Salam Aidil Adha...
Saya akui yang saya mengalami jet lag akibat projek yang saya sedang buat... Saya panggil jet lag sebab tidur bangun tunggang langgang.... tak ada kaitan dengan sebarang penerbangan oleh mana-mana syarikat penerbangan atau mana-mana destinasi.
Aidil Adha ini saya meraikannya bersama keluarga di Kuala Lumpur. Saya tidak balik ke kampung, namun segala urusan di kampung diambil alih oleh dua orang adik saya yang secara kebetulan melakukan ibadah kurbannya bersama ibu dan ayah saya. Alhamdulillah...
Pengorbanan apakah yang kita lakukan untuk Agama, bangsa, keluarga atau diri sendiri kerana ALLAH?
Apa sahaja yang kita lakukan niatkan kerana ALLAH, walau sekecil mana. Kecil pada pandangan manusia, mungkin besar pada pandangan ALLAH. Yang penting ALLAH terima. Minta dengan ALLAH agar ALLAH izinkan pengorbanan itu diterima oleh manusia lain. Untuk motivasi kepada kita melakukan pengorbanan lagi dan lagi..... pastikan kerana ALLAH.
Melihat gambar-gambar tetamu ALLAH di Arafah - terima kasih kepada TV1, TV3, ASTRO OASIS dan TV Al-HIJRAH, saya terkenang masa ayah bonda pergi menunaikan fardhu Haji. Ketika itu saya masih di USM, namun sedang bercuti. Along sudah habis belajar dan bekerja. Adik-adik bersekolah.... Ayah tinggalkan RM1,000.00 untuk belanja dapur, sekolah dan sakit pening. Mak Usu kami datang tinggal bersama kami untuk jadi supervisor rumahtangga. Itu kali pertama saya mendapat tanggungjawab menjadi Kakak/ Mama/ Tukang masak dan tukang kemas. Macam-macam rules & regulation yang saya buat untuk memudahkan saya... Ha Ha Ha... bila terkenang kembali... memang saya strict.
Beberapa peristiwa yang saya ingat:
i) Buah Tembikai Susu Bergolek
Kami ke pasar menaiki bas. Kami beli banyak barang termasuk sebiji tembikai susu. Bila dalam perjalanan pulang, di dalam bas, saya terlepaskan bplastik berisi tembikai susu dan tembikai itu bergolek sampai ke tempat duduk di bahagian belakang bas. Bila saya bangun dan menekan loceng agar bas berhenti, saya terperasan beban barang saya yang kurang berat dan Ah! Mana tembikai susu saya? Penumpang bas pendek yang tak ramai, kebanyakannya makcik dan pakcik dari pasar juga, menjadi kecoh mencari buah tembikai itu. Ianya pasti bergolek merata. Ha ha ha....
ii) Telur Burung Puyuh Berulat
Saya beli sebungkus telur burung puyuh. Adik teringin nak makan telur puyuh masak sambal.... macam saya pandai masak sangat... Namun, saya bertangguh untuk memasaknya. Hingga beberapa hari kemudian, ada bau busuk di dapur, namun, kami sangka ada bangkai binatang di kebun sebelah... Namun, bila bau itu buat kami loya, saya terpaksa mengarahkan siasatan menyeluruh ala CSI dilakukan.... Bayangkan kuatnya jeritan kami adik-beradik yang kegelian melihat ulat pada telur puyuh yang pecah dan busuk... Sambil membersihkan tempat kejadian, kami termuntah-muntah. Hingga kini saya tak makan telur burung puyuh... alasannya kenapa? saya pun tak pasti :-)
iii) Melintaskan Adik untuk Ke Sekolah
Adik bongsu saya memang anak manja Abah. Kalau dia menjerit kerana kami usik, Abah akan tegur ... "Along... Jangan kacau adik. Tulang dia masih lembut...". Yang bestnya... kadang-kadang saya yang buat dan Along tak ada pun di rumah kerana pergi kerja... kesian Along..
Salah satu job description saya, saya mesti lintaskan adik saya untuk dia tunggu bas sekolah di seberang jalan. Pada waktu itu, dia sudah Tingkatan Satu.... Dah besar dan bukan kecil lagi... namun peliknya.. pada waktu itu, saya rasa dia memang masih kecil. Saya akan melintas bersama-sama dalam jam 7.00 pagi. Selepas itu, dia akan cepat-cepat suruh saya lintas balik supaya kawan dia tak nampak saya temankan dia.... Ha Ha Ha Berlagak besarlah pulak....
iv) Panggilan Abah dari Mekah
Zaman itu masih tiada handphone. Abah guna public phone untuk hubungi kami dari Mekah. Along yang menjawab panggilan itu tersenyum dengan soalan ringkas Abah yang tak sampai beberapa saat.... Abah tanya, "Semua Ok?". "Ok", Along jawab. "Abah dan ibu sihat. Along tukarkan visor kereta abah. Abah tak sempat nak tukar hari itu...", balasnya dan terus dia letak gagang.... Itulah Abah kami... Simple! Namun, panggilan itu buat kami gembira.
v) Hujung Minggu Tetap Sama
Setiap hujung minggu, kami WAJIB cuci longkang, porch kereta Abah, bersihkan pondok orkid Mama dan laman rumah. Bila Mama dan Abah ke Mekah, tradisi itu tetap berjalan dengan pengawasan Along. Saya pula akan fokus di dapur kerana semua adik-beradik akan lapar apabila kerja siap.
Kadang-kadang ada pakcik atau makcik yang singgah untuk tengok keadaan kami. Kami ok....
Itulah rasanya bila Ibu dan Abah tiada di rumah. Selama ini, anak-anak yang tinggalkan rumah untuk tinggal di asrama atau merantau kerana bekerja. Saya yakin tempoh 40 hari itu buat saya lebih dewasa dan menghargai Abah dan Mama. Mereka berkorban rasa risau untuk beribadah kepada ALLAH. Tanpa kami sedari, kami berkorban juga dalam mengurus rumah pada tempoh itu.
Beberapa minggu selepas kepulangan Mama dan Abah, mereka menerima laporan dari jiran dan Pak Cik & Mak Cik betapa kami menjaga rumah dengan baik. Cerita tembikai Susu dan Telur Burung Puyuh juga kami tidak rahsiakan dari mereka. Namun, satu komen Mama buat kami tergelak.... Duit RM 1,000 tu habis... Kamu beli apa? Saya pun tak tahu... Mama kata biasanya belanja rumah, sekolah dan sakit pening tak banyak tu.... Ha ha ha .... Adik kata Kakak beli barang tak tawar-menawar. Penjual sebut harga, Kakak terus bayar.... Ya... saya akui itu, saya belajar tawar-menawar ketika saya mula membeli kain di Jalan TAR lebih 10 tahun selepas Mama pulang dari Mekah....
Berkorban apa sahaja... Harta ataupun Nyawa.... Masa dan Rasa.... Asalkan kerana ALLAH... segalanya pasti mendatangkan bahagia...
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya