Saya tertarik dengan pakaian Prof Dr. Muhaya Mohamad, salah seorang pakar mata dan pakar motivasi juga. Saya perhatikan pakaiannya berwarna cantik tetapi tidak menyerlah, berfesyen tetapi tidak menjolok mata, professional dan nampak sederhana tetapi tidak sampai merendahkan title nya sebagai individu terkenal di Malaysia.

Saya ingin bercakap tentang pakaian wanita Muslimah. Pakaian wanita belum berkahwin serba sedikit merefleksikan iman ibubapanya. Pakaian wanita sudah berkahwin pula tak boleh lari dari refleksi iman suaminya.

Saya akui wanita kadang-kala berada dipersimpangan. Antara memenuhi kehendak hati atau keperluan diri.

Dari kecil, ibu ayah memilih pakaian untuk kita, kita terima sahaja. Kadangkala, pakaian rakan yang lebih ranggi mendapat pujian dan perhatian. Kita cuma pakai baju kurung sahaja. Tak ada siapa kata apa-apa.

Bila remaja, kita diberi hak memilih. Tetap kena ikut prosedur ibu ayah, alasannya adalah itu duit mereka, bukan duit kita.

Bila dewasa dan sudah bekerja, kita ada ruang memilih dan membeli sendiri. Jika dua proses di atas menggunakan asas yang salah, maka waktu inilah kita mula buat keputusan yang salah. Siapa tidak mahu dikatakan cantik? Siapa yang tidak mahu pakaian yang up-to-date dan nampak mewah?

Kita pilih kebaya yang ikut bentuk badan. Kerana apa? Kita muda dan badan cantik.
Kita pilih warna yang terang dan jelas macam lampu trafik. Kerana apa? Kita mahu perhatian.
Kita pilih yang nipis. Kerana apa? Kita mahu yang up-to-date.

Lihat sahaja iklan perkhidmatan tertentu.Saya gembira melihat kejayaan mereka melakukan perubahan, namun, kita lihat pakaiannya. Cuba fokus pada pakaian "sebelum" dan "selepas".
Saya mencadangkan kita ubah semua itu. Kerana apa? Kerana Allah. Kita ikut contoh Prof. Muhaya dan ramai lagi bijak pandai kerana mengikut garis panduan Islam. Kita semua adalah idola. Kita tunjukkan contoh yang betul dan sebenar. Kita muda, cantik dan bergaya tetapi hanya untuk Allah dan suami. Tutup mana yang wajib tutup. Kita tukar kebiasaan kita. Puji anak-anak yang bertudung dan berbaju kurung. Puji remaja yang berbaju kurung dan bersopan santun. Katakan ya kepada wanita Muslimah yang mengikut garis panduan Allah.

Memang sukar menegur perkara yang salah. Terutama jika ibu bapa atau suami individu itu ambil tak endah. Saya sendiri pernah melalui pengalaman ini. Dulu semasa bekerja di organisasi lama, saya ada 70 orang staf yang 70% adalah wanita. Saya akui pelbagai fesyen yang mereka tonjolkan. Terkesan juga melihat pakaian anak dara yang 'tutup tapi buka'. Bila sudah berkahwin dan mendengar kata suami tentang alami lelaki, saya jadi ngeri sendiri. Terbayang siapa saya suatu waktu dahulu.

Pada awal perkhidmatan saya, saya akui saya kerap memuji mana yang cantik berkebaya, bertudung lilit, sepit atas bawah dan sebagainya. Sampai pada satu tahap menyedari kesilapan saya, saya akur panduan Islam. Saya ubah arah dan kata pujian saya kepada siapa yang lebih berhak. Islam itu selamat. Pakaian kita sepatutnya tidak membantu sesiapa untuk memberi sangka buruk pada kita.

Apa yang saya maksudkan?

Perhatikan A: Berpurdah.
Perhatikan B: Tidak berpurdah.

Sebagai manusia biasa, jika kita perhatikan A, kita takkan berani untuk kata atau fikir apa-apa yang tidak baik tentang A. Penilaian kita terhadapnya adalah baik. Paling tidakpun 0, sebelum kita mula mengenalinya.

Jika kita perhatikan B, belum lagi mengenali atau bercakap dengannya, kita sudah ada pelbagai penilaian yang menjadikan ia satu persepsi. Lebih berlebihan seseorang dalam berpakaian, lebih banyak persepsinya.

Tak percaya? Cuba duduk dan perhati wanita yang lalu di hadapan anda di mana-mana jua. Fikirkan tentang hal ini. Saya berani mengatakannya kerana saya manusia biasa yang melalui pengalaman itu. Saya menerima daftar dua orang pelajar berpurdah semasa bekerja dahulu. Sungguh, walaupun dua semester sudah berlalu, saya kerap nampak mereka, saya masih tiada persepsi tentang mereka! Itu pengalaman saya. Saya yakin, pakaian mereka memainkan peranan.

Saya juga belum ke tahap berpurdah, tapi azam saya adalah untuk berpakaian seperti seorang Islam sebenar dan mengajak anda juga melangkah seperti saya.

Adalah lebih baik juga, kita sediakan sedikit budget untuk kita atau anak perempuan kita memiliki pakaian yang hendak dipakai ketika sendirian/ atau di hadapan suami jika sudah berkahwin dan pakaian yang hendak pakai di khalayak. Pakaiannya tentu berbeza kerana nilai kita bukannya murah!

Sebagai ibu/ kakak, kita patut berani memperkatakan tentang garisan ini pada anak-anak/ adik-adik perempuan kita. Sebagai bapa/ abang, kita patut berani memperkatakan tentang garisan ini pada anak-anak/ adik-adik lelaki kita. Supaya mereka semua bijak memilih dan tidak tersalah pilih. Sebagai suami, buat apa yang wajib.

Pujian siapakan yang kita dambakan?

Wallahuaklam.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman... 

[Catatan Penulis: Ramadhan & Syawal telah dekat. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperbetulkan pemakaian kita kerana saya pasti, banyak pakaian yang kita akan beli sempena perayaan ini.]
Menonton permainan bolasepak selalu buat saya emosi. Suami adalah orang yang akan menenangkan saya dengan tawa bahagianya. Dia ketawa melihat apa reaksi saya.

Keputusan 5-3 : Macam ok! Macam tak ok! Alhamdulillah. Itu takdir Allah selaras usaha kita. Mengikut kata Ustaz Amin, Kita usahakan A, lawan usahakan B, Allah bagi yang mana usaha yang baik. (Saya ambil pengajaran sahaja, Ustaz tak cakap pasal bola semasa rancangan Tanyalah Ustaz pagi tadi).

Saya serahkan kepada yang arif untuk mengatur strategi bagi perlawanan 28 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil jika Malaysia berhajat ke peringkat seterusnya. Yang pasti mereka dapat sokongan dan doa kami sekeluarga.

Jujur cakap, mereka main agak baik malam kelmarin. Walaupun terlalu banyak kali disebut, Malaysia melawan Singapura yang menggunakan pemain import. Saya memandangnya sebagai apa yang suami saya selalu ajar saya, men'diskaun' kegagalan. Saya rasa kita tak perlupun menyebutnya banyak kali isu itu. Malah pemain negara patut bersemangat kerana jika kita benar layak berjaya ke peringkat seterusnya, saya percaya mereka terpaksa menghadapi lawan yang semakin besar saiz fizikalnya. Lebih baik, pasukan negara bayangkan, setiap perlawanan adalah perlawanan akhir Piala Dunia. Tak gitu?

Saya sekadar memberi pandangan di atas untuk mengingati memori lama semasa mewakili sekolah di Sukan Matrikulasi USM tahun 1991 dulu, bagi acara Bola Jaring. Pasukan kami yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Hanya seorang dari kami pernah mewakili negeri, yang lain, peringkat sekolah pun tak lepas. Saya pula hanya bermain semasa sekolah rendah. Malah, saya diminta kawan-kawan bermainpun hanya untuk cukupkan korum mungkin kerana fizikal yang cukup tinggi dan habit yang suka berlari. Itu sahaja sebabnya. Salah satu nasihat Nor Azizah Ibrahim, kapten pasukan kami adalah: Kita kena main macam untuk peringkat akhir. Saya angguk sahaja. Alhamdulillah! Kami masuk peringkat akhir, dan saya masih teringat semangatnya. Bermain di peringkat akhir memang lain rasanya. Apa yang pasti, tiada siapa yang mahu merasa 'ralat' - hampir dapat tapi tak dapat, sebab itu permainan akhir biasanya amat menarik. Yang lebih bestnya kami menang.

Maka, tak kiralah level apa sekalipun, meskipun baru level Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Petaling, yang penting, kita mesti bermain sehabis baik dan enjoy the game!

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...
Malam ini Malaysia akan menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura untuk perlawanan Pra Kelayakan Olimpik. Saya doakan kita akan menang. Seronok menonton bola bersama suami. Maklumlah, saya ibarat masuk ke dalam dunianya. Sekarang semua pasukan yang suami sokong, saya akan sokong. Sebelum berkahwin, pasukan bola yang kami minati untuk Liga Malaysia, Liga Inggeris, liga-liga lain dan pasukan Piala Dunia, adalah berbeza kecuali skuad kebangsaan, Malaysia.

Pernah, suami mengajak menonton bola di stadium, saya menolak. Lebih selesa menonton di rumah, untuk wanita seperti saya. Dapur dekat. Bilik air pun dekat.

Setelah berbagai warna cerita perlawanan pilihan Malaysia dengan Arsenal, Liverpool dan Chelsea, pasukan Malaysia wajib pijak di bumi nyata. Pasukan Malaysia wajib main sungguh- sungguh dengan segala ilmu dan kudrat yang ada!

Ya Allah! Izinkanlah pemain Malaysia bermain dengan sangat baik dan izinkan kami menang dan izinkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat darinya. Semoga Malaysia lebih aman dan dilindungi Allah dengan rahmatNYA!


Iza Safiya
Saat Pena Dalam Genggaman... 
Mama saya adalah guru Agama yang sudah bersara. Untuk mengisi masa lapangnya, beliau mengajar anak-anak jiran mengaji. Saya gembira melihat dia gembira melakukan apa yang dia suka. Walau terkadang rasa agak risau apabila dia mengadu penat akibat jadual yang agak padat. Dia guru yang garang kepada saya, mungkin kerana saya amat nakal dan ligat ketika kecil dulu. Degil pun ada dan sikap itu dibawa sampai dewasa. Tapi sifat keibuan Mama menyebabkan dia amat disayangi. Pelik tapi benar. Garang tapi Disayangi.

Saya akui, ketika kecil, saya amat takut dengan Mama. Belajar mengaji ditemani oleh rotan di tangan kanan. Tapi saya jarang kena. Jika keputusan peperiksaan keluar, jaga-jagalah. Ikut standard Mama bukan standard saya.

Dulu masa cuti sekolah, kami selalu dapat homework. Hafal bacaan solat, Mama dan Abah bawa pergi tengok Sarkas di bandar. Hafal sifir 1 hingga 12 pada usia 9 tahun, dapat satu pek besar yang ada 15 bungkus wafer jenama 'SNAP'. Semua yang kami buat ada reward. Tapi bukan duit.

Jika kami hendakkan something untuk kami beli, kami kena buat kerja. Contohnya, semua adik-beradik kena tolong Abah bersihkan kebun belakang rumah, bakar sampah dan kemas bangsal, kami akan dapat duit sedikit. Cukup untuk beli sebotol kecil Nxxxxxx, yang terlalu kami inginkan. Request kepada Mama untuk membeli sejenis 'jem tapi bukan jem perasa coklat' itu, sebelum ini telah ditolak, Mama kata nanti sakit perut. Kami fikir Mama tak cukup duit. Maka, kami usahakan melalui konspirasi dengan Abah semasa Mama pergi Kursus Cuti Sekolah.

Benar, kami berjaya bersihkan kebun, bakar sampah dan bangsal.
Benar, kami dapat upah dari Abah sebagaimana yang dijanjikan.
Benar, kami beli dan makan jem special itu macam yang kami inginkan.
Benar, kami sakit perut!! Malah Adik saya ..... Ah! Terlampau kritikal kelakarnya untuk ditulis di sini.
Benar, Mama menggeleng kepala bila dapat tahu. Mama hanya berkata, kan Mama dah cakap....  
Teringat juga, peristiwa adik saya menyebut perkataan 'BxxI'  pada hari pertama balik dari sekolah, sedangkan itu perkataan yang dilarang keras oleh Abah. Dia belajar dari kawannya. Maka, dia banyak tanya kenapa dia tak boleh sebut? Kenapa kawan di sekolah boleh? Kenapa itu? Kenapa ini? Kenapa haram? Akhirnya Mama dan Abah bawa semua anak-anak ke Zoo Melaka untuk tunjukkan rupa hamba Allah itu. Adik saya tak menyebutnya lagi selepas itu. Begitu juga dengan kami yang lain.

Kini Mama saya adalah antara rakan baik saya. Bila berhubung, soalan dia yang pertama, dah solat? Bila dah masuk bulan Rejab & Syaaban, dia akan sibuk tanya, dah puasa ganti. Sebagai, anak tentu malu pada dia kalau jawapannya sentiasa negatif.

Sekarang Mama tengah happy, suami saya menghadiahkan dia Majalah Solusi. Suami saya belikan dari edisi dulu hingga sekarang. Serta dilanggankan sehingga tahun 2012. Maka, apa kerja Mama kini? Membaca dan menghubungi anak-anak untuk diberi Tazkirah, kongsi apa yang dia tahu. Alhamdulillah. Semoga Suami saya turut dapat rahmat Allah di atas pemberian itu.

Tazkirah Mama memang banyak membantu. Dalam tempoh 15 - 30 minit di talian, siap ada sesi soal jawab. Kami juga cuba cungkil hikmah pemberian/ perintah Allah.

Antara topik terkini, Kami tertanya kenapa agaknya Solat Tahajjud adalah antara Solat Sunat yang Allah paling suka? Jawapan kami: Mungkin kerana ianya adalah SOLAT YANG RAHSIA. Rahsia antara hamba yang solat & Allah. Kerana orang lain tidur dan tak tahu. Allah sahaja yang tahu. Lepas bangkit dari tidur, kita tidur semula atau kita mandi? Kemudian, jika kita mandi, lepas mandi kita terus solat atau tidur semula? Kemudian, jika kita solat, masa solat tertidur atau tak? Dan macam-macam lagi persoalan USAHA & KEIKHLASAN. Wallahuaklam.

Semalam Mama & Abah, pergi ke bandar dan secara kebetulan Abah ada urusan berdekatan sekolah menengah Adik saya dahulu. Mama yang hanya tunggu di dalam kereta, nampak sekumpulan pelajar perempuan sekolah itu pergi ke kedai beramai-ramai dan membeli rokok.
Maka, Mama meminta saya menjawab sungguh-sungguh soalan dia: Masa kakak sekolah dulu, ada tak buat perkara yang Mama tak suka? Dalam hati saya kata Alamak! Saya kata ada. Dia tanya apa benda yang saya buat? Tidur dalam kelas, beli 'jajan' di kantin, pakai lip gloss kawan, lipat stoking sampai bawah buku lali....memang 'poyo'lah apa yang saya lakukan tu... Mama kata yang itu dia boleh maafkan. Dia nak yang lebih besar lagi dosanya, ada saya buat tak? tanyanya melebihi Sarjan A Galak di TV. Saya kata tak ada. Tak ponteng sekolah, tak merokok, tak berzina, tak mencuri, tak bohong cikgu, tak ada kawan dengan budak lelaki (zaman saya 'coupling'lah). Di hujung talian, saya dengar dia berkata Alhamdulillah. Bila dia ceritakan pada saya, apa yang dia nampak, saya faham kini.

Saya kata, budak perempuan sekarang tak sama dengan budak perempuan dahulu. Dah berubah...Dan Mama memotong kata-kata saya dengan tegas. Tapi Islam tak berubah, prinsipnya masih sama. Berani saya kata prinsip itu berubah? Saya kata tidak.... Dia Tazkirah lagi lima minit, meminta saya tukar pendapat. Budak perempuan sekarang mesti sama akhlaknya dengan dahulu. Mungkin berubah dari segi tahap pengetahuan dan kebijaksanaan, tapi prinsipnya mesti sama kerana jika kita cakap pasal solat mesti cukup lima waktu, bulan Ramadhan mesti puasa dll. Saya terima teguran dia. Selepas meletakkan telefon, saya berfikir. Kalaulah Mama sudah tiada, selain suami yang berusaha keras membantu saya memperbaiki diri, siapa lagi yang akan bantu? Yang kalau saya salah, berani cakap depan-depan tentang dosa. Yang kalau betul, benar-benar meraikannya tanda syukur.
Sudah terlalu lama saya hidup dalam diskaun yang buta-buta. tidak berhikmah. Patutlah Mama selalu cakap, dia serah saya pada Allah. Allah yang mengizinkan teguran sampai ke telinga saya. Asbabnya Suami dan Mama dan apa-apa juga dikeliling saya. Kerana saya Allah yang punya....

Iza Safiya
Saat Pena Dalam Genggaman...


Minggu ini, saya katakan Minggu Penangguhan. Rezeki Tertangguh. Usaha Tertangguh. Saya hidup dalam kesedihan yang saya simpan sendiri. Fikiran berselirat dan hati jadi berat. Hilang rasa bersungguh. MasyaAllah, mudahnya saya mengalah.

Saya turuti kembali sejarah hidup saya. Kebiasaannya, jika saya sedang mengusahakan sesuatu, Allah akan beri saya sedikit, dan kemudian Allah akan tarik balik. Kemudian Allah akan gantikan semula dengan yang lebih baik.

i] Semasa sekolah rendah, saya mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Saya gembira, kemudian, saya menduduki peperiksaan Kelayakan Masuk MRSM, saya gagal. Allah beri saya hadiah masuk Sekolah Agama Maahad Muar. Itu hadiah yang lebih besar rupanya.

ii] Semasa mengusahakan untuk memiliki rumah yang pertama, saya membuka mulut kepada pemilik rumah yang kami sewa untuk membeli rumah itu darinya. Pemilik rumah gembira kerana perkara yang sama juga sudah lama difikirkan olehnya. Maka, amat tinggi harapan yang kami letakkan untuk memiliki rumah pertama kami. Pelbagai perkara yang kami, suami isteri rancangkan untuk rumah yang bakal kami miliki. Namun, harapan hancur berkecai, pemilik rumah bertukar fikiran. Saya menangis sakan, namun Alhamdulillah, suami memang 'cool'. Sesuailah dengan saya yang kerap 'ghoplah'. Suami kata, Allah akan beri yang lebih baik. Alhamdulillah, dia memang benar. Dapat rumah yang lebih luas di lokasi yang lebih selesa buat kami sekeluarga.

Berpatah-balik pada peristiwa minggu ini. Sudah ditakdirkan begitu ceritanya. Pasaran aktif namun saya gagal untuk capai sasaran saya. Namun, sampai bila? Jika saya perhati balik peristiwa [i] dan [ii], apa yang saya perlu lakukan adalah usaha yang lebih keras. Kenapa saya harus tanya pada Allah, bila Allah nak beri pada saya hasilnya? Allah dah beri banyak. Saya lihat pada diri sendiri, suami dan keliling. Semuanya baik. Apa lagi?

Maka, minggu depan, saya buat strategi baru. Jadi tak jadi? Saya tak tahu. Allah sahaja yang tahu. Bahagian saya, usahakan yang terbaik. Tak sabar nak tunggu apa yang lebih baik yang Allah nak bagi pada saya untuk perniagaan saya.....

Peratusan Solat dalam Waktu : 92%. Ini tanggungjawab saya dan saya akan pastikan sedaya upaya peratusan menjadi 100%.

Iza Safiya
Bila Pena Di Genggaman...
Catatan 20110709 :

Saya jadi emosi memikirkan hari ini. Sabtu yang suram. Sejak pertengahan minggu lagi, HQ di kampung telah mengeluarkan arahan, jangan ke mana-mana pada hari ini. Duduk rumah sahaja sepanjang masa kecuali ada hal yang berkaitan dengan nyawa sahaja baru boleh keluar rumah. Saya tersenyum dan katakan pada the COO of all COOs yang arahan itu telah dikeluarkan seminggu awal oleh CEO KL branch.

Suami saya CEO rumahtangga kami. Saya dan Kakak adalah COO, kami share tahta bersama. So, Mama saya di kampung adalah the COO of all COOs lah kan!!!!

Maka, kami sekeluarga memenuhkan masa bersama keluarga di rumah. Menyaksikan anak dan suami bermain game. Browsing Internet melihat koleksi Jubah dan pinggan mangkuk terkini. Ah! jiwa bahagia melihat semua itu. Jika ditakdir, saya mampu mewah, adakah saya akan miliki semua itu. Janji saya pada Allah, sekaya manapun saya nanti, saya hanya mahu senang. Mewah dan membazir bukan impian saya. Cukup pinggan mangkuk yang ada di rumah sekarang. Ops Sorry! Cukup pinggan mangkuk yang ada di rumah sekarang dan yang ingin saya miliki sebagaimana yang tersenarai dalam wish list saya setakat 3/7/2011. Saya akan ikut nasihat Oprah, jika teringin nak tambah set pinggan-mangkuk, saya akan lelong mana-mana yang saya tak nak dan wangnya saya guna untuk beli yang baru. Amacam? saya rasa suami saya yang akan senyum paling lebar.... bukan sebab duit tapi sebab saya dan ikrar saya.

Berkongsi cerita sepanjang sibuk bekerja, sepanjang minggu membuatkan kami merenung masa depan anak-anak. Jika dulu, nenek saya bagi lesung batu pada Mama saya ketika baru kahwin. Mama saya pula bagi pinggan mangkuk pada saya. Saya nak bagi apa pada anak saya? Tak tahu. Bukan soal lesung batu, pinggan mangkuk atau apa barang yang sesuai. Saya kena fikir sesuatu yang bermakna, yang kalau anak saya tengok, ha! itu mummy yang bagi hadiah.....

Boleh tak kalau saya hadiahkan keamanan? Anda ketawa? Saya tak boleh halang! Mungkin sebab keamanan itu tidak pernah dianggap satu pemberian Allah yang berjiwa, maka kita anggap ianya adalah 'benda' yang sudah sedia ada. Tak perlu usaha dan tak perlu pupuk. Tak perlu diserah secara hormat dari satu generasi ke generasi seterusnya. Then, rupanya kita yang sudah hilang jiwa pada pemberian Allah pada kita. 

Anak-anak saya, akan saya hadiahkan keamanan supaya mereka menghargainya. Sayang.... jika mereka ada lesung batu atau pinggan mangkuk, tapi tak aman hidup. Maka pada hari ini, anak-anakku, usahakanlah keamanan, ajaklah rakan-rakan hidup dalam aman dan berdoalah untuk mendapat keamanan. Melihat siaran berita dari pelbagai saluran pada sepanjang hari ini, saya jadi malu pada anak-anak..... Keamanannya mana?

Catatan 20110710:

Alhamdulillah .... kami sekeluarga pergi berenang dan pergi bersiar-siar. Belikan kasut anak, sekarang dah pakai saiz 3. Dah separuh saiz kasut saya. 

Catatan Penulis:
Terima kasih baby, belanja mummy tengok Pirates of The Carribian, walaupun mummy nampak Abah yang bagi baby duit tu.....:-)

Peratusan Solat dalam Waktu : 88%. Ini tanggungjawab saya dan saya akan pastikan sedaya upaya peratusan menjadi 100%.

Iza Safiya
Bila Pena Di Genggaman...


Catatan 20110707- 08:

Semalam saya baru cakap saya nak jadi orang yang 'cakap serupa bikin' tapi saya gagal. Gagal dalam ujian sebenar. Saya ada dua pilihan: 

i) memandangnya sebagai satu masalah global - semua sama saja - bermakna jika hubungan saya dengan mana-mana manusia bermasalah, saya bermasalah/ berpotensi untuk bermasalah dengan semua orang.
ii) memandangnya sebagai satu masalah lokal - hanya perincian tertentu - bermakna jika hubungan saya dengan mana-mana manusia bermasalah, saya bermasalah/ berpotensi untuk bermasalah dengan sekumpulan manusia sahaja.

Bagaimana dengan Allah? Mungkin Allah Murka pada saya. Bagaimana saya harus hadapi semua ini. 

Atau sebenarnya, saya mudah sangat untuk mengalah pada keadaan. Apatah lagi keadaan itu ibarat 'angin ribut' yang Allah hantar pada saya. Perlukah saya mengeluh. Hari ini semua yang dilakukan tak menjadi.

Maka, apa yang saya lakukan untuk mengambil iktibar peristiwa semalam?

i] Saya mesti jelas apa yang saya inginkan - saya inginkan pendapatan yang baik untuk membolehkan saya:
a] menampung kehidupan saya sekeluarga
b] membayar segala komitmen hutang yang telah dibuat - rumah, kereta, hutang peribadi malah hutang belajar yang masih berbaki 
c] menjalankan projek-projek peribadi yang amat ingin saya lakukan - membantu anak-anak susah, anak-anak yatim/ piatu, ibu tunggal, orang-orang tua dan pelbagai lagi impian yang selama ini tersimpan di dalam hati.
ii] Saya wajib mendahulu siapa yang berhak pada diri ini - Hak saya pada Allah SWT & Rasulullah SAW dan suami.
a] Menjaga masa Ibadah dan menurut segala Syariat.
b] Menjaga segala keperluan suami

iii] Saya wajib bertanggungjawab pada apa yang saya kerjakan - Bertanggungjawab kepada perniagaan yang saya jalankan - keuntungannya, kerugiannya serta turun naik jiwa perniagaan saya.

Dulu, sebelum berniaga, saya selalu buat sesuatu untuk memenuhi keinginan orang lain, sasaran boss, kemahuan pelanggan, keinginan staf dan diri saya sendiri, khilafnya, mengharap pujian dari boss, kepuasan pelanggan dan rasa hormat dari staf. Jika saya berjaya, saya rasa hebat, saya rasa bagus dan sempurna. Jika saya gagal, saya katakan pada diri, kehendak boss yang keterlaluan, pelanggan yang cerewet dan staf yang sering mengambil kesempatan.

Apa yang saya gagal lakukan, saya gagal untuk menjelaskan keinginan saya sejelas-jelasnya, saya gagal beri hak-hak Allah SWT, Rasulullah SWT dan Suami dan saya gagal untuk bertanggungjawab pada apa yang saya kerjakan. Sebab itu jiwa tidak tenang. Astaghfirullah, ampunkanlah saya.


Kini, setelah berniaga sendiri, walaupun ketiga-tiga perkara di atas telah saya usahakan namun dalam sesetengah ujian, ia gagal. Kalah teruk hingga menyebabkan pencapaian keseluruhan adalah rugi teruk.

Pada waktu itu, jiwa saya jatuh di atas lantai, dan salah satu jalan yang saya jumpa untuk mencari jiwa yang hilang adalah kembali kepada SIAPA YANG CIPTA SAYA, iaitu ALLAH...

Mana mungkin Allah jadikan saya sia-sia, kecuali saya yang mensia-siakan diri saya sendiri
Mana mungkin Allah jadikan saya hina, kecuali saya yang menghinakan diri saya sendiri
Mana mungkin Allah jadikan saya gagal, kecuali saya yang menggagalkan diri saya sendiri

Apa cerita hari ini?

i] Alhamduliallah, satu peluang telah selesaikan dengan baik.
ii] Astargfirullah, dua peluang perniagaan telah saya sia-siakan.
iii] Innalillahi Wainnailaihirajiun, satu peluang telah saya rosakkan.
Kenapa?

Kerana kegagalan saya dalam mentadbir diri bagi tiga perkara di atas.

Catatan 20110711-12:

Kemudian, sepanjang perniagaan saya pada 11/7 & 12/7, saya usahakan untuk menjaga semua yang tersebut di atas. Antara peristiwa yang saya lalui:

i] Waktu solat telah masuk, saya katakan pada Allah, Ya Allah, aku masih tiada pembantu, perniagaan mesti terus berjalan, waktu solat telah masuk, sekiranya, Engkau izinkan, aku pohon, Engkau lambatkan sedikit rezekiku hingga aku siap bersolat, barulah Engkau serahkan rezekiku padaku. Amin. Bulatkan hati, solat sekhusyuk mungkin. Percaya atau tidak, Allah makbulkan doa saya ....Alhamdulillah.

ii] Saya janji dengan Allah, setiap pelanggan yang masuk iaitu dalam kategori breakout, saya harap mereka akan beli 3 barang, paling kurang, itu yang saya mahukan dan jika lebih dari itu, maka saya anggap ianya bonus dari Allah. Saya akan usahakan, dengan penilaian yang saya buat dan berdoa. Jika mereka telah pilih 3 barang, saya akan 'immediate approach' untuk close deal. Jika pelanggan masih ingin memilih barang, itu bonus. Tetapi, jika pelanggan telah pilih 3 barang, dan saya biarkan sahaja, saya tidak membuat 'immediate approach' untuk close deal, dengan harapan mereka akan memilih banyak barang lagi, saya dapati, saya akan kerugian, pelanggan lari langsung. Atau jika pelanggan datang balik pun, masa yang diambil terlampau lama. MasyaALLAH, indahnya jika saya boleh beristiqamah. Itu perjuangan saya yang sebenar.


Nota Penulis:
i] breakout - pelanggan yang original - datang untuk beli
ii] false alarm - datang untuk meninjau
iii] window shopping - tengok dari luar sahaja, tak perlu saya ambil peduli, cukup saya perhati dari jauh.
[sumber: Catatan penulis 20110706]

Peratusan Solat dalam Waktu : 88%. Ini tanggungjawab saya dan saya akan pastikan sedaya upaya peratusan menjadi 100%.

Iza Safiya
Bila Pena Di Genggaman...
Saya tidak mahu jadi manusia yang cakap tak serupa bikin. Pagi ini seorang ustaz di Rancangan Tanyalah Ustaz bercerita, di dalam neraka kelak, akan ada golongan guru atau golongan alim - yang suka menyeru kebaikan tetapi dia sendiri tak buat. Saya fikir, inilah golongan Munafik, Nauzubillah untuk saya termasuk dalam golongan ini. 

Maka, apa yang saya lakukan untuk mengambil iktibar peristiwa semalam?

i] Hari ini saya pulun baca buku - saya mesti tambah ilmu. Saya akan ulang baca esok. Baca sampai saya tahu muka surat berapa satu-satu tajuk diperjelaskan. Saya beri tekanan kepada kepala otak saya untuk memahami semua situasi dan saya mesti boleh memberi penerangan yang jelas. Barulah saya puas hati dengan pencapaian peribadi saya sendiri. Sebagai bekas guru/ pensyarah, saya percaya konsep ini. Seronok, macam program Back to School.

Dulu, sebelum berniaga, saya selalu percaya, saya tidak perlu untuk mengetahui nama konsep, tak perlu tahu nama kaedah, saya boleh lakukan dengan baik. Hari ini, saya terima hakikat, saya tidak akan menjadi akautan yang bertauliah sekiranya saya tidak tahu apa erti ledger, debit, kredit dan lain-lain istilah lagi. Jika saya tidak dapat menerangkan sesuatu fenomena dalam perniagaan saya kepada orang yang boleh faham, maksudnya, saya yang tidak faham.
ii] Hari ini timing saya, Alhamdulillah, baik. Tapi bersiap jam 8.30 pagi adalah agak rushing untuk saya. Saya akan bersiap lebih awal esok. Saya cuba jam 8.00 pagi. Saya nilai impaknya.
iii] Keyakinan saya bertambah hari ini, Allah beri pinjam perasaan itu pada saya, Alhamdulillah.
iv] Solat Hajat & Tahajjud: Yang ini saya gagal. Saya terjaga agak lambat, selepas azan subuh. Saya sangat sedih. Esok saya mesti cuba lagi. InsyaAllah, saya berjaya. 

v] Saya sediakan strategi awal pagi, namun setengah jam tidak cukup, sebab itu, saya akan mula awal esok. Semalam Suami berkata, saya harus berfikir menjadi nelayan, ikut ombak dan angin, tentukan jenis peralatan dan cara guna, barulah saya dapat tangkap ikan. Balik kepada alam, bukannya menentang alam. Besar atau kecil, apa jua fenomena, akan mengikut hukum alam....   
Mind-Travelling, saya buat sebelum tidur dan semasa saya mula bertugas. Ada hasil! 65%, Alhamdulillah. Saya akan usahakan agar peratusan itu ditingkatkan. InsyaAllah berjaya.

Apa cerita hari ini?

Tertekan untuk berubah, saya menjadi penembak tepat. Ini adalah usaha saya untuk mengambil peluang yang ada depan mata. Saya percaya opportunity only knock once at your door. Mengenangkan baby yang suka main game, saya bayangkan diri saya begitu hari ini.

Hukumnya begini:

i] Sabar & Berdoa - perhati & doa dua perkara utama yang tidak boleh gagal bagi peniaga.
ii] Nampak peluang - saya 'grab', dengan syarat memenuhi semua syarat saya termasuk saya 'feel good' atau tidak dengan tindakan saya.
iii] Matematik Pantas - kecilkan dalal bagi meningkatkan pendapatan - suami dah tanya saya tentang hal ini, masih ada kekaburannya.
iv] Seronok - Mesti seronok, baru bermakna.
Berbalik pada menjadi penembak tepat. Saya paling suka tengok cerita Hitman. Pernah disiarkan beberapa kali di saluran yang 'tengok atau tak tengok, tetap kena bayar'. Hitman, satu watak yang cekap menilai sekitar, mengawal diri dan buat tindakan tepat pada masanya. Itulah yang saya cuba lakukan. Setiap pelanggan yang datang, saya gunakan peluang untuk menilai kehadirannya sebagai:

i] breakout - pelanggan yang original - datang untuk beli
ii] false alarm - datang untuk meninjau 
iii] window shopping - tengok dari luar sahaja, tak perlu saya ambil peduli, cukup saya perhati dari jauh.

Saya membuat catatan, saya dapati dari 20 cubaan, 13 darinya jangkaan saya adalah tepat. Hari ini pencapaian saya adalah 65%. Dari salah sebuah buku yang saya baca, peniaga seperti saya boleh berjaya jika peratusan pencapaian adalah 60 - 70%. Saya sasarkan pencapaian 85%. Kenapa? Sebab saya seorang Muslim, saya bangga menjadi Muslim dan doa adalah senjata saya kerana saya yakin Allah di sisi saya.

Namun, sebagai penembak tepat, saya tak boleh kehabisan peluru. Baby saya akan kata "Oh! Man", kecewa bunyinya, jika dia kehabisan peluru ketika bermain game. Dalam permainan, itu adalah satu perkara yang tidak boleh saya buat main. Saya letakkan, minimum peluru saya mesti 500 dan tidak boleh lebih kurang dari itu, saya terpaksa tutup kedai 'Nauzubillah'.

Berniaga membuatkan saya berfikir secara realiti, namun bercita-cita lebih tinggi dan bertindak lebih berani.

Esok bagaimana?

Saya akan lakukan 4 perkara di atas dengan lebih sempurna. Saya 'perfected' kaedah saya. dan capai target esok. InsyaAllah.

Peratusan Solat dalam Waktu : 80%. Ini tanggungjawab saya dan saya akan pastikan sedaya upaya peratusan menjadi 100%.

Iza Safiya
Bila Pena Di Genggaman...

p/s: Saya nak bagi tahu seluruh dunia, saya sayang Allah SWT dan Rasulullah SAW. Saya sayang suami saya. dan 'baby-baby' saya. Sangat-sangat. Alhamdulillah.. Allah bagi saya peluang rasa sayang. Sayang yang halal...
[Nota Penulis: Catatan ini adalah ibarat Taj Mahal bagi Suami yang banyak berkongsi ilmu dan pandangan sepanjang penulis mengenalinya. Brilliant Young Man & Wise Old Man adalah frasa yang selalu beliau gunakan untuk menghargai staf muda dan staf senior di bawah kepimpinannya. Semoga bermanfaat buat saya dan semua dan hanya rahmat Allah buat Suami. ]

Unlearn & Relearn

Saya diajar bahawa ada sesetengah pengetahuan adalah sudah tidak boleh digunapakai - maka saya perlu jalani proses ini. "Unlearn" adalah proses men'tidakaktif'kan sesuatu maklumat dalam otak. "Relearn" adalah proses belajar semula atau memasukkan dan mengaktifkan maklumat baru dan terkini. Kedua-dua proses ini juga perlu di buat jika kita telah salah faham tentang sesuatu. Bagi mereka yang masih muda, proses ini berlaku dengan mudah dan kadang-kala luar sedar. Bagi mereka yang sudah usia lebih 35 tahun, lebih baik, proses ini dijalankan dalam sedar kerana bimbang berlaku kecelaruan maklumat.

contoh :
Saya belajar Pemprograman Sistem Komputer semasa di Universiti dulu, ada konsep pemprograman yang telah saya silap faham, dan saya menyebabkan system yang saya bina menjadi 'error'. Bila rakan sekerja memberitahu saya sudah memegang konsep yang salah selama ini - detik ini saya perlu "unlearn". Kemudian saya perlu belajar konsep yang sebenar - detik ini saya perlu "relearn".


Mind-travelling

Satu proses pembayangan diri berada pada satu tempat dan melalui satu situasi yang bakal dilalui.

contoh :
Ketika saya bekerja di organisasi lama, saya sering diarahkan untuk memberi ucapan. Maka, suami saya memperkenalkan proses "mind-travelling". Setelah input penting bagi ucapan telah saya senaraikan, saya akan mengambil masa untuk membayangkannya. Saya naik ke atas pentas, berjalan menuju ke rostrum, membetul letak mikrofon, menarik nafas panjang yang perlahan, melihat ke audiens, tersenyum dan buka mulut untuk bercakap.

Malah, suami juga seorang yang mengambil berat tentang surat yang diutuskannya. Tiada istilah surat formal, hanya hasrat yang formal. Maka, ketika saya menulis surat untuk dihantar ke pihak Kementerian, saya melakukan perkara yang sama. Saya mengambil tahu siapa penerima, sedikit sebanyak maklumat akan membantu, saya bayangkan si penerima membaca surat saya dengan perasaan yang ingin saya suntikan sesuai dengan hasrat yang disampaikan di dalam surat tersebut.

Alhamdulillah, hasilnya positif.

Terima kasih Suami.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

Saya bersyukur, saya lalui hari ini dengan penuh sabar. Apa yang saya kenali tentang diri ini, jika dah buat salah, saya akan buat banyak salah lagi dan lagi. Bila dah buat salah, sentiasa suka "discount" kesalahan saya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar mahu menyedapkan hati tanpa mencari ke akar umbi, apa silapnya. Perlukah saya "unlearn" dan "relearn"? Saya tolak tepi itu semua. Bodoh saya rupanya...

Kini, selaras dengan perubahan yang diazamkan, saya suka untuk lebih banyak berfikir tentang diri ini, penciptaannya dan penciptanya. Bila saya melakukan salah/ silap, saya usahakan untuk cari hingga ke akar, sebab sebenarnya serta penyelesaiannya. Memang perit, kita membuka pekung di dada, tapi di hadapan Allah, bukan manusia dengan apa juga gelaran. Allah dengar, saya yakin Allah dengar dan bantu saya berubah. InsyaAllah.

Hari ini saya kerugian, sebenarnya. Ya! amat sedih tapi tetap bersyukur kerana rugi itu, bukan rugi besar, Allah mengambil semula 75% keuntungan semalam. Mesti ada sebab, dan saya tak boleh merungut. Mesti ikhlas untuk terima, kerana yang beri itu Allah. Allah ambil balik apa yang Dia beri pada saya semalam.

Puas saya fikir apa sebabnya, antara silap yang mungkin:
i] kurangnya ilmu perniagaan - saya seorang yang liat membaca.
ii] kurangnya persediaan diri - macam Mak Minah, kalau Mak Minah tak tahu resepi nasi lemak, macamana nak masak nasi lemak yang sedap. Kalau Mak Minah lupa nak beli daun pisang, macamana nak bungkus nasi lemak itu. Rezeki tentu makin jauh.
iii] kurang yakin apa yang dibuat - macam Mak Minah, kalau Mak Minah rasa nasi lemak yang dia masak pada hari tertentu, tak sesedap biasa mengikut standard Mak Minah sendiri, tentu Mak Minah rasa tak yakin - kalau berjaya jual, bimbang pelanggan tak datang lagi, kalau tak jual, tentu membazir.
iv] kurangnya doa - saya kena banyak berdoa. Kakak saya kata, ada rakannya yang berjaya dalam perniagaan, Alhamdulillah, telah mula beristikharah dan bertahajjud pada Allah sejak dua tahun sebelum memulakan perniagaan. SubhanAllah. 
v] Banyak impian, tapi tidak ambil peluang - peluang datang pada masa tertentu dan dalam perniagaan yang saya ceburi, ianya boleh dijangka. Biasanya saya tunggu dan "titik". Bila peluang berlalu, saya katakan pada diri, kalaulah tadi aku buat begitu tentu dot dot dot. Klise sungguh! 

Apa pilihan yang saya ada? Penyelesaiannya:
Bagi kesilapan [i]: Saya tambahkan Sasaran Mingguan saya menjadi 4 Bab bagi setiap 2 buku yang saya baca. Semoga, kesannya empat kali ganda.
Bagi kesilapan [ii]: Pengaturan masa perlu lebih teratur, jika ketika bekerja di organasasi luar, saya suka datang awal, untuk perniagaan sendiri, saya akan masuk pejabat jam 8.30 pagi. buat persediaan peribadi - sarapan sambil membaca dan menilai situasi pasaran ketika saya tidur dan situasi semasa;
Bagi kesilapan [iii]: Saya hanya mohon pada Allah. Apabila bahagian [i] dan [ii] dibuat dengan baik, semoga kesannya akan nampak dalam hal keyakinan diri.
Bagi kesilapan [iv]: Mula bangun lebih awal, saya akan usahakan untuk bertahajjud dan bersolat hajat.
Bagi kesilapan [v]: Saya akan sediakan strategi dan 'mind-travelling' untuk melalui saat itu.

InsyaAllah, semua di atas akan saya usahakan sekarang. Semoga Allah beri petunjuk dan saya tetap mendapat rahmatNya dalam susah dan senang. Pengakhiran kejayaan adalah dambaan saya. Amin.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...




  
Sebagai insan yang pernah berpeluang bekerja di dalam organisasi yang besar, bekerja sepenuh hati dan menanti gaji pada setiap 28 haribulan pada setiap bulan, saya berada dalam keadaan yang sangat selesa. Tiada yang perlu saya bimbangkan, dalam bahasa lain "confirm dapat gaji". Tidak kiralah organisasi besar atau kecil, asalkan memiliki "business" tiada pekerja yang patut susah hati. Malah, ada juga pekerja yang mengambil kesempatan - mengambil mudah, memandang ringan, cuai dan lalai.

Kini, saya bekerja sendiri. Baru saya nampak dalam sedar rezeki datang dari Allah. Saya kini sama dengan Mak Minah atau Mak Piah yang menjual nasi lemak, kuih-muih; Pak Mail yang menjual ikan keliling kampung atau Pak Hamid yang menjual cendol di bawah pohon ketapang depan sekolah. Kami kena berusaha mempersiapkan diri, bahan jualan, sistem perkhidmatan yang terbaik bagi kepuasan hati pelanggan. Kemudian, saya faham dalam sedar, hanya belas kasihan Allah yang diharapkan agar nasi lemak, kuih-muih, cendol dibeli pelanggan dan pelanggan menyukainya. Tiada alasan untuk merungut terhadap gelagat dan sikap pelanggan, apa lagi terhadap Yang Maha Esa yang mengizinkan pelanggan datang kedai.

Berbeza dari senario asal, dalam organisasi, sebagai ketua, saya pernah merungut tentang ketidakcekapan pekerja. Malah hingga satu tahap, saya merungut dengan teguran Ketua saya, MasyaAllah, semoga ada kemaafan untuk saya. Tidak di depan, kita merungut di belakang. Tidak wajar dimulut, dalam hati kita merungut.

Percayalah, rasa bersyukur saya kini, serta rasa syukur Mak Minah, Mak Piah, Pak Mail dan Pak Hamid adalah berbeza dari apa yang saya rasakan ketika saya berada di dalam organisasi dulu. Manisnya berbeza. Nikmatnya terus disyukuri tanpa tunggu. 

Kini, saya nampak dalam sedar, saya faham dalam sedar. Demi keinginan terhadap hidup yang penuh berkat dan tiada was-was di dalam hati, saya gembira kehidupan saya kini. Inilah kehidupan yang akan saya pertahankan sampai bila-bila. InsyaAllah. 

Ustazah Fatima AzZehra berkata, jika bersyukur, lafazkan dan tunjukkan agar Allah SWT tahu dan terus mahu memberi. Itulah yang patut dilakukan, oleh hamba Allah, tanpa kira siapa.

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman ...
[Nota Penulis: Perancangan Iza Safiya adalah perancangan yang akan saya lakukan sepanjang minggu. InsyaAllah. Semoga Allah izinkan dan permudahkan. Amin. Semoga saya dan keluarga mendapat manfaat. Amin. Doakan saya akan mencapainya dengan sempurna dan semoga Allah memudahkan Anda mencapai sasaran Anda juga. Amin, Terima kasih]

Sasaran Tugasan Peribadi:

i] Solat sebaik masuk waktu
ii] Puasa Isnin & Khamis
iii] Memenuhi keperluan Suami 24/7
iv] Mendengar sekurang-kurangnya 2 surah pilihan
v] Membaca sekurang-kurangnya 1 surah dalam Al-Quran & Tafsir
vi] Membaca sekurang-kurangnya 1 bab dalam buku Pilihan 1 & 2
vii] Membuat semua Pembayaran Peribadi


Sasaran Tugasan Pejabat:

i] Membuat Kajian Perancangan Perniagaan Baru
ii] Membuat & Memantau Pelaburan
iii] Menyiapkan Cerpen "Ati & Ara" dan menghantar ke Penerbit
iv] Menyiapkan Bab ke 14 & 15 Trio-Vel (Vol. 1) "Tanpa Nama" 

Sasaran Pendapatan Peribadi:

Minimum RM 1, 000.00  seminggu - sekiranya saya mencapai dan mengekal sasaran ini sepanjang Julai 2011, saya akan ajak Suami & Keluarga makan Barbeque on the Lake di Pullman, Putrajaya. Yummy!

Sasaran Masakan Baru Minggu ini:

- Belum Aktif -

Semoga Allah memberi Ilham dan mengizinkan untuk sasaran di atas disempurnakan,

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

[Nota Penulis : Sesungguhnya aku bermula dari 'zero' dan aku menginginkan semua yang di atas berlaku melalui usahaku menjalinkan hubungan yang tulus dengan Penciptaku. InsyaAllah, Akanku usahakan bersungguh-sungguh. Samada aku mencapainya atau tidak, bergantung kepada banyak perkara terutamanya usaha yang aku lakukan, keredhaan Suami, doa Kalian Semua serta ilham dan keizinan Allah. Semoga ada rezeki buatku. Amin]
Salam, Kehidupan Baru,

Pernah seorang penceramah yang terkenal kini, Ustaz Amin berkata, jika mahu berubah, buangkan pilihan yang bukan pilihan. Maka, hari ini, saya tinggal satu pilihan, berniat dan buat. Bertahun suami saya, malah sebelum menjadi suami, menegur saya. Buat, tak payah banyak bicara, buat terus. Dan saya kerap bertanya balik, buat apa? Di saat tertekan, kata-kata itu amat menyakitkan hatinya, maafkan aku suami, dan sebenarnya, hati saya sendiri juga. Di saat berjauhan, ia kerap buat saya terfikirkannya .... saya yakin dia juga begitu.

Esok kehidupan baru wajib saya tempuhi. Iza Safiya VS Iza Safiya. Pelik? Tapi benar..... apabila tiada lagi pilihan yang lain, saya hanya ada diri saya. Baik melawan jahat, rajin melawan malas. Teliti melawan lalai. Berpeluh mengenangnya!

Menjadi diri sendiri adalah pilihan saya. Namun dalam diri ini, ada dua sisi yang berbeza. Sekali lagi, ada pilihan. Maka, buang pilihan yang negatif, tinggallah yang positif. Itu perjuangan saya.

Kerana apa saya lakukan ini semua. Kerana Allah, untuk suami dan keluarga yang saya miliki, dua Baby and baby kami. Maka, nikmat Allah manakah yang ingin saya dustakan?

Wajar untuk saya kongsikan, pada saat saya berada di ambang mula perubahan ini, saya menghadapi peperangan yang amat besar. Antara cerita masa hadapan dan cerita lama yang saya tinggalkan. Setiap detik itu pula, membuatkan saya sering tertanya, adakahnya ini rahmatNya? Setiap apa yang saya terima - walau saya tidak layak untuk itu semua, hadiah perpisahan dari rakan, pemberian bos yang luar biasa serta sambutan mesra suami yang menanti di pintu Syurga Dunia kami, membuat saya benar- benar berharap, inilah rahmat Allah, kerana Allah sayangkan saya dan bukannya menghukum saya dengan nikmat. Allahu Akbar. Saya percaya, saya tidak keseorangan. Allah bersama saya. InsyaAllah.  

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman....