Entah macamana, saya gagal untuk tidur mengikut waktu minggu ini. Saya jadi resah. Puas saya lakukan apa yang dinasihatkan oleh orang keliling. Memang tiada lena. Apa yang ingin ALLAH mahu saya nampak? Saya tak pasti pada waktu itu. Saya tidur hanya sebentar pada jam 9.00 - 12.00 malam. Selepas itu, mata saya segar bugar, namun badan terasa letih yang tidak terhingga. Jika tidak tidur semalaman, tidak mengapa... namun jika terhutang tidur bertokok tambah, saya tak pasti adakah itu baik untuk saya...

Akhirnya, saya gunakan masa tersebut dengan sebaiknya. Dari jam 12.00 - 4.30 pagi saya menulis, bukan untuk blog ini tetapi sesuatu yang saya sedang usahakan. Alhamdulillah, kini sudah siap hingga ke Bab 20. Saya jangkakan ia akan tamat sedikit masa lagi, InsyaALLAH. Mungkin akhir, November 2011, saya boleh menulis sesuatu berkenaannya di sini. Ianya masih lagi rahsia. Suami saya sahaja yang tahu...

Namun, jika masalah ini berulang, saya mungkin menjadi seorang yang papa kedana kerana terpaksa membeli 'lena' dari sesiapa yang sidi menjualnya.

Adakah saya mempergunakan Tidur Yang Hilang itu dengan perkara bermanfaat? Jawab saya, Wallahuaklam... saya tak pasti adakah itu yang terbaik di mata ALLAH... yang saya pasti , itu yang terbaik di mata saya... semoga begitu juga pada pandangan NYA...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)