Rakan saya dari Bogor bercerita, Bogor adalah tempat kedua yang paling banyak dipanah petir selepas Bogota, Colombia. Kenapa? Saya tak pasti. Namun, sepanjang beberapa hari saya di sana, saya tidak perasan sebarang panahan petir dari langit, dengan izin ALLAH!
Memang Bogor, bandar basah. Hujan setiap hari malah kerap turunnya. Hingga jika kita berjalan dalam hujan, insya-ALLAH, tiada kesan pada kesihatan. Hujannya bersih. Airnya bersih. Baunya bersih. Itu kelebihan yang rakan di Bogor terima dari ALLAH!
Memang Bogor, bandar sejuk. Selain kerana bandarnya yang sedikit tinggi, hujan yang turun buat bandar ini sejuk. Tanahnya bagai tak sempat untuk kering. Semuanya gara-gara hujan. Hujan yang banyak inilah yang dikirim airnya ke Jakarta. Jakarta menjadi bandar takungan. Setiap tahun memang banjir sekitar akhir Disember hingga Awal Februari. Lima tahun sekali, pasti banjir besar. Sebagaimana tahun ini.
Rakan saya dari Bogor bercerita, penjajah dari Belanda dulu tidak memilih Jakarta sebagai ibu negara Indonesia kerana rendahnya tanah Jakarta dari paras laut sebagaimana Amsterdam. Namun, pemerintah terawal Indonesia pula memindahkannya ke Jakarta. Untuk apa? Kenalah kita rujuk sejarah Indonesia.
Kini, di kaca TV di kebanyakan saluran, mereka berbahas tentang pemilihan bandar lain sebagai pusat pemerintahan sebagaimana yang dilakukan Malaysia. Mmmm... dalam hal ini, kita lebih terkehadapan rupanya.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya