PRU 13 makin hampir. Mungkinkah pertukaran pemimpin akan berlaku? ALLAH sahaja yang tahu. Nasihat saya buat diri sendiri dan teman-teman, kita solat Istikharah ya. Undi penting untuk Islam. Undi penting untuk kita.

Pemimpin?
Mmmm.... Mengenangkan semula pengalaman mengendalikan 75 orang staf buat saya terpejam-pejam mata mengenangkan kisah semalam.
Tentu, dalam hari-hari berlalu bagai nak pecah kepala memikirkan bahtera yang dikemudi. Terkadang bos ingin ke kanan, saya pula fikir ke kiri lebih bagus mengenangkan keupayaan staf yang sedikit sebanyak saya lebih tahu kuat lemahnya. Puas memberi keyakinan pada bos, akhirnya bos menerima hakikat bahtera patut ke kiri.
Bila pulang ke bahtera sendiri, staf yang bertanggungjawab pula gagal menjalankan tugas itu. Argh! Tuhan sahaja yang tahu.
 
Pengalaman buat saya menjadi ketua yang detail. Detail dalam memberi arahan dari awal sampai akhir. Kenapa? Kerana bila bermasalah, saya akan berani mengatakan pada diri, itu salah saya! Sesuatu yang amat payah sebenarnya. Saya jamin, untuk sesiapa sahaja. Terutama dalam hal yang telah kita fikirkan siang dan malam.

Itu baru kisah 75 orang. Bagaimana untuk 29 juta orang? Tentu pening!

Bila kita menilai pemimpin, kita lupa yang dia ada 29 juta kepala yang hendak difikirkan. Susah?! Errr... kita kecilkan skop kita.

Kita tengok bapa kita. Bertanggungjawab pada isteri (jika seorang) dan lima orang anak.

1. Berapa pendapatan dan perbelanjaan - abah yang fikirkan. Dulu ketika kecil, kita tahu minta sahaja.
Bah! Nak tambang bas.
Bah! Nak duit beli buku sekolah.
Bah! Nak yuran tuisyen.
Senarai akan bertambah panjang hinggalah Abah! Adik Nak Kahwin... (sekadar menyebut novel terkini Alaf 21- Penulis : Aireen Erina)

2. Mutu kehidupan - abah yang fikirkan. Tinggi, sederhana atau rendah.
Jika tinggi - Tentu Butik LV jadi pilihan.
Jika Sederhana - Mungkinkah Bonia? Bata?
Jika Rendah - Pasar malam? Mungkin ini hanya persepsi.
Itu baru pakaian. Pendidikan, keselamatan, keselesaan dan lain-lain bagaimana?

Anak-anak hanya tahu komplen atau membanding.
"Abah, kawan saya pakai baju jenama 'canggih' ke sekolah... Baru! Kenapa saya kena pakai kakak punya baju yang tahun lepas," adu si anak.
"Abah, kawan kita balik kampung naik kereta baru... kenapa kita kena tumpang kereta pak su?" soal si anak yang lain.
Apa lagi? Semua pun kita komplen.

Yang kita tak tahu:
Bajet tuisyen bulan ini, abah pinjam dari atuk kerana kereta abah rosak dan spare partnya mahal - maklum kereta lama.
Abah dah hutang kat kedai runcit dalam RM300.00 sebab kakak nak masuk matrikulasi dan sikit sebanyak nak pakai duit. Yuran itu dan ini...
Abah dah hutang kat bank sebab Abang 1 nak kahwin lebih cepat dari tarikh asal sebab nak sambung belajar keluar negara. Abang 1 nak bawa isteri sekali!
Abah terpaksa tebal muka kat atuk sebelah mak yang ajak buat umrah sama-sama. Abah terpaksa tolak sebab bajet itu abah nak guna untuk cover majlis kahwin Abang 2.
(Abang 1 & Abang 2 tu kembar dan mereka berkeras nak kahwin bersaing!)

Apa lagi?
Dan kita selalu fikir, jika kita jadi abah, kita boleh buat yang lebih baik dari Abah. Kita pertikaikan macam-macam. Tapi, bila keputusan peperiksaan dapat kurang cemerlang, kita tak malu pula. Masih mampu nak angkat muka di meja makan. Malah, terkadang mengamuk bila abah tegur pencapaian yang entah apa-apa.

Kasihan abah! Kasihan...
Lebih kasihan lagi, jika kita terus komplen dan komplen hingga jadi budaya. Budaya yang memualkan kerana ramai orang yang berjaya di dunia ini bermula dari bawah. Bukannya anak 'somebody' atau kenal 'somebody' pun. 

Lebih kasihan lagi, jika kita mula berani mengatakan kita lebih Islam dari abah. Kenapa? Hanya sekadar kita baru berjaya ke masjid tiga empat malam. Abah dulu tak pernah pergi masjid. Solat di rumah sahaja...
Hanya kerana anak kita dah berjaya masuk sekolah agama berasrama penuh atau sekolah pondok swasta yang mahal yurannya. Ah! Abah dulu hantar kita ke sekolah biasa sahaja...

Sampainya hati kita. Ruang dan peluang itu kita perbanding-bandingkan dari satu generasi ke satu generasi sedangkan pada waktu keputusan itu abah ambil, itu yang terbaik untuk seluruh ahli keluarganya, termasuk kita.
Saidina Ali mengajar kita cara mendidik anak yang berbeza mengikut umur. Ya! Kerana tahap keupayaan minda yang berubah. Namun, jika kita fikir selangkah ke hadapan, itu juga bermaksud, keputusan pada sesuatu masa itu akan berbeza jika masanya berbeza kerana asas untuk membuat keputusan itu pasti berbeza. Tidak mungkin 100% sama.

Moralnya, seseorang yang cerdik pandai pernah menasihati saya;


A good leader was a good follower. Insya-ALLAH!
Saya kembangkan di sini:
Pengikut yang baik akan jadi pemimpin yang baik. Insya-ALLAH!
Anak yang baik akan jadi ibubapa yang baik. Insya-ALLAH!
Murid yang baik akan jadi guru yang baik. Insya-ALLAH!
dan seterusnya...
Tak perlu kita pertikaikan apa yang telah berlaku.
Jika kita dizalimi pemimpin, angkat tangan dan berdoa perkara yang baik-baik.
Jika pemimpin silap, kita tegurkan dengan berhikmah.
Jika pemimpin buat keputusan, kita patuh sebaiknya kerana, ALLAH telah pilih dia untuk jadi pemimpin kita dan selagi dia tidak menghalang kita melakukan peribadatan, kita wajib menyokongnya.
Apatah lagi, jika pemimpin itulah yang beria-ia menegakkan Islam. Biar bersederhana asalkan istiqamah!

Benar kita kata, ah! Itu memang tanggungjawab pemimpin! Bina masjid memang tanggungjawab pemimpin. Baiki jalanraya memang tanggungjawab pemimpin. Tetapi, ada juga pemimpin yang memilih untuk tidak membina masjid. Atau buat buta dengan jalanraya yang rosak.

Benar kita boleh kata, ah! masjid banyak pun bukan 24 jam orang datang bersolat. Soalannya, siapakah 'orang' itu? Bukankah 'orang' itu adalah kita?

Malangnya... pemimpin juga yang kita pertikaikan.
Pemimpin yang adil, termasuk dalam golongan hamba yang doanya ALLAH makbulkan. Kenapa? Mungkin golongan pemimpin lebih terdedah untuk menjadi golongan yang dizalimi.
Jika pemimpin marah pekerja, hanya seorang pekerja sahaja yang kena marah.
Jika pemimpin dikutuk pekerja, ramai-ramai pekerja kutuk seorang pemimpin. Bukan setakat pekerja, suami atau isteri pekerja pun tukang tumpang semangkuk. Walhal, kita tak boleh pun meyakinkan diri kita 100% yang kita layak mengutuk dia.
Kita kata siapalah pemimpin tanpa pekerja. Ironinya, siapa akan jadi pekerja, jika tiada pemimpin. Kita akan jadi orang yang bersepah-sepah tanpa penyatuan!

Sedar-sedar, kita hilang semua...
Sedar-sedar, kita hilang abah... Abah dah pulang ke Rahmatullah!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
 

Comments (0)