari penjual-penjual yang sudah biasa berurusan sejak saya menemani Mama saya ke pasar suatu waktu dulu.

Mak Cik Peah, penjual ikan yang kecik comel, kalau nampak saya, akan tanya "Cikgu apa khabar?". Soalan itu merujuk kepada Mama dan Abah saya.  

Pak Cik Hassan, penjual sayur kampung, juga akan tanya soalan yang sama.

Pak Cik xx dan Kakak yy, penjual barang dapur seperti bawang, ikan bilis dll juga bertanyakan soalan itu.

Saya ada banyak pilihan lain, malah ada orang lain yang jual barang yang sama tetapi lebih murah. Mungkin saya seorang yang setia atau sentimental. Mereka adalah wajah kesayangan saya. Memang tak setaraf dengan suami atau keluarga. Ia bagai kasih sayang seorang anak kepada pak cik dan mak ciknya. Mereka semua sudah tua. Dalam lingkungan 50 an - 60 an. Sekiranya, saya mampu dan ditakdirkan ibu bapa saya pergi dahulu, mereka adalah antara figura yang bakal saya kunjungi biarpun hanya sekadar di pasar kerana mereka pernah menceriakan ibu dan ayah saya sepanjang pengetahuan saya. 

Ada juga yang saya sudah tidak jumpa. Mak Cik Kesian, merujuk kepada mak cik yang jual kerepek-kerepek/ kuih tradisional buatan sendiri. Saya pasti beli kuih siput pedasnya yang memang yummy...

Begitu juga dengan Pak Cik Kesian, merujuk kepada pak cik yang jual apam balik. Langsung saya tak nampak muka pada kunjungan kali ini.

Perniagaan kakak putu piring pula sudah diambil alih oleh adiknya.... Saya pasti beli. Nak makan atau tidak, saya tak peduli. Ada ramai ahli rumah yang pasti gembira menyambut saya pulang dari pasar.

Tentu saya tak lupa singgah ke kedai cendol tersedap di bandar kelahiran saya, membeli cendol sehingga 10 bungkus, RM2.00 setiap satu. Bukan saya seorang, ramai peminat setia baya saya yang berbuat begitu. Berbual dengan mereka yang singgah, kami akui kami membesar dengan cendol di kedai itu..... Mama pasti geleng kepala melihat apa yang saya beli.

Kebanyakkannya saya beli atas dasar "for the sake of old time". Tapi cendol itu memang sedap.... Suami saya tersenyum ... saya pasti!

Harga barang sudah naik.... terharu melihat orang tua, dalam usia 60an - 70an yang masih ke pasar membeli ikan merah dan ikan parang bersaiz besar. Tentu untuk hidangan anak menantu yang mungkin dalam perjalanan pulang. Semoga anak menantu juga berbesar hati untuk pulang berjumpa mereka.

Abah dan Mama gembira melihat kami pulang. Saya tahu, saya dan suami adalah antara wajah kesayangan mereka ... Dan Aidilfitri ini, seperti sebelumnya adalah satu pengorbanan antara suami dan saya. Semoga keredhaan kami melakukannya dengan ikhlas akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Saya gembira Abah dan Mama memahaminya...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

[Catatan Penulis : Pak Cik/ Mak Cik Kesian merujuk kepada seorang Mak Cik dan Pak Cik yang berwajah sempurna di mata saya tetapi melahirkan rasa kasihan di jiwa saya, sejak kali pertama saya melihatnya. Seingat saya waktu itu saya hanya berusia 8 atau 9 tahun. Pak Cik xx dan Mak Cik yy adalah pasangan suami isteri yang saya tak pasti namanya, namun ramah orangnya.]