Suami memberikan saya kebenaran untuk ber'facebook'. Saya mula jadi 'minah facebook'. Sikit-sikit facebook. Sikit-sikit facebook. Apa yang saya buat?
 
Mula-mula saya suka add friend. Pantang yang nak add saya, saya terima - perempuan sahaja ya. Saya pun mula menawarkan diri jadi friend orang lain - juga perempuan sahaja ya...
 
Lepas itu, saya mula 'gian' baca post dan komen orang. Semuanya saya baca dengan teliti.
 
Kemudian, saya mula 'gian' like post orang. Habis semua yang saya suka, saya like!
 
Post saya? Sesekali sekala sahaja... Mmm, bab ini saya kena fikir panjang.
 
Yang terakhir, saya suka share post orang. Pantang ada yang bagus dan terkini, saya share dan share dan share.
 
Itu saya sahaja yang saya tahu buat. Tag? Saya masih tak pandai...
 
Apabila suami sudah jeling-jeling sayang, saya faham. Saya terlebih sudah!!!
 
Maka saya letakkan undang-undang:
i) Baca yang manfaat sahaja.
ii) Share bagi sumber yang sahih sahaja.
iii) Berkawan dengan semua, tapi tak perlu komen semua atau tak perlu baca komen semua orang bagi setiap post...
iv) Saya juga telah memilih Page yang bermanfaat untuk saya like. Hiburan? Saya pilih Dato' Siti dan Yuna. Itu sudah cukup. Pernah ter 'like' page seorang pelakon wanita, terpaksa saya 'unlike' balik bila dia kerap upload gambar yang saya tak rasa saya perlu pandang! 
 
Satu saya belajar, rakan-rakan facebook saya telah saya kategorikan:
i) kaki baca novel - Ini yang paling meriah. :-)
ii) kaki tukar gambar profile - Selagi gambar menutup aurat, saya 'like' aje.
iii) kaki share post - Ini ada profile khusus - post tentang novel terkini, motivasi, resepi, fesyen, aktiviti dan lain-lain lagi.
iv) kaki tukar status - Ini buat saya pening.
v) kaki update status - Ini okey kerana saya tahu apa aktiviti mereka...
 
Biarpun mereka tidak menyatakannya di mana-mana, saya boleh jangka apa yang rakan-rakan saya suka. Ada yang suka kucing, suka memasak, suka berjalan-jalan. Ada yang balik kampung semasa cuti sekolah yang lepas, ada yang pergi bercuti dan ada juga yang mengecat rumah.
 
Saya juga boleh menjangka mereka kerja apa, biarpun tiada status yang dinyatakan dengan jelas - surirumah, guru, pengetua, pensyarah, ahli farmasi, penulis, pegawai PLUS, anggota polis, usahawan, pereka fesyen, editor (yang ini tak boleh tertinggal), eksekutif syarikat, pelajar kolej, pelajar sekolah menengah... banyak juga!
 
Apa-apa hal pun, saya gembira, saya ada beberapa kenalan rapat yang selalu saling PM. Saya juga sedang CUBA menghadkan kelekaan saya membelek facebook. Apa yang saya belek?
Tentulah post kawan-kawan saya... Terutama kini apabila negara panas dengan isu Lahad Datu dan Pilihanraya. Macam-macam fakta yang perlu saya ambil kira kerana Malaysia negara saya dan Sabah adalah salah sebuah negerinya. Undi saya juga cukup berharga. PBAKL yang semakin dekat turut memeriahkan golongan kaki novel...
 
Tapi, terdetik juga hati ini dengan rasa bersalah, rakan di facebook demam, saya tahu lebih awal dari khabaran Auntie berbangsa Cina yang tinggal di rumah sebelah. Apa dah jadi?
 
Kalau saya cakap pada suami, mesti dia jawab dengan senyum simpul, Ha! Berfacebook lagi...
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

p/s: Happy Birthday HUBBY! Terima kasih beri izin Iza berfacebook...

Comments (0)