Mata memang memandang, tetapi adakah kaki mampu melangkah?

Awal tahun ini, saya banyak memikirkan apa yang terjadi pada jejak semalam. Ada sesuatu yang ingin saya rakamkan, buat diri dan sesiapa yang membaca...

Tertulis di Al-Quran, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Antara bacaan di dalam solat Sunat Hajat pula, Sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri.

Nasihat kita sesama kita pula, Muhasabah diri dan jangan salahkan orang lain.

Maka, azam peribadi di dalam tahun ini adalah, cari kesalahan diri sebelum memandang salah orang. Dalam perkara sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Senario...

Kita sedang berhenti di persimpangan. Tiba-tiba seorang anak muda yang menunggang motosikal melanggar kereta kita dari belakang.
Tindakan dulu... Keluar dari kereta dan #$%^& anak muda itu apa yang patut!
Tindakan sekarang... Sebut "Innalillah". Tanya pada anak muda itu, "Kamu okey? Ada sakit kat mana-mana? Nak pergi klinik?"
Selepas keadaan tenang, baru kita bincang macamana nak selesaikan keadaan kenderaan masing-masing.
Eiii! Mustahil nak buat... Kita cubalah! Dunia kita pasti berubah.

Kemalangan itu takkan berlaku jika ALLAH tak izinkan anak muda itu melanggar belakang kereta kita. Itu pasti!
Kenapa? Ini yang kita harus tanya diri kita... Kenapa ALLAH pilih kita dan kereta kita? Pada masa yang sama kita tak boleh buruk sangka dengan ALLAH!

Ini mungkin kifarah. Mungkin juga ujian. Mungkin juga ingatan. Perkara sudah berlaku, cari sahaja penyelesaian...
Itu lebih baik. Barulah kemalangan tadi memberi hikmah. Tiba-tiba, kita dan anak muda tadi jadi saudara. Tidak mustahil dia adalah anak murid mama kita. Atau anak saudara rakan FB kita atau pak ciknya adalah pegawai bank yang meluluskan pinjaman perumahan kita. Malah, tidak mustahil, dia adalah bakal menantu kita...

Susah? Memang susah.
Maklum! Selama 40 tahun hidup, terlalu banyak jari ini menuding pada orang lain. Terlalu banyak marah hati ini dihamburkan untuk orang lain. Aduh!
Bila terbaca satu post di dalam FB pada pagi ini, 'Marah takkan berakhir dengan sesuatu yang lain selain malu! '

Fikirkanlah... Dunia semakin akhir zaman. Hidup manusia semakin porak peranda, lalu bagaimana kita mahu mencapai bahagia? Bersabar & bersolatlah!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)