Kecoh rakyat jelata dengan AES. Pelik! Pada ketika kita inginkan jalanraya yang lebih selamat, kita tertipu dengan pendapat yang entah apa-apa. Ini mungkin terjadi kerana kita mengira bilangan manusia dengan penjodoh bilangan 'ORANG' dan bukannya 'NYAWA' 

Sefaham saya...
i) Jalanraya bukan tempat berlumba, maka, saya akan ikut peraturan yang ditetapkan. Kenapa? untuk elak kemalangan yang mungkin menyebabkan saya tercedera atau mencederakan orang.

ii) Buatlah apa-apa undang-undang, saya akan patuh. Kenapa? Undang-undang adalah untuk kebaikan semua orang dalam mendidik sikap kita agar lebih berhati-hati.

iii) Pasanglah apa jua alat untuk membantu saya
Tak kisahlah walaupun kamera zaman Albert Einstein atau apapun. Asal boleh menjadi asbab bagi saya untuk selamat sepanjang berada di jalanraya.

iv) Jika saya di saman oleh AES, itu memang salah saya. Siapa suruh saya langgar lampu merah atau memecut di kawasan kemalangan. Mujurlah, bukan takdir ALLAH untuk saya menemui kemalangan atau tercabut nyawa di mana-mana akibat kecuaian diri ini. Maka, saya akan bayar saman itu. Semoga jadi ingatan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam MENJAGA DIRI SENDIRI!!!

v) Saya tak peduli siapa yang pasang AES sama seperti saya tidak peduli siapa yang dapat kontrak buat toilet di jeti Kuah atau baiki jalanraya di kawasan Puchong Perdana atau besarkan longkang di bandar Batu Pahat untuk elak banjir. Yang penting, apapun yang di buat adalah untuk saya, keluarga, jiran dan sahabat mendapat manfaat.

Kepada para Pegawai JPJ,

Jangan putus asa untuk berusaha kerana saya amat menghargainya. Harap dapat tukar papantanda. Tuliskan sebagaimana contoh di bawah:

Pada TAHUN 2011, sebanyak 2089 nyawa melayang di KM terdekat, maka untuk mengelakkan nyawa anda dikira sama, kami pasang AES 1 KM di hadapan.

atau

Pada TAHUN 2011, sebanyak 56,789 kemalangan berlaku di simpang terdekat, maka untuk mengelakkan perkara serupa berlaku pada anda, kami pasang AES di situ.


Jika nak pasang AES depan rumah mak saya di Batu Pahat, saya sokong 100% kerana telinga ini belum pekak lagi dengan bingitnya motor atau kereta yang lalu lalang pada waktu siang dan malam dengan kelajuan yang hai... hai... hai... sedangkan rumah mak saya berhadapan dengan sebuah sekolah.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Ramai yang kerap ulang tanya, kenapa pasangan berubah dalam dua keadaan:
 
Sebelum Berkahwin vs Sudah Berkahwin
 
Ini jawapan saya. Sebab SYAITAN!
 
SEBELUM BERKAHWIN
 
Semasa mengurat.
Objektif syaitan - dua hamba ALLAH ini mesti jadi pasangan kekasih!
 
Maka, syaitan akan menyucuk apa yang patut untuk kita:
i) melihat si dia sebagai insan yang paling bertanggungjawab, macho, bijak dan kelakar. (memang rugi kalau kita tolak cinta dia)
ii) menjadi pasangan si dia yang cun, sporting dan canggih dalam semua segi. (memang rugi kalau si dia tak pilih kita) 
Pandainya syaitan, tarikan antara dua hamba ALLAH ini kebanyakannya berkaitan nafsu!
 
Semasa bercinta.
Objektif syaitan - dua pasang kekasih ini mesti membuat sebanyak-banyaknya maksiat.
 
Maka, syaitan akan menyucuk lebih lagi, untuk pasangan:
i) membuktikan pada diri si dialah insan yang layak menjadi kekasih yang terbaik. (memang rugi jika berpisah) 
Syaitan juga akan memberi idea bagaimana untuk saling berkasih-sayang. Sebab itu, pada waktu ini, pasangan kekasih sanggup menyentuh dan rela disentuh.
Mula-mula guna hujung kuku tapi lama-lama...
Mula-mula beralaskan baju tapi lama-lama...  
 
Syaitan akan takutkan kita rasa peritnya perpisahan. Sebab itu, pada waktu ini, pasangan kekasih akan kerap merajuk dan memujuk rayu yang berlebih-lebihan. Semuanya ekstrem. Merajuknya ekstrem! Memujuknya pun ekstrem! Peliknya, semua pun sanggup untuk dibuat asalkan dapat kembali bersama.
 
ii) kekal sebagai pasangan kekasih selama mungkin
Syaitan akan memberi idea bagaimana untuk berkhayal dalam cinta. Jika berjumpa, lebih suka jumpa berdua. Jika berdua, lebih suka di tempat sunyi dari tempat yang ramai orang. Jika duduk, lebih suka rapat-rapat...
 
iii) tidak memikirkan isu perkahwinan
Syaitan akan segera menukar strategi sebaik salah seorang dari pasangan memikirkan tentang perkahwinan.
 
Senario:
L: Macam nak kahwin, tapi duit tak cukup lagi. Kalau nak share, malu!
P: Macam nak ajak kahwin, tapi dia macam tak cukup duit. Aku pun tak ada duit!
Kesimpulan:
L atau P: Tak apalah... Tunggu lagi setahun dua. Lagi pun masih muda...
 
Semasa ingin mendirikan rumah tangga
Objektif syaitan - perkahwinan dibatalkan/ perkahwinan tidak diberkati
 
Syaitan akan kalah sebaik ikatan menjadi sah. Syaitan akan menyucuk pasangan agar:
 
i) kerap bergaduh apabila merancang perkahwinan
Banyak isu yang dulu sekepala tiba-tiba menjadi tak sekepala. Dari isu yang kecil hingga paling besar. Dari isu pasangan hingga isu keluarga dan lain-lain.
 
ii) mula menyesal dengan perhubungan
Ada pasangan yang mula mengingati semula kekasih lama. Ada juga yang mula menyedari kehadiran orang yang lain.
 
iii) hati kecut lalu lari dari ambang perkahwinan
Ada bakal pengantin yang tidak mampu menghadapi cabaran menerima beratnya tanggungjawab.
 
iv) mencaca- marbakan majlis perkahwinan.
Akad nikah adalah majlis yang mulia tetapi dicaca-marbakan dengan pakaian pengantin yang ketat dan seksi dan solekan yang keterlampauan. Itu belum dikira dengan nafsu untuk menunjuk, membazir dan kedekut.
Ha! Macamana boleh membazir dan kedekut pada masa yang sama?
Solekan yang berlebihan adalah pembaziran.
Pakaian yang ketat dan seksi adalah kedekut. Betul tak?
 
 
SELEPAS BERKAHWIN
 
Syaitan yang dihantar adalah syaitan yang pangkatnya lebih tinggi. Ideanya lebih hebat dan apa yang berlaku?
 
-Suami akan melihat isteri bukan wanita idaman. Isteri akan melihat suami bukan lelaki idaman.
Mata mudah nampak insan di luar sana yang lebih lebat, hati lebih mudah suka pada mereka, lidah lebih ringan untuk memuji dan akal lebih banyak untuk membuat perbandingan. Tidak mustahil jika pasangan akan mula menyesal.

 
-Skil memujuk & merayu hilang tiba-tiba.
Banyak perkara akan jadi bahan pergaduhan lebih dari bahan untuk berkasih-sayang. Hati mula berkira-kira untuk memberi malah banyak pula ingin meminta-minta atau mahu menerima sahaja. Yang memujuk sudah malas memujuk dan yang dipujuk pula mudah jual mahal. Yang merayu sudah berego tinggi untuk merayu dan yang dirayu pula sengaja suka nak buat orang lebih sakit hati.

Pada waktu ini,
sudah hilang rasa cinta di dada
sudah hilang rasa dinginnya jiwa bila bertentang mata
sudah tidak rela diri disakiti
sudah tidak mungkin terubat segala luka di hati.
 

-Ada pula muncul minah perfect atau mat perfect tiba-tiba di mana-mana entah siapa-siapa.
Sekadar salah satu cara syaitan menghancurkan ikatan perkahwinan, jika iman lemah dan hati cepat pasrah, tidak mustahil pada waktu ini pasangan akan kalah.

Jangan terkejut, jika tatkala bertelingkah isu ibubapa kita atau adik-beradik kita atau kehidupan masa lampau kita diungkit kembali. Percayalah, pada waktu menyebutnya, mana-mana pasangan pun akan rasa menang, itu adalah kemenangan yang ilusi. Tatkala syaitan sudah merasa kita mampu merosakkan diri sendiri dan perkahwinan yang ada, dia akan pergi dan bertepuk tangan. Bersoraklah dia... Dan pada waktu kita mendapat ilham penginsafan, syaitan akan datang lagi dan menakut-nakutkan kita dari semua segi atau memberanikan kita dari segi yang lain, objektifnya cuma satu, BIAR RUNTUH RUMAH TANGGA ITU.

MAKA...

Hanya keimanan dan kesabaran serta pegangan kita pada tali ALLAH sahaja yang membantu kita menuju ke arah yang sebenar di dalam perkahwinan. Hormat dan kasihkan pasangan kerana ALLAH bukan kerana pasangan kita. Mereka hanya manusia biasa yang pada waktu bila-bila mungkin terpedaya, sama juga dengan kita. Siapalah kita yang hanya meminjam cinta dari ALLAH... Maka, untuk elakkan diri dari terpedaya, mari cintai ALLAH setiap saat, semoga kita dilindungiNYA dan mendapat berkat!

Buat semua pasangan yang mendirikan rumah tangga pada musim cuti sekolah ini, SELAMAT PENGANTIN BARU, MOGA BAHAGIA HINGGA KE SYURGA...

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya