[Nota Penulis: Kempen Muslimah Sejati adalah ajakan Penulis kepada diri sendiri, kaum keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja Muslimah yang sudi untuk bersama dalam usaha menjadi Muslimah Sejati. Semoga kita dan suami kesayangan kita diizinkan untuk bertemu Nabi Muhammad SWT dan para isteri Baginda di Syurga kelak]


Sering kali kita lalu di jalanan untuk ke pejabat mahu pun pulang, kita nampak kelibat anak-anak ke sekolah, para pekerja memandu ke tempat kerja masing-masing, peniaga gerai berniaga di tepi jalan, polis trafik sibuk memberi arahan laluan dll.

Apa yang kita lakukan? Pilihan yang ada:

i) Dengar Radio
ii) Merancang kerja seharian (di dalam kepala - yang mula berselirat)
iii) Berceloteh dengan sesiapa sahaja - yang berada di dalam kereta atau melalui talian telefon

Apa kata kita ubah suasana ini?

Bagaimana? Ini adalah Modus Operandi Kita:

i) Bila nampak anak-anak muslim pergi sekolah, kita doakan "Ya Allah, Kau permudahkan Anak Adam Yang sedang berjalan ke sekolah itu, memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru-gurunya, mendapat ilmu yang bermanfaat dan diredhai oleh ibu bapanya. Jadikanlah dia seorang yang berjaya apabila dewasa nanti dan izinkan dia mendekatiMu dengan ilmu yang didapatinya dan memartabatkan Islam di seluruh alam ini." Amin.

ii) Bila nampak para pekerja memandu ke tempat kerja masing-masing, kita doakan "Ya Allah, Kau permudahkanlah hamba Allah di kereta kanan, kiri, depan dan belakangku memandu dengan selamat hingga sampai ke destinasi kami masing-masing." Amin.

iii) Bila nampak peniaga gerai di tepi jalan, kita doakan "Ya Allah, Kau permudahkan rezeki peniaga gerai yang sedang berniaga di tepi jalan itu, izinkanlah jualan makanan mereka habis terjual dan mendapat keuntungan dan jauhkanlah mereka dari kerugian." Amin.

iv) Bila nampak polis trafik sibuk memberi arahan laluan, sebaik sahaja kita melepasi pegawai itu, kita doakan "Ya Allah, Kau selamatkanlah Polis Trafik yang bertugas itu, berilah petunjuk kepadanya agar dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin pada hari ini." Amin. 

Tak munasabah? Ada aku kesah? MasyaAllah! Bukankan semua Muslim adalah bersaudara? Dicubit peha kanan, peha kiri terasa.

Mulakan dengan 10 individu yang kita nampak sebaik keluar rumah. Cabar diri kita, sudah tentu saya cabar diri saya, untuk melakukannya bersama-sama. Kita sering dengar, jika 40 orang Muslim berdoa, doa akan dimakbulkan, InsyaAllah. Suami saya kata, Allah berhak untuk memakbulkan doa walaupun dari hanya seorang hambaNya yang berdoa. Yang penting tulus dari hati. InsyaAllah.

Bayangkan, kita nampak seorang Muslim, kita doakan, "Ya Allah, izinkan Muslim itu menjadi jutawan dan membantu Muslim lain hanya keranaMu.", dan semua Muslim mendoakan setiap Muslim yang ditemui. 

Bayangkan! Saya percaya tidak mustahil untuk itu berlaku, di saat itu, insyaAllah, ekonomi Malaysia menjadi Halalan Toyyiban macam yang kita dambakan.

Selamat mencabar diri!!!!

Salam Hijrah,

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman...

[Nota Penulis: Hikmah di Sebalik Cerita adalah satu ruang untuk Penulis mengupas tentang apa jua yang Penulis lihat, fikir, rasa dan perbincangkan bersama sahabat-sahabat Penulis. Pembaca digalakkan untuk memberi komen tentang kupasan ini, supaya kita semua dapat manfaat dalam usaha berhijrah menjadi hambaNya yang lebih baik]

Pernahkah kita melalui saat ini, di mana kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi sesuatu yang dirancang dengan baik, namun semuanya berubah di saat akhir, berpunca dari 'hanya Allah yang tahu'?

Memandangkan pada tika dan saat itu, kita sudah mati akal atau tenggelam punca, adat manusia, doa dibaca berulang-ulang mengharap bantuan dari Allah.

Kemudian, apabila semuanya selesai, kita mula berkira-kira tentang mengapa begitu dan bukan begini? Mengapa sekarang dan bukan nanti? Mengapa saya dan bukan dia? Mengapa benci dan bukan suka? Belum lagi kita mengandai-andaikan pelbagai perkara. Andainya hari hujan, saya pasti ....., andainya soalannya itu, saya mesti.....

Dalam situasi ini, seolah-olah kita mampu melakukan apa sahaja sendirian dan cerita hidup yang telah lalu bagai boleh dipadam dengan pemadam getah semudah ABC dan dan ditulis semula dengan pensil berwarna yang lebih menarik....

Bersama, mari kita fikirkan ini:

[i] Semasa kita mati akal tadi, kita gantungkan semula pengharapan kita pada Allah. Allah serahkan pemberianNya dalam bentuk yang kita tidak nampak. PemberianNya itu mungkin dalam bentuk lisan, cetusan idea, tenaga kekuatan, kelancaran lisan dll. Dan kita yang rasa lemah ketika itu, rela dan redha menerima apa jua, untuk memastikan ujian itu dapat dilalui sebaik mungkin.

[ii] Selepas kita mengakhirinya, kita 'konon'nya bermuhasabah diri. Dan pelbagai idea lagi yang datang menyebabkan kita merasakan 'I am great', jika penghasilannya baik. Dan kita cari apa-apa juga yang boleh disalahkan untuk menjustifikasi situasi, jika penghasilannya tidak baik.

Bersama, mari kita debatkan ini:

[i] Cukup baikkah kita pada diri sendiri atau zalim kerana kurang usaha? Lazimnya, apabila bantuan Allah sampai, di saat kita menerimanya, hati kita terdetik, syukur ya Allah, syukur! Alhamdulillah, Terima Kasih, Allah. Zalimnya, semua perkara di bawah sering juga kita lakukan..... betapa klisenya.....

[ii] Benarkah keredhaan kita itu tadi masih ikhlas, kerana sebaik segalanya selesai, kita tiba-tiba mula mengira-ngira, jika itu atau ini? Malah pemberian yang tadinya 'cukup', seolah bagaikan hadiah makanan tapi tak kenyang, bagaikan hadiah minuman tapi tak hilang hausnya. Tiba-tiba keikhlasan itu hilang. Lebih zalim lagi, keikhlasan yang hilang itu, adalah untuk Allah yang menciptakan kita. MasyaAllah.

[iii] Cara kita bermuhasabah adalah salah jika kita mempertikaikan hasil daripada usaha kita. Kerana pengakhiran jalan cerita adalah takdir Allah, mengikut dari apa yang Dia telah izinkan setanding usaha yang kita lakukan. Dalam kata lain, kita 'mempertikaikan' takdir Allah. Astarghfirullah!

[iv] Apa yang kita wajib lakukan dalam proses bermuhasabah diri, adalah meneliti dan menilai usaha kita dalam mendapatkan pengakhiran sesuatu ujian, bukannya mempertikaikan pengakhiran yang ditakdirkan, hasil dari usaha tersebut. Cantiknya Islam, melalui proses ini, kita akan temui pelbagai lagi kehebatan Allah SWT yang mendatangkan rasa kekaguman kita terhadap Pencipta.  

Ya Allah,

Izinkan aku, suamiku dan keluarga kami serta semua umat Islam menerima bantuanMu pada setiap masa dan ketika, dan izinkan kami melihatnya dengan jelas, memahami, mensyukuri dan meredhai segala pemberianMu seumur hidup kami. Amin.

Sumber Cerita dan Asas Perbincangan: Sahabatku dan Suaminya di Konti Radio.

Salam Ukhwah,

Iza Safiya
Saat Pena Di Genggaman....
Wajib bagiku mencatatkan di sini objektif blog ini diwujudkan, agar aku tetap pada matlamat dan sekiranya keizinan Allah ini memberi kebaikan kepada ku, semoga kebaikan itu berterusan.

Objektif :
1. Sebagai Muslimah, insyaAllah, akan ku catat usaha yang kulakukan untuk mentranformasi diriku menjadi muslimah yang dirahmati Allah, disayangi Rasulullah, Suami dan Muslim yang lain.
2.Sebagai penulis, insyaAllah, akan ku maklum status terkini hasil-hasil penulisanku.
3. Sebagai hamba Allah yang berakal, akan ku kongsi pandangan dan pemikiran yang diharapkan bermanfaat untuk diriku dan sesiapa yang membaca.

Semoga bermanfaat dan dimanfaatkan.

Terima kasih.

Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya

Salam Kasih Sayang

Buat Abah,

Hujung minggu ini, semua cerita adalah berkaitan Abah. Anakanda tak pasti dari mana dan bila mula datangnya tradisi ini. Namun apabila mengenangkan mu, takkan kulupa saat mula anakanda mengenali mu. 

Mana bisa kulupa insan yang menghantarku setiap pagi ke sekolah walaupun ianya cuma berjarak sekangkang kera,

Mana bisa kulupa insan yang menenangkan aku ketika menangis kerana mendapat adik lelaki, bukannya perempuan seperti yang kuingini,

Mana bisa kulupa insan yang mengirimkan kain pelikat ketika aku memasuki asrama di Tingkatan Satu, kerana bimbangkan aku merindui mu, 

Mana bisa kulupa sentuhanmu di dahiku setiap kali aku jatuh sakit, dan terus rasa sakit itu pergi,

Terima kasih kerana menjadi abah yang sempurna untukku, maafkan aku di atas ketidaksempurnaanku. Terima kasih di atas segala kasih sayangmu. Terima kasih kerana menjaga ibu-ibuku. Semoga Allah merahmatimu dan ibubapamu di atas segala kasih sayang, didikan, penderitaan dan pengorbananmu.  


Buat Abah-abah insan yang ku sayangi,

Ibarat abah ku jua, walau memori antara kita baru seketika cuma. Terima kasih kerana di atas segala jerih perit dalam mendidik dan mengasihi insan-insan yang kusayangi sehingga kami dewasa. Hanya Allah yang mampu membalasnya.


Buat suami yang tersayang,

Terima kasih di atas perhatian dan pengorbanan yang kekanda berikan untuk keluarga kita, semoga Syurga Tertinggi buatmu.Teruskan usaha mendidik semua ahli keluarga kita menjadi insan soleh-solehah, semoga kita terus menyayangi Allah dan Rasulullah; dan semua Muslim sebagai saudara. 

Berbanggalah kita menjadi seorang Muslim dan mengamalkannya, semoga anak-anak kita mengikut jejak langkah kita.


Wassalam.


Salam penuh kasih sayang,

Iza Safiya
Idea adalah ilham dari Allah. Jika ditulis dengan baik, ia akan menjadi ilmu. Dan ilmu yang dimanfaatkan akan jadi saham akhirat, insyaAllah. Sebagai hamba Allah, aku berharap hanya rahmatNya.

Terima kasih suami kerana mengizinkan aku memiliki ini setelah Allah mengizinkan aku menjadi milikmu.

Iza Safiya...... Kali pertama pena ini dalam genggamanku.
Iza Safiya
DID, Malaysia

Jumaat
11hb Jun, 2011
12.59am

.. Langkahan pertamaku!