Di dalam Istana Cinta saya, ada sebuah ruang kami namakan Forget Me Not. Mungkin mereka yang dengar, tertanya-tanya, itu bilik apa dan kenapa namanya Forget Me Not? Hampir dua tahun dulu, kami melantik seorang Interior Designer untuk membuat pengubahsuaian di rumah kami. Bila pilih cat, untuk bilik itu, Suami beri kebebasan pada saya. Kami dah pilih yang lain bersama-sama, bilik itu, saya pilih warna purple pastel. Suami pun tak sangka, itu pilhan saya... Nama warna itu di dalam katalog adalah Forget Me Not! Jadi, bilik itu, kami namakan bilik Forget Me Not. Ia sebenarnya bilik tetamu. Jika ada adik beradik dari jauh yang datang bertandang, di situlah mereka akan melepaskan lelah. ALHAMDULILLAH! Abah saya sendiri dah merasainya. Insya-ALLAH! Kami tak lupa semua yang pernah datang.
 
Forget Me Not bermakna Jangan Lupakan Aku.
 
Buat Lis,
Ini mungkin kerja biasa mu...
Namun bagi aku, ia satu transformasi
Ini mungkin tugas biasa mu
Namun bagi aku, ia satu sejarah
 
Idea kita mungkin berbeza...
Harapan kita mungkin tak sama...
Hakikatnya ada satu yang sama
Jangan Lupakan Aku... sejarah tercipta.
Buat kau dan aku
Tercatatnya namaku dan namamu
Dalam satu naskhah yang sama
Maka, nikmat ALLAH mana satukah yang mahu kita dustakan?
 
ALHAMDULILLAH! ALLAH memilihkan yang terbaik buat saya. Semoga menjadi manfaat semua yang terlibat, dulu, kini dan Insya-ALLAH, selamanya!
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Entah mengapa, di dalam kesesakan jalanraya, saya terfikir tentang hantu di filem Tempatan. Saya yang bukan jenis kaki wayang, mengkelaskan hantu-hantu di Malaysia kepada tiga (3) kumpulan.
 
i) Hantu Alim - saya tak teringat pula contohnya. Tetapi, mana-mana hantu yang pakai telekong tu, hantu Alimlah kan!
ii) Hantu Cantik - contoh Hantu Mariam dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Mmmm... memang cantik!
ii) Hantu Hodoh - Ini yang banyak. Yang paling popular tentulah, Hantu Kak Limah Balik Kampung....
 
Tiba-tiba, Suami kata... Hantu Hollywood lagi canggih... putih melepak dengan kulit bersinar bagai berlian bila terkena cahaya mentari. Itu adalah hantu siri Twilight... Jika Suhaimi Baba berminat nak sambung Pontianak Harum Sundal Malam, minta juru mekap tu kilatkan sikit muka Maya Karin... Manalah tahu, kita boleh jual filem kita ke Hollywood lepas tu. Sebab, barulah orang tahu Pontianak di Malaysia, Maya Karin, rupanya 'sepupu' dengan Kristen Steward. Canggihkan!
 
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
ALHAMDULILLAH! Malaysia menang 4-1. Hingga ke bunyi wisel penamat saya dan suami duduk terpaku di hadapan TV. Seronoknya... ALLAH sahaja yang tahu. Kami senyum memanjang harapnya sampai masuk ke dalam mimpi.
 
Sebelum permainan, saya minta suami saya hipnosis Harimau Malaya dengan memenangi semua gamenya di DreamLeague Soccer di iPadnya. Saya kata, "Jika Ayang menang semua game di alam maya, INSYA-ALLAH, Harimau Malaya menang di stadium sebenar." ALHAMDULILLAH! ALLAH beri izin.
 
Senarai tiga (3) pemain terbaik pilihan kami:
 
i) Wan Zack Haikal
ii) Kunalan
iii) Safee Sali
 
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pilihan ketiga kami, ini rasionalnya.
i) Safee Sali buat goalkeeper Laos penat. Letih menahan serangan biarpun asyik tersasar... dalam 7 hingga 9 peluang tersasar oleh pemain nombor 10 ini. Dengan lariannya yang mantap, saya percaya goalkeeper Laos sakit dada melihat kelibatnya.
ii) Attitudenya membuktikan, usaha hingga jaya. Serang selagi masa belum tamat dan tidak mengalah.
iii)Safee Sali juga sering menjadi focal point goalkeeper. Ia memberi ruang pada pemain lain membuat tindakan. Malahan, ketika gol yang ketiga oleh Wan Zack Haikal, Safee Sali terjatuh di hadapan gol kerana berlaga dengan pertahanan Laos, itu menganggu fokus goalkeeper Laos, walau hanya sesaat.
 
Cukup tentang yang terbaik dan yang best. Perjalanan masih jauh! Ada beberapa perkara lagi boleh dibaiki. Again, saya bukan pakar strategi bola sepak. Saya sekadar seorang pemain bola jaring. Perkara yang saya ingin timbulkan adalah sikap mudah terkagum pada pihak lawan!
 
Jika bola di kaki pihak lawan, terutama jika pemain itu pandai menggelecek, pemain negara kita mudah terkagum. Kita hilang fokus di situ. Kita biarkan pemain lawan membawa bola melepasi bahagian tengah turun ke bawah hingga ke pertahanan lalu sampai ke gol. Saya gembira, melihat gandingan Aidil dan Fazlisas yang semakin baik, tapi bila bola merapati pintu gol, bukankah itu bermakna risiko kita semakin meningkat?
 
Jika dilihat pasukan Laos, mereka over confident mungkin. Maklumlah, pasukan belasahan dua tahun lalu, tiba-tiba seri dengan Indonesia, pada masa yang sama, Malaysia pula kalah kepada Singapura 0-3. Tidak mustahil, mereka under estimate kita sebenarnya.
 
Doa saya, ALLAH izinkan kita memenangi perlawanan yang seterusnya. Semangat anak muda Malaysia perlu disemarakkan. Semoga, pertandingan ini menjadi asbabnya. Maka malam ini, wajar bagi kita bersujud Syukur! Kehebatan malam ini anugerah ALLAH!
 
Terima kasih, Harimau Malaya!
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
 
p/s: Hari ini, hari lahir kakak ipar saya, Kak Ju dan anak saudara saya, Imran Rushdi. Selamat hari lahir!!!  

Hati diselubungi rasa kecut melihat cara Harimau Malaya bermain. Oh! 0-3 melawan Singapura. Sedih tak terkata... Dalam hal menyokong mana-mana pertandingan sukan, saya lebih responsif berbanding suami. Saya mudah memberi komen, bersorak dan merasa panik seolah-olah saya salah seorang dari pemain. Suami saya lebih cool... Namun, dalam diam dia, saya terkejut apabila dia:

1. Menukar nama pasukannya di dalam game bola di iPad. Dari Nelayan Dream Team menjadi Harimau Malaya.
2. Suami pulun bermain game hingga tamat satu musim. Ya! Harimau Malaya juara!!!
 
Apabila dua tindakan di atas dilakukannya, saya tahu, seperti saya, dia juga kecewa. Dua perkara di atas adalah sesuatu yang dilakukannya untuk mengubat hati yang terluka.
 
Untuk membahaskan mengapa Harimau Malaya kalah dari segi strategi, bukanlah saya orang yang selayaknya. Saya hanyalah peminat bola sepak yang bermain bola jaring!
 
Satu yang saya tidak rasa ketika menonton permainan itu, 'Aura Perkasa Harimau Malaya' itu tiada... Mungkin ada yang kata, "Cik Kak! Awak tengok depan TV mana nak rasa aura..."
Ingin saya tegaskan, kita boleh merasakannya, jika aura itu ada...
 
Seperti dua tahun dulu ketika Malaysia melawan Indonesia untuk merebut piala yang sama... Saya boleh rasa 'Aura Perkasa Harimau Malaya'. Gerakan Safee Sali amat garang bagai harimau yang mengejar mangsa... Bagai terimiginasi di dalam minda, tanah Pak Soekarno bergegar dengan langkahannya. Kita yang menonton rasa teruja!
 
Jika peristiwa itu telah kita lupa, saya ingin mengimbas ketika Zulhasni Awang berjerih memecut semasa bertanding di Olimpik London bulan Ogos lepas ketika pusingan akhir Acara Keirin (jika tidak silap). 'Aura Perwira seorang Penunggang Basikal' boleh kita rasakan! Dia tewas, tapi, kita yang menonton merasa amat puas!
 
Kembali pada malam kejadian 25 November 2012, apa yang saya rasa hanyalah jiwa yang kecut dan tali perut yang terjerut. Mujur, Suami bisa memujuk, dengan pencapaiannya yang amat saya banggakan. Harimau Malaya Juara, cukup sekadar di alam maya!. Di bawah adalah buktinya:
 

Semoga ALLAH izinkan Harimau Malaya kembali bernyawa...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Saya tidak percaya yang saya akan sayangkan dia sehebat ini. Kami berlainan ibu dan bapa. Kami berlainan generasi. Apa hubungan saya dan dia? Dia anak saya tapi saya bukan ibu kandungnya.
 
Sungguh Saya Sayangkan Dia...
 
Kecilnya dulu dia manja... Mmm... Dia suka coklat Cadbury. Mama dia beri dia makan dua atau tiga atau lebih sikit. Dia akan buka pembalutnya dengan jarinya yang mungil buat saya geram, rasa nak gigit... Oh! Dia pernah kena gigit di nursery. Mungkin sebab dia putih melepak dan gebu...
 
Kecilnya dulu dia bijak... Mmm... Dia mewarisi kebijaksanaan Mama dan Abahnya.
 
Kecilnya dulu dia aktif... Mmm... Berilah dia permainan apa sahaja, dia akan main sepuas-puasnya... hingga saya tidak mengerti bila dia rasa penat... Dialah satu-satunya anak kecil yang menasihatkan saya, pada waktu itu umurnya lima tahun...
 
"Cikgu, bawa kereta baik-baik! Pegang kunci rumah baik-baik. Jangan sampai jatuh! Nak lintas jalan tengok kiri kanan..." Ketika itu, saya mahu pulang selepas menziarahi dia dan keluarganya. Saya ketawa bahagia di tepi jalan pada waktu itu. Bahagia dinasihatinya demikian sekali. Terasa diri amat disayangi.
 
Kini dia sudah dewasa. Ya! Umurnya sudah sebelas tahun. Sudah pandai malu. Masih manja, aktif dan tentu sekali amat bijak. Tapi sudah malu. Saya pula yang kadang-kadang hilang malu. Saya masih mahu memeluknya dan menciuminya. Sepuas-puasnya hingga melekat semua baunya pada hidung saya.
 
Akhir minggu lepas, saya bertemunya. Saya katakan, "Cikgu minta maaf sebab Cikgu masih mahu peluk dan cium kamu. Cikgu tahu kamu tidak gembira sebab kamu fikir kamu sudah dewasa. Tapi dalam hati Cikgu, kamulah insan yang paling cute dan comel dan Cikgu masih gagal membuang ingatan itu. Ini mungkin pelukan dan ciuman kali yang terakhir. sampai masanya, Cikgu tidak akan memeluk atau mencium kamu lagi. Cikgu terpaksa wakilkan Mama dan Abah kamu untuk melakukannya bagi pihak Cikgu... Walaupun itu sebenarnya yang paling Cikgu ingini untuk lakukan sendiri..."
 
Dia mengeraskan badannya ketika saya memeluk dia dan menciumi dia. Dia mungkin sudah tidak rela. Dan saya tidak boleh lagi memaksa. Hari ini, takdir ALLAH, saya memikirkan dia. Saya terima hakikat, itu mungkin pelukan dan ciuman yang terakhir dari saya untuk dia... Sungguh, saya sayangkan dia dan saya doakan dia bahagia dan berjaya di dalam kehidupannya... Ya! Dia sudah dewasa... Memang manja, aktif dan bijak, macam yang saya suka. cuma, dia sudah dewasa...
 
Saat Pena di Genggaman,
Iza Safiya
 
p/s: Sekadar satu coretan. Kebanyakan watak anak manja dan bijak, saya dedikasikan buat dia... Irfan Helmi dalam Ilham Cinta, Delmira Aisya dalam Ijtihad Cinta, Baby Sarah dan Haikal dalam Istana Cinta. Jika saya yang bukan mamanya, amat sayangkan dia, saya yakin Mama dan Abahnya pasti sayangkan dia lebih lagi. Sampai nak pecah dada! 
Mmm... Kita mesti letak target sebab dah tahun baru... Tahun ini saya mahu jadi hamba ALLAH yang lebih baik hubungannya dengan ALLAH dan manusia. Saya mahu saya sayang ALLAH lebih lagi dan saya mahu saya sayang diri saya dan hamba ALLAH lebih lagi.
 
Saya mahu pandang apa juga yang ALLAH beri pada saya adalah untuk saya kongsikan pada hamba ALLAH yang berhak. Saya mahu pandang jika saya gagal tentang sesuatu, saya redha yang saya belum berhak untuk mendapatkannya tetapi itu tidak bermaksud saya juga gagal untuk membantu insan lain mendapatkannya kerana mungkin mereka lebih berhak dari saya.
 
Mmm... banyak yang saya kena fikir untuk buat dengan cara yang paling berhikmah dan ikhlas. Apa yang lebih penting adalah istiqamah dan ikhlas.
 
Saat Pena di Genggaman,
Iza Safiya  
Wanita dan air mata? Mujur air mata itu percuma... Jika tidak, wanita tiada sahabat sejati. Siapa sahabat sejati wanita? Saya tanya diri saya semula... Air mata? Oh bukan... Pemilik air mata... iaitu ALLAH. Jika bersedih, menangislah sepenuh hati. Moga ALLAH dekat dengan kita. Tapi jangan lama-lama, hati yang terlalu lama berduka, ada syaitan di dalamnya.

Bila susah hati, ingat ALLAH... Jangan ingat manusia dulu. Ingat ALLAH dulu yang mencipta manusia. ALLAH akan pilihkan, manusia mana yang yang jadi asbab untuk kita merasa lega. Mungkin dengan kata-katanya, mungkin dengan sentuhan manjanya atau mungkin dengan doanya. Ada tiga orang yang menjadi pendengar setia pada masalah saya ketika bersedih, Suami, Mama dan Kakak...

Saya bersyukur, bila saya sedih sendirian, ALLAH selalu hantar samada salah seorang atau kesemuanya untuk bersama saya. Bahagianya saya...

Pada waktu sedih, saya menangis. Pada waktu bahagia, saya menangis. Mujur ALLAH beri air mata percuma... jika tidak, bankrap lah saya!

Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya
Setahun lebih saya menulis secara serius, sudah hampir ada empat buah novel campur dua (on the way). Pada 12 November 2012, saya terima berita baik. Salah sebuah novel saya dipertimbangkan untuk diterbitkan. Berita yang dengan izin ALLAH, saya mungkin akan mencatat sejarah buat diri saya dan keluarga... Bahagianya sampai menusuk kalbu, terasa ALLAH sangat sayang pada saya yang banyak kekurangan ini.
Satu malam tidak boleh tidur lena... Rasa bahagia itu disulami dengan sakitnya jantung saya... Saya rasa bahagia, tapi jantung saya sakit... Pelik! Rasa bahu mendapat bebanan. Bebanan untuk memastikan apa yang saya tulis bermanfaat. Saya tidak mahu ianya sia-sia.

Saya mahu, apa yang saya tulis mampu buat perubahan.
Tulisan Arenawati buat saya minat sastera, walhal saya pelajar sains yang gila nombor sejak kecil.
Tulisan Khadijah Hashim buat saya ingin jadi wanita tabah, sebagai mana Mazni dalam Novel Badai Semalam.
Tulisan Tuan A, saya tidak ingat siapa, buat saya sayang pada datuk saya, sebagaimana satu watak dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung, jika tidak silap.
Tulisan Sydney Sheldon buat saya gila membaca untuk memperbaiki Bahasa Inggeris saya. Ada berpuluh koleksinya dalam simpanan di rumah Mama.
Tulisan Prof Kamil buat saya ingin jadi hamba ALLAH yang baik... Ingin segera buat Haji...
Mmmm... Tulisan saya akan buat apa? Saya soal pada diri saya... Tulisan saya mesti jujur dari hati... ikhlas untuk berkongsi cerita... semoga ALLAH izinkan saya mendapat manfaat, yang menerbitkannya boleh mendapat manfaat dan yang membacanya boleh mendapat. Ya ALLAH! Saya akur dengan jantung yang sakit dan bahu yang memberat... 

Ia ibarat ujian yang baru bermula. Saya harap, saya lulus ujian. Kerana saya minta dengan ALLAH, jika usaha ini bermanfaat untuk saya dan orang lain, izinkanlah berlaku. Jika tidak, sembuhkanlah hati saya dari kelukaan kegagalan.
Maka nikmat ALLAH yang mana satu yang saya mahu dustakan? Tidak!
 
Saya tidak akan berputus asa... Ingin lulus ujian dan akan terus berusaha... Usaha itu Mulia, cogankata Temenggong Ibrahim Girls School, Batu Pahat... kerana, jika usaha dengan cara yang betul, kita dapat pahala... Itu yang best!
 
Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya
Seorang yang saya kenal diserang kanser. Tahap 4! INNALILLAH! Sakit dada saya mendengarnya. Bukannya apa, setahu saya dia seorang yang sihat. Kali terakhir saya jumpa pertengahan tahun lepas. Dia sihat, santai dan okey... Apa yang tak kena?
 
Dulu masa di USM, saya ada buat sedikit pembacaan tentang kanser. Ini semua gara-gara Nenek Saudara saya diserang kanser, Abah saya keluar arahan pada saya. Jaga kesihatan! Mungkin kerana Nenek Saudara (kini sudah Arwah) diserang kanser payu dara, hanya saya yang menerima arahan itu, kerana saya anak perempuan tunggal. Mmmm...
 
Antara alasan yang saya ketahui (melalui pembacaan dulu), kanser disebabkan keturunan, terdedah pada asap rokok yang mengandungi karsinogen, pemakanan berlemak dan berminyak serta cara hidup yang tidak sihat.
 
Apa pilihan yang ada?
 
Saya pecahkan kepada dua:
 
i) Jika kita datang dari keturunan yang ada penyakit kanser - elakkan penyebab dua hingga empat. Itu akan accelerate sel kanser untuk hidup subur beranak pinak dalam badan.
 
ii) Jika kita datang dari keturunan yang tiada kanser -  elakkan penyebab dua hingga empat. Tak pasal-pasal, kita menambah bilangan manusia yang ada sel kanser dalam badan.
 
Moralnya, jauhi rokok, minimumkan makanan berlemak dan berminyak dan amalkan cara hidup sihat. Susah? Memang susah! Ini bukan kerja sendirian, ini kerja satu bangsa.
 
Sebabnya :
 
i) isteri yang berkurung dalam rumah pun mungkin akan terkena kanser jika ada ahli keluarga yang merokok.
ii) suami yang tidak merokok mungkin terkena kanser jika isteri hidangkan makanan berminyak selalu.
iii) anak yang tidak merokok dan makan makanan sihat setiap hari pun mungkin kena kanser jika asyik mendengar ibubapa bergaduh setiap hari. 
 
Dalam ketiga-tiga senario di atas, kita tunggulah hasilnya selepas 20 tahun lagi. Saya pasti, jika setiap anggota bangsa tidak berubah, bilangan pesakit kanser, apa juga jenis, pasti meningkat... Persoalannya, adakah itu termasuk kita?
 
Ironinya, kita ada sahaja alasan... 
- "Abang merokok nie... Asap yang masuk dalam dada Abang lagi banyak, Jah!" Itu alasan suami.
- "Kalau Jah tak masak kari, Abang dan anak-anak makan macam siput... Buat penat Jah masak aje..." Itu alasan isteri.
Paling kasihan, belum sempat anak-anak buka mulut, kita cantas dengan berkata, "Along diam! Jangan kurang ajar dengan mak bapak!" Kenapa? Sebab anak akan tanya, "Apa salah Along... kenapa Along yang kena kanser?"
 
Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya