Salam Kasih Sayang

Buat Abah,

Hujung minggu ini, semua cerita adalah berkaitan Abah. Anakanda tak pasti dari mana dan bila mula datangnya tradisi ini. Namun apabila mengenangkan mu, takkan kulupa saat mula anakanda mengenali mu. 

Mana bisa kulupa insan yang menghantarku setiap pagi ke sekolah walaupun ianya cuma berjarak sekangkang kera,

Mana bisa kulupa insan yang menenangkan aku ketika menangis kerana mendapat adik lelaki, bukannya perempuan seperti yang kuingini,

Mana bisa kulupa insan yang mengirimkan kain pelikat ketika aku memasuki asrama di Tingkatan Satu, kerana bimbangkan aku merindui mu, 

Mana bisa kulupa sentuhanmu di dahiku setiap kali aku jatuh sakit, dan terus rasa sakit itu pergi,

Terima kasih kerana menjadi abah yang sempurna untukku, maafkan aku di atas ketidaksempurnaanku. Terima kasih di atas segala kasih sayangmu. Terima kasih kerana menjaga ibu-ibuku. Semoga Allah merahmatimu dan ibubapamu di atas segala kasih sayang, didikan, penderitaan dan pengorbananmu.  


Buat Abah-abah insan yang ku sayangi,

Ibarat abah ku jua, walau memori antara kita baru seketika cuma. Terima kasih kerana di atas segala jerih perit dalam mendidik dan mengasihi insan-insan yang kusayangi sehingga kami dewasa. Hanya Allah yang mampu membalasnya.


Buat suami yang tersayang,

Terima kasih di atas perhatian dan pengorbanan yang kekanda berikan untuk keluarga kita, semoga Syurga Tertinggi buatmu.Teruskan usaha mendidik semua ahli keluarga kita menjadi insan soleh-solehah, semoga kita terus menyayangi Allah dan Rasulullah; dan semua Muslim sebagai saudara. 

Berbanggalah kita menjadi seorang Muslim dan mengamalkannya, semoga anak-anak kita mengikut jejak langkah kita.


Wassalam.


Salam penuh kasih sayang,

Iza Safiya

Comments (0)