[Nota Penulis: Hikmah di Sebalik Cerita adalah satu ruang untuk Penulis mengupas tentang apa jua yang Penulis lihat, fikir, rasa dan perbincangkan bersama sahabat-sahabat Penulis. Pembaca digalakkan untuk memberi komen tentang kupasan ini, supaya kita semua dapat manfaat dalam usaha berhijrah menjadi hambaNya yang lebih baik]
Pernahkah kita melalui saat ini, di mana kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi sesuatu yang dirancang dengan baik, namun semuanya berubah di saat akhir, berpunca dari 'hanya Allah yang tahu'?
Memandangkan pada tika dan saat itu, kita sudah mati akal atau tenggelam punca, adat manusia, doa dibaca berulang-ulang mengharap bantuan dari Allah.
Kemudian, apabila semuanya selesai, kita mula berkira-kira tentang mengapa begitu dan bukan begini? Mengapa sekarang dan bukan nanti? Mengapa saya dan bukan dia? Mengapa benci dan bukan suka? Belum lagi kita mengandai-andaikan pelbagai perkara. Andainya hari hujan, saya pasti ....., andainya soalannya itu, saya mesti.....
Dalam situasi ini, seolah-olah kita mampu melakukan apa sahaja sendirian dan cerita hidup yang telah lalu bagai boleh dipadam dengan pemadam getah semudah ABC dan dan ditulis semula dengan pensil berwarna yang lebih menarik....
Bersama, mari kita fikirkan ini:
[i] Semasa kita mati akal tadi, kita gantungkan semula pengharapan kita pada Allah. Allah serahkan pemberianNya dalam bentuk yang kita tidak nampak. PemberianNya itu mungkin dalam bentuk lisan, cetusan idea, tenaga kekuatan, kelancaran lisan dll. Dan kita yang rasa lemah ketika itu, rela dan redha menerima apa jua, untuk memastikan ujian itu dapat dilalui sebaik mungkin.
[ii] Selepas kita mengakhirinya, kita 'konon'nya bermuhasabah diri. Dan pelbagai idea lagi yang datang menyebabkan kita merasakan 'I am great', jika penghasilannya baik. Dan kita cari apa-apa juga yang boleh disalahkan untuk menjustifikasi situasi, jika penghasilannya tidak baik.
Bersama, mari kita debatkan ini:
[i] Cukup baikkah kita pada diri sendiri atau zalim kerana kurang usaha? Lazimnya, apabila bantuan Allah sampai, di saat kita menerimanya, hati kita terdetik, syukur ya Allah, syukur! Alhamdulillah, Terima Kasih, Allah. Zalimnya, semua perkara di bawah sering juga kita lakukan..... betapa klisenya.....
[ii] Benarkah keredhaan kita itu tadi masih ikhlas, kerana sebaik segalanya selesai, kita tiba-tiba mula mengira-ngira, jika itu atau ini? Malah pemberian yang tadinya 'cukup', seolah bagaikan hadiah makanan tapi tak kenyang, bagaikan hadiah minuman tapi tak hilang hausnya. Tiba-tiba keikhlasan itu hilang. Lebih zalim lagi, keikhlasan yang hilang itu, adalah untuk Allah yang menciptakan kita. MasyaAllah.
[iii] Cara kita bermuhasabah adalah salah jika kita mempertikaikan hasil daripada usaha kita. Kerana pengakhiran jalan cerita adalah takdir Allah, mengikut dari apa yang Dia telah izinkan setanding usaha yang kita lakukan. Dalam kata lain, kita 'mempertikaikan' takdir Allah. Astarghfirullah!
[iv] Apa yang kita wajib lakukan dalam proses bermuhasabah diri, adalah meneliti dan menilai usaha kita dalam mendapatkan pengakhiran sesuatu ujian, bukannya mempertikaikan pengakhiran yang ditakdirkan, hasil dari usaha tersebut. Cantiknya Islam, melalui proses ini, kita akan temui pelbagai lagi kehebatan Allah SWT yang mendatangkan rasa kekaguman kita terhadap Pencipta.
Ya Allah,
Izinkan aku, suamiku dan keluarga kami serta semua umat Islam menerima bantuanMu pada setiap masa dan ketika, dan izinkan kami melihatnya dengan jelas, memahami, mensyukuri dan meredhai segala pemberianMu seumur hidup kami. Amin.
Sumber Cerita dan Asas Perbincangan: Sahabatku dan Suaminya di Konti Radio.
Salam Ukhwah,
Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman....
6/22/2011 10:53:00 pm |
Category: |
0
comments
Comments (0)