Andainya Engkau Rindu
[Karya Buat Suami Tercinta]

Andainya engkau rindu
Engkau kena selalu mengingati saat kita bersama
Hangatnya malam dan dinginnya siang yang meringankan kepala
Setiap lebuhraya dan lorong kecil yang kita susuri
Bersama senda gurau dan tawa yang menyenangkan
Biar terkadang turunnya hujan air mata
Itu hanyalah aku yang suka meminta manja
Atau engkau yang ingin lebih dibelai mesra

Andainya engkau rindu
Hatimu mungkin akan gerhana, itulah jua hatiku
Gerhana hingga dunia kelam semata
Kita mesti usaha untuk hentikan segera! Rindu yang disusul dengan sabar pasti dapat pahala
Aku yakin itu, biarpun aku bukan Tuhan
Aku yakin itu, kerana ‘darah’ antara kau dan aku adalah ‘darah’ yang sama
Bergaul di dalam empangan yang sama di Istana Cinta Kita
Lalu ia mengalir bahagia menuju lautan milik ALLAH yang memiliki cinta
DariNYA, kita jangan malu meminta lagi
Berilah kami cinta! Berilah kami rindu!
Berilah kami juga rasa kuat untuk beristiqamah dalam cinta halal ini
Hingga ke detik akhir nyawa kami
Hingga ke Syurga akhirnya nanti

Andainya engkau rindu
Sebutlah namaNYA
Ada 99 namaNYA! Kau pilihlah satu yang engkau suka
Aku juga ada pilihanku, atau kita berkongsi pilihan yang sama
DIA yang memberi pinjam rasa rindu
DIA yang memberi pinjam rasa cinta
Semoga Rindu dan Cinta yang kita rasa mendekatkan diri kita kepadaNYA
Dan dengan IzinNYA, kau dan aku bersatu biar tanpa bertemu
Semua itu mampu untuk berlaku, pasti dengan izinNYA...


Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya
p/s: INSYA-ALLAH, ini catatan terakhir di dalam Ramadhan 1433H...



ISTANA CINTA kita adalah ikatan perkahwinan kita. Tak kira di mana kita tinggal, tak kira di mana kita berada atau siapa kita, ikatan perkahwinan kita adalah ISTANA CINTA kita... Dalam banyak-banyak perkara selain agama, nyawa dan keluarga, kita wajib pertahankan ISTANA CINTA kita... Jika kita berusaha, INSYA-ALLAH, ALLAH hadiahkan ISTANA CINTA yang Maha Hebat buat kita di Syurga nanti...

            - ELZA ZAHARAH -


Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya

p/s: ISTANA CINTA adalah sebuah novel motivasi cinta karya Iza Safiya.


ALLAH pilih kita untuk saksikan ini semua... ALHAMDULILLAH. Maka, nikmat ALLAH yang manakah yang kita mampu dustakan? Tiada... Dari sejauh-jauh penciptaan seperti bulan dan bintang hingga sedekat-dekat penciptaan seperti you dan Mir... Dari sebesar-besar penciptaan yang kita nampak seperti bumi dan seluas-luas laut di hadapan mata... hinggalah sehalus-halusnya perasaan di dalam hati yang kadang kala kita sendiri tak pasti...                                                                        

 - sufiyah hamdan -


Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya

p/s: IJTIHAD CINTA adalah sebuah novel motivasi cinta karya Iza Safiya.

CINTA... jika dimulakan dengan niat yang mulia dan dilakukan dengan cara yang mulia. Pada detik itulah, cinta akan mengilhamkan dan mengangkat Si Pencinta menjadi MULIA.

-Lia Zulaikha-

Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya

p/s: ILHAM CINTA adalah sebuah novel motivasi cinta karya Iza Safiya.

Aidilfitri lepas, saya membantu mengemas rumah Mama. Ada banyak benda yang saya suka klasifikasikan sebagai ‘barang penahan habuk!’. Setelah mendapat kebenaran, mana yang tidak berguna, Mama izinkan saya untuk buang. Punyalah sakan membuang barang hingga lupa diri dan salah satu yang saya buang adalah Buku Telefon Mama...
Memandangkan Mama saya adalah Guru Pencen, saya rasa bagai terhukum mendengar bebelannya hampir setiap kali saya menghubunginya. Walau diberi pelbagai alasan yang mudah hingga alasan yang kompleks untuk memujuk Mama, Mama tetap menganggap buku Telefon miliknya itu adalah penting. Sedangkan setahu saya, semua nombor di buku telefon Mama telah dimasukkan ke dalam contact list di telefon bimbitnya. Maka, apa yang dia takutkan... Saya tidak faham...
ALLAH beri saya faham ketika Ramadhan ini. Setelah hampir genap setahun ‘Perang Dingin Manja’ saya dan Mama bila dia menyebut isu Buku Telefon Mama. Apa yang berlaku? PDA HTC saya rosak dan itu berlaku dalam sesaat tanpa saya sangka! Semua nombor ada di dalam PDA HTC, termasuk nombor Mama! Memanglah ada yang tersimpan dalam SIM Card, tapi biasanya itu contact person yang sudah berkurun lamanya. Bagaimana dengan nombor telefon kenalan yang baru? Bos yang baru? Sahabat yang baru? Ah! Masalah... Baru saya ada akai!!!
Maka, Syawal ini, saya akan mengotakan janji saya pada Mama, mendapatkan balik nombor telefon semua saudara dan kenalan yang kami bakal jumpa semasa Aidilfitri nanti... Selepas itu selesai, ‘Perang Dingin Manja’ pasti berakhir. Yang tinggal adalah manja-manja seperti yang kami kongsi bersama sejak kami bersama... Tentunya, kini, saya juga memiliki Buku Telefon Anak Mama J
Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya

Untuk kekal dalam ibadat yang baru diamalkan, ada guru agama yang mencadangkan, kita amalkan selama 40 hari. INSYA-ALLAH, ibadah akan berterusan. Saya mencuba beberapa kali tetapi kerap ter’stuck’. Habis fikir sampai marah pada diri sendiri. Saya selalu ‘stuck’ bila menerima ganjaran ‘cuti’ dari ALLAH setiap bulan. (Jangan bimbang, anda mungkin tidak perlu merasainya. Ia terjadi kerana kejahilan diri saya sendiri) Akhirnya, saya dapat jawapan dan sedang mencubanya.
Untuk menjayakan Istiqamah 40 hari, jika ibadah itu melibatkan Solat atau membaca AL-QURAN, saya gantikan dengan membaca terjemahan pada apa yang patut saya lakukan. Contohnya, saya ingin mengamalkan Solat Dhuha. Maka, saya akan bersolat. Jika saya bercuti, pada waktu yang biasa saya solat, saya akan membaca terjemahan semua bacaan yang biasa saya baca terjemahan dari takbiratulihram hinggalah ke salam dan akhirnya membaca doa.
Semoga ALLAH izinkan saya beristiqamah...
Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya
Dua minggu terakhir dalam Ramadhan, soalan “Bila Nak Balik Kampung?” menjadi soalan terpopular di semua jenis media. Malah, teman yang bukan Muslim juga ditanyakan soalan yang sama. Bila suami memaklumkan jadual cuti Hari Raya... Saya lega. Senang merancang perjalanan sekalian bala tentera. Maklum, orang perempuan...
Terfikir juga, mungkinkah pertemuan itu adalah yang terakhir? WALLAHUAKLAM! Apa yang penting, semoga pertemuan pada Syawal nanti memberi manfaat dan keberkatan pada kita semua. Amin!

Saat Pena Di Genggaman,
Iza Safiya

Kakak kesayangan saya (kami tiada kaitan darah, hanya kasih dan sayang yang kami kongsi bersama) kehilangan Abah kesayangannya beberapa bulan yang lepas. Kakak saya adalah anak sulung. She need to be stronger... Apa yang dia lakukan? Setiap kali terkenang Arwah Abahnya, dia akan membacakan ayat AL-QURAN. Dia juga semakin banyak bersedekah atas nama Arwah Abahnya. Sempena Ramadhan Yang Bakal Ditinggalkan... Dia membuat lebih tujuh jenis kuih semata-mata untuk mengubat hatinya yang sepi. Nilai sepi yang tidak pernah dirasainya. Sering dia berkata pada saya, “Kakak dah tak ada Abah!” Biasanya dalam tangisan.
Apa yang mampu saya katakan, “Sabar! Allah sayang pada Arwah!” Dia mengangguk. Tapi, esoknya, dia akan mengadu lagi. Saya okey untuk jadi “shoulder to cry on”. Dalam mendengar tangisannya yang perlahan di hujung talian, fikiran saya kerap menerawang, bagaimana nasib saya bila Abah saya pula yang pergi dulu sebelum saya? Rasa ngeri menyelinap dalam hati.

Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya

Ada drama bertajuk “Jangan ambil Padang Kami...” Jika ditonton iklannya, nampak agak bagus. Namun, masa tidak berpihak pada saya. Saya tidak menontonnya. Saya cuma suka tajuk itu kerana dulu, semasa di USM, saya sangat suka bermain di padang. Bermain bola baling, bola jaring malah untuk berjoging juga, saya akan berjoging keliling padang. Jika teman lain gemar memilih aktiviti kewanitaan sebagai pilihan ko-kurikulum, saya dan rakan-rakan padang, akan memilih aktiviti sukan yang menjamin kami boleh berada di padang. Dari Silat Olahraga, bola baling dan lain-lain lagi.
Sekarang, anak-anak tidak perlukan padang. Mereka perlukan iPad, XBox, PS3 dll. Mereka akan tetap bermain, cuma mereka tidak perlukan teman sepermainan dan tidak busuk kerana teruk berpeluh. Ada pro dan kontra... Terpulang kepada ibubapa untuk mengaturkan semuanya.
Aidilfitri makin hampir, kita patut berusaha dalam kekecohan kita mengunjungi saudara yang tua dan ada juga yang sudah uzur, jangan pula kita membiarkan anak-anak leka membelek iPad hingga tidak kenal siapa yang dilawatinya, tidak belajar untuk berkomunikasi dengan bangsa sendiri dan tidak belajar menghormati orang tua yang masih ada. Minta anak-anak off sekejap segala gadjet yang ada... Slogan ‘Hak Bermain Hak Kami’ digantung sementara!!!
Teringat kisah masa kami kecil dulu, sebelum turun dari kereta untuk berhari Raya, Mama dan Abah sudah siap-siap ingatkan siapa tuan rumah yang akan kami temui, apa hubungannya tuan rumah dengan kami, budi baik tuan rumah dengan ibubapa kami dll. Kebaikannya, bila dewasa, ketika kita mengadakan kenduri, kita tidak kekok untuk melayan saudara yang datang. Mungkin terkadang, kita terlupa nama mereka tapi kita tidak mungkin lupa yang ‘orang itu’ saudara kita. Tidaklah sampai, bila saudara datang, menyorok dalam bilik sebab tak kenal saudara. Kononnya malu!!! Maklum, orang kota!

Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya
  

Ramadhan kali ini agak menarik, Sukan Olimpik menemankan saya menyediakan sahur. Saya amat nantikan Datuk Lee Chong Wei, Pandalela dan Azizul Hasni Awang beraksi. Tahniah untuk mereka bertiga. Tidak rugi terpaksa menunggu hingga tidak tidur malam untuk menyokong mereka mewakili negara. Walaupun bukan pingat emas yang mereka bawa pulang, yang penting adalah kepuasan hati saya ketika menonton mereka beraksi dalam perlawanan. Tentang hati orang lain, saya serahkan pada pemilik hati itu sendiri. Bagi saya, ALLAH tahu apa yang terbaik buat kita dan orang di sekeliling kita. Jika itu bermakna Malaysia hanya pulang dengan satu pingat perak dan satu gangsa, itulah yang sebenarnya layak untuk si peserta dan layak untuk negara kita Malaysia.
Untuk dapat pingat emas, saya percaya, bukan pemain sahaja yang perlu bersungguh-sungguh, malah, para penyokong juga begitu. Mungkin ramai yang tinggal solat kerana hendak duduk depan TV. Maka, lain kali, jika ada event besar, kita solat dulu, baru sorak ramai-ramai sampai gemuruh suara kita sampai ke lapangan di mana wakil negara kita bertanding. Semoga ALLAH izinkan emas dalam genggaman pada masa yang lain... Amin!

Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya