PRU 13 makin hampir. Mungkinkah pertukaran pemimpin akan berlaku? ALLAH sahaja yang tahu. Nasihat saya buat diri sendiri dan teman-teman, kita solat Istikharah ya. Undi penting untuk Islam. Undi penting untuk kita.

Pemimpin?
Mmmm.... Mengenangkan semula pengalaman mengendalikan 75 orang staf buat saya terpejam-pejam mata mengenangkan kisah semalam.
Tentu, dalam hari-hari berlalu bagai nak pecah kepala memikirkan bahtera yang dikemudi. Terkadang bos ingin ke kanan, saya pula fikir ke kiri lebih bagus mengenangkan keupayaan staf yang sedikit sebanyak saya lebih tahu kuat lemahnya. Puas memberi keyakinan pada bos, akhirnya bos menerima hakikat bahtera patut ke kiri.
Bila pulang ke bahtera sendiri, staf yang bertanggungjawab pula gagal menjalankan tugas itu. Argh! Tuhan sahaja yang tahu.
 
Pengalaman buat saya menjadi ketua yang detail. Detail dalam memberi arahan dari awal sampai akhir. Kenapa? Kerana bila bermasalah, saya akan berani mengatakan pada diri, itu salah saya! Sesuatu yang amat payah sebenarnya. Saya jamin, untuk sesiapa sahaja. Terutama dalam hal yang telah kita fikirkan siang dan malam.

Itu baru kisah 75 orang. Bagaimana untuk 29 juta orang? Tentu pening!

Bila kita menilai pemimpin, kita lupa yang dia ada 29 juta kepala yang hendak difikirkan. Susah?! Errr... kita kecilkan skop kita.

Kita tengok bapa kita. Bertanggungjawab pada isteri (jika seorang) dan lima orang anak.

1. Berapa pendapatan dan perbelanjaan - abah yang fikirkan. Dulu ketika kecil, kita tahu minta sahaja.
Bah! Nak tambang bas.
Bah! Nak duit beli buku sekolah.
Bah! Nak yuran tuisyen.
Senarai akan bertambah panjang hinggalah Abah! Adik Nak Kahwin... (sekadar menyebut novel terkini Alaf 21- Penulis : Aireen Erina)

2. Mutu kehidupan - abah yang fikirkan. Tinggi, sederhana atau rendah.
Jika tinggi - Tentu Butik LV jadi pilihan.
Jika Sederhana - Mungkinkah Bonia? Bata?
Jika Rendah - Pasar malam? Mungkin ini hanya persepsi.
Itu baru pakaian. Pendidikan, keselamatan, keselesaan dan lain-lain bagaimana?

Anak-anak hanya tahu komplen atau membanding.
"Abah, kawan saya pakai baju jenama 'canggih' ke sekolah... Baru! Kenapa saya kena pakai kakak punya baju yang tahun lepas," adu si anak.
"Abah, kawan kita balik kampung naik kereta baru... kenapa kita kena tumpang kereta pak su?" soal si anak yang lain.
Apa lagi? Semua pun kita komplen.

Yang kita tak tahu:
Bajet tuisyen bulan ini, abah pinjam dari atuk kerana kereta abah rosak dan spare partnya mahal - maklum kereta lama.
Abah dah hutang kat kedai runcit dalam RM300.00 sebab kakak nak masuk matrikulasi dan sikit sebanyak nak pakai duit. Yuran itu dan ini...
Abah dah hutang kat bank sebab Abang 1 nak kahwin lebih cepat dari tarikh asal sebab nak sambung belajar keluar negara. Abang 1 nak bawa isteri sekali!
Abah terpaksa tebal muka kat atuk sebelah mak yang ajak buat umrah sama-sama. Abah terpaksa tolak sebab bajet itu abah nak guna untuk cover majlis kahwin Abang 2.
(Abang 1 & Abang 2 tu kembar dan mereka berkeras nak kahwin bersaing!)

Apa lagi?
Dan kita selalu fikir, jika kita jadi abah, kita boleh buat yang lebih baik dari Abah. Kita pertikaikan macam-macam. Tapi, bila keputusan peperiksaan dapat kurang cemerlang, kita tak malu pula. Masih mampu nak angkat muka di meja makan. Malah, terkadang mengamuk bila abah tegur pencapaian yang entah apa-apa.

Kasihan abah! Kasihan...
Lebih kasihan lagi, jika kita terus komplen dan komplen hingga jadi budaya. Budaya yang memualkan kerana ramai orang yang berjaya di dunia ini bermula dari bawah. Bukannya anak 'somebody' atau kenal 'somebody' pun. 

Lebih kasihan lagi, jika kita mula berani mengatakan kita lebih Islam dari abah. Kenapa? Hanya sekadar kita baru berjaya ke masjid tiga empat malam. Abah dulu tak pernah pergi masjid. Solat di rumah sahaja...
Hanya kerana anak kita dah berjaya masuk sekolah agama berasrama penuh atau sekolah pondok swasta yang mahal yurannya. Ah! Abah dulu hantar kita ke sekolah biasa sahaja...

Sampainya hati kita. Ruang dan peluang itu kita perbanding-bandingkan dari satu generasi ke satu generasi sedangkan pada waktu keputusan itu abah ambil, itu yang terbaik untuk seluruh ahli keluarganya, termasuk kita.
Saidina Ali mengajar kita cara mendidik anak yang berbeza mengikut umur. Ya! Kerana tahap keupayaan minda yang berubah. Namun, jika kita fikir selangkah ke hadapan, itu juga bermaksud, keputusan pada sesuatu masa itu akan berbeza jika masanya berbeza kerana asas untuk membuat keputusan itu pasti berbeza. Tidak mungkin 100% sama.

Moralnya, seseorang yang cerdik pandai pernah menasihati saya;


A good leader was a good follower. Insya-ALLAH!
Saya kembangkan di sini:
Pengikut yang baik akan jadi pemimpin yang baik. Insya-ALLAH!
Anak yang baik akan jadi ibubapa yang baik. Insya-ALLAH!
Murid yang baik akan jadi guru yang baik. Insya-ALLAH!
dan seterusnya...
Tak perlu kita pertikaikan apa yang telah berlaku.
Jika kita dizalimi pemimpin, angkat tangan dan berdoa perkara yang baik-baik.
Jika pemimpin silap, kita tegurkan dengan berhikmah.
Jika pemimpin buat keputusan, kita patuh sebaiknya kerana, ALLAH telah pilih dia untuk jadi pemimpin kita dan selagi dia tidak menghalang kita melakukan peribadatan, kita wajib menyokongnya.
Apatah lagi, jika pemimpin itulah yang beria-ia menegakkan Islam. Biar bersederhana asalkan istiqamah!

Benar kita kata, ah! Itu memang tanggungjawab pemimpin! Bina masjid memang tanggungjawab pemimpin. Baiki jalanraya memang tanggungjawab pemimpin. Tetapi, ada juga pemimpin yang memilih untuk tidak membina masjid. Atau buat buta dengan jalanraya yang rosak.

Benar kita boleh kata, ah! masjid banyak pun bukan 24 jam orang datang bersolat. Soalannya, siapakah 'orang' itu? Bukankah 'orang' itu adalah kita?

Malangnya... pemimpin juga yang kita pertikaikan.
Pemimpin yang adil, termasuk dalam golongan hamba yang doanya ALLAH makbulkan. Kenapa? Mungkin golongan pemimpin lebih terdedah untuk menjadi golongan yang dizalimi.
Jika pemimpin marah pekerja, hanya seorang pekerja sahaja yang kena marah.
Jika pemimpin dikutuk pekerja, ramai-ramai pekerja kutuk seorang pemimpin. Bukan setakat pekerja, suami atau isteri pekerja pun tukang tumpang semangkuk. Walhal, kita tak boleh pun meyakinkan diri kita 100% yang kita layak mengutuk dia.
Kita kata siapalah pemimpin tanpa pekerja. Ironinya, siapa akan jadi pekerja, jika tiada pemimpin. Kita akan jadi orang yang bersepah-sepah tanpa penyatuan!

Sedar-sedar, kita hilang semua...
Sedar-sedar, kita hilang abah... Abah dah pulang ke Rahmatullah!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
 
Kejutan yang paling menarik minggu ini dan buat saya bahagia hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi... 16 - 22 April 2013.




.
 
Terima kasih ALLAH!
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
 
p/s: Sayangnya catatan sejarah awal kelahirannya dulu tidak saya masukkan ke dalam blog ini.
Sebut pasal pilihanraya, ini isu sensitif sepanjang zaman bagi mereka yang fanatik. Saya? Saya seorang yang serius memikirkan hal ini kerana Malaysia negara saya. Tetapi, saya tidak fanatik.
Dulu, masa kecil, bila tiba musim berkempen, mama dan abah akan dijemput ke rumah-rumah 'orang' tertentu untuk mendengar penerangan. Saya? Kena tinggal. Ini hal orang dewasa, kata abah.
Cukup umur saya 18 tahun, abah minta nombor kad pengenalan. Nak daftar untuk parti X katanya. Saya rela...
Cukup 21 tahun, abah pastikan saya pulang untuk mengundi. Malam sebelumnya, pelbagai maklumat dari kempen diberitahu pada saya. Saya rela...
Hingga kini saya rela... namun, kaedah penyebaran maklumat kini makin pelbagai. Tak perlu mendengar nasihat abah, saya telah disogok dengan macam-macam cerita. Kadang-kadang tak sanggup nak pandang gambar yang di'upload'kan atau baca tulisan yang di 'post'kan. Hal perasaan, maruah dan nyawa jadi taruhan.
Tahun ini, kita kena tukar strategi untuk buat pilihan. Pandang dan dengar kata-kata manusia nampaknya seperti tak boleh pakai. Sesuatu yang berlaku sentiasa dipandang serong. Payah!
Maka, ada baiknya, kita solat istikharah banyak-banyak untuk meminta ALLAH tunjukkan, calon parti mana yang patut kita pangkah untuk Adun dan Parlimen masing-masing. Kemudian, kita solat hajat agar ALLAH beri kita pemimpin yang terbaik buat kita yang lemah ini.
Saya bersyukur Aidilfitri yang akan menjelma bulan Ogos nanti. Sekurang-kurangnya, dah sejuk sikit isu ini. Tidaklah ada yang mungkin berjumpa langsung terus tarik muka 14 inci! Rugi!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Teman-teman dijemput menghayati karya maya kedua saya, sebuah e-Novel bertajuk 'ILHAM CINTA' di paparan Pena Maya. Bab demi bab akan dipaparkan sebaik siap. Terima kasih.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Teman-teman dijemput menghayati karya maya pertama saya, sebuah cerpen bertajuk 'KISAH AKU & ATI' di paparan Pena Maya.
 
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Sempena memperingati kelahiran Jangan Lupakan Aku yang ke-3 bulan, suami saya menghadiahkan wajah blog yang baru buat saya. Lebih ringan dari dulu, lebih mudah dikendalikan dan ada macam-macam untuk saya dan anda tatap bersama. Mmmm... bahagianya.
Jemput-jemput menjenguk selalu, karya e-novel akan saya muat naik di Pena Maya pada Isnin hadapan, 22 April 2013. Insya-ALLAH!
Terima kasih, ALLAH!
Terima kasih, hubby!
Terima kasih, teman-teman!
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

p/s : Maaf ya hingga saat ini saya belum sempat memuatnaik e-novel itu. Tiba-tiba perlu menyiapkan tugasan yang lebih prioriti. Setentunya, pemberitahuan akan saya buat sebaik sahaja saya mampu melakukannya. 
- Iza Safiya, 23 April 2013, 1.02 petang -

p/s : Alhamdulillah! Saya telah memuatnaik Bab 1 Ilham Cinta. Sudi-sudikan.
- Iza Safiya, 24 April 2013, 5.38 petang -

Dalam diam Jangan Lupakan Aku telah berusia tiga bulan. Jika anak kecil, mmm... tentu baby saya dah mula nak memontelkan diri. Mula pandai tertawa mesra. Suka diagah dan diberi perhatian.
 
Alhamdulillah! Terima kasih ALLAH di atas kurniaan ini. Sesungguhnya, hikmah pemberianMU sedang kuteliti satu persatu.
Jatuh? Oh! Itu perkara biasa. Namun, bukan sahaja Zara yang berjanji dengan Adam/ Izacknya tetapi juga saya yang berjanji dengan suami dan Tuan Punya Dunia bahawa kehidupan ini akan dilalui dengan sebaik-baiknya.
Lebih baik hari ini dari semalam...
Lebih baik berubah sekarang dari nanti...
 
Akhir tahun ini, saya berusia 40 tahun, tentunya saya mahu menjadikan diri saya seseorang yang saya inginkan.
 
JANGAN LUPAKAN AKU!
Ke kedai buku manapun akan kutatap kamu
Masih teringat bahagianya jari jemari ini menari di atas papan kekunci
Terasa diri bebas dari segala himpitan
Yang kerap buat si air mata mengalir
 
Aku tahu kau ada jiwamu sendiri
Terkadang kau merajuk denganku
Aku lupa janji ya?!
Bila aku ingati kamu
Tentu kita bicara semula
Tentang dunia kita
Tentang cerita kita
Yang amat banyak bezanya...
 
Terima kasih buat semua yang sudi bersama saya dari titik mula Jangan Lupakan Aku hingga kini. Semoga perjalanan hidup ini semakin menarik dengan warna-warna air mata dan pekatnya dakwat yang menulis cerita. Terima kasih, ALLAH!
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya 
 
Dia... Di Mata Saya!

Dia antara yang termanja pernah saya jumpa
Orangnya sederhana
Tidak terlalu kacak
Tidak juga terlalu bergaya
Di mata saya dialah raja

Jika berjauhan rindu nak gila
Bila bertemu kerap malu-malu
Bila tertawa, terserlah gigi taringnya
Bila marah, mmm... saya kenyit aje...

Cukup suka membelek ipad atau Blackberry
Buat cemburu bertakhta di hati
Hendak disorok tak patut pula
Bimbang tugasnya terus tergendala

Sekiranya cinta terbahagi dua
Kedua-duanya akan kuserah pada mu
Buat peneman hingga ke akhir hayat kita
Semoga tiada rasa jemu
Semoga jauh dari rasa curiga
Semoga apa yang kita buat, semuanya dapat pahala.

Selamat Hari Lahir, Sayang!

Bertambah satu umur abang
Semoga abang bertambah sayang
Pada semua keluarga kita
Tidak kira di mana kita berada

Moga tercapai segala impian
Moga tertunai segala janji
Moga lulus segala ujian
Moga usaha mendapat keberkatan

Cinta kita cinta setia
Cinta kita hingga ke mati
Satu, abang jangan lupa...
Aku cintakan kamu... infiniti!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Suami memberikan saya kebenaran untuk ber'facebook'. Saya mula jadi 'minah facebook'. Sikit-sikit facebook. Sikit-sikit facebook. Apa yang saya buat?
 
Mula-mula saya suka add friend. Pantang yang nak add saya, saya terima - perempuan sahaja ya. Saya pun mula menawarkan diri jadi friend orang lain - juga perempuan sahaja ya...
 
Lepas itu, saya mula 'gian' baca post dan komen orang. Semuanya saya baca dengan teliti.
 
Kemudian, saya mula 'gian' like post orang. Habis semua yang saya suka, saya like!
 
Post saya? Sesekali sekala sahaja... Mmm, bab ini saya kena fikir panjang.
 
Yang terakhir, saya suka share post orang. Pantang ada yang bagus dan terkini, saya share dan share dan share.
 
Itu saya sahaja yang saya tahu buat. Tag? Saya masih tak pandai...
 
Apabila suami sudah jeling-jeling sayang, saya faham. Saya terlebih sudah!!!
 
Maka saya letakkan undang-undang:
i) Baca yang manfaat sahaja.
ii) Share bagi sumber yang sahih sahaja.
iii) Berkawan dengan semua, tapi tak perlu komen semua atau tak perlu baca komen semua orang bagi setiap post...
iv) Saya juga telah memilih Page yang bermanfaat untuk saya like. Hiburan? Saya pilih Dato' Siti dan Yuna. Itu sudah cukup. Pernah ter 'like' page seorang pelakon wanita, terpaksa saya 'unlike' balik bila dia kerap upload gambar yang saya tak rasa saya perlu pandang! 
 
Satu saya belajar, rakan-rakan facebook saya telah saya kategorikan:
i) kaki baca novel - Ini yang paling meriah. :-)
ii) kaki tukar gambar profile - Selagi gambar menutup aurat, saya 'like' aje.
iii) kaki share post - Ini ada profile khusus - post tentang novel terkini, motivasi, resepi, fesyen, aktiviti dan lain-lain lagi.
iv) kaki tukar status - Ini buat saya pening.
v) kaki update status - Ini okey kerana saya tahu apa aktiviti mereka...
 
Biarpun mereka tidak menyatakannya di mana-mana, saya boleh jangka apa yang rakan-rakan saya suka. Ada yang suka kucing, suka memasak, suka berjalan-jalan. Ada yang balik kampung semasa cuti sekolah yang lepas, ada yang pergi bercuti dan ada juga yang mengecat rumah.
 
Saya juga boleh menjangka mereka kerja apa, biarpun tiada status yang dinyatakan dengan jelas - surirumah, guru, pengetua, pensyarah, ahli farmasi, penulis, pegawai PLUS, anggota polis, usahawan, pereka fesyen, editor (yang ini tak boleh tertinggal), eksekutif syarikat, pelajar kolej, pelajar sekolah menengah... banyak juga!
 
Apa-apa hal pun, saya gembira, saya ada beberapa kenalan rapat yang selalu saling PM. Saya juga sedang CUBA menghadkan kelekaan saya membelek facebook. Apa yang saya belek?
Tentulah post kawan-kawan saya... Terutama kini apabila negara panas dengan isu Lahad Datu dan Pilihanraya. Macam-macam fakta yang perlu saya ambil kira kerana Malaysia negara saya dan Sabah adalah salah sebuah negerinya. Undi saya juga cukup berharga. PBAKL yang semakin dekat turut memeriahkan golongan kaki novel...
 
Tapi, terdetik juga hati ini dengan rasa bersalah, rakan di facebook demam, saya tahu lebih awal dari khabaran Auntie berbangsa Cina yang tinggal di rumah sebelah. Apa dah jadi?
 
Kalau saya cakap pada suami, mesti dia jawab dengan senyum simpul, Ha! Berfacebook lagi...
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

p/s: Happy Birthday HUBBY! Terima kasih beri izin Iza berfacebook...
Hari ini Cintaku Tanpa Prejudis sudah siap saya tuliskan. Seperti biasa, saya akan termenung memikirkan manfaat yang akan saya kongsikan dengan teman pembaca. Ada atau tidak? Baik atau tidak?
Jangan Lupakan Aku mengajar saya tentang banyak perkara. Ianya juga mengingatkan saya tentang banyak perkara yang saya lupa. Salah satunya adalah 'saya hanya manusia biasa. Saya tidak mungkin mampu memuaskan hati orang, malahan hati saya sendiri terpaksa ditolak tepi dalam mempermudahkan pelbagai urusan'.
Mengukur jatuh bangunnya hidup ini berdasarkan apa? Berapa RM di dalam bank? Senyuman orang sekeliling? Bilangan rakaat solat sunat yang dikerjakan? Bilangan Ayat Suci Al-Quran yang dibaca? Atau apa?
Akhirnya, kita terpaksa memilih jalan tengah. Yang terbaik dari pilihan yang kurang baik. Jika pilihan yang ada adalah baik-baik belaka, maka kita akan pilih sesuatu yang paling banyak memberi hikmah untuk semua. Rupanya, di dalam kehidupan ini, banyak pilihan yang kita sudah buat. Semakin banyak membuat pilihan yang betul, insya-ALLAH hidup akan mudah dan tidak banyak masalah. Semakin banyak pilihan yang salah, semakin berseliratlah hidup dengan permasalahan yang timbul.
Pilihan juga satu dugaan. Kesan pada pilihan itu juga dugaan. Oh! Biarlah otak ini jelas yang hidup ini penuh dengan pilihan. Pilihan perlu dipilih tanpa prejudis! Kerana pilihan itu adalah dugaan.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya