Rakan saya dari Bogor bercerita, Bogor adalah tempat kedua yang paling banyak dipanah petir selepas Bogota, Colombia. Kenapa? Saya tak pasti. Namun, sepanjang beberapa hari saya di sana, saya tidak perasan sebarang panahan petir dari langit, dengan izin ALLAH!
 
Memang Bogor, bandar basah. Hujan setiap hari malah kerap turunnya. Hingga jika kita berjalan dalam hujan, insya-ALLAH, tiada kesan pada kesihatan. Hujannya bersih. Airnya bersih. Baunya bersih. Itu kelebihan yang rakan di Bogor terima dari ALLAH!
 
Memang Bogor, bandar sejuk. Selain kerana bandarnya yang sedikit tinggi, hujan yang turun buat bandar ini sejuk. Tanahnya bagai tak sempat untuk kering. Semuanya gara-gara hujan. Hujan yang banyak inilah yang dikirim airnya ke Jakarta. Jakarta menjadi bandar takungan. Setiap tahun memang banjir sekitar akhir Disember hingga Awal Februari. Lima tahun sekali, pasti banjir besar. Sebagaimana tahun ini.
 
Rakan saya dari Bogor bercerita, penjajah dari Belanda dulu tidak memilih Jakarta sebagai ibu negara Indonesia kerana rendahnya tanah Jakarta dari paras laut sebagaimana Amsterdam. Namun, pemerintah terawal Indonesia pula memindahkannya ke Jakarta. Untuk apa? Kenalah kita rujuk sejarah Indonesia.
 
Kini, di kaca TV di kebanyakan saluran, mereka berbahas tentang pemilihan bandar lain sebagai pusat pemerintahan sebagaimana yang dilakukan Malaysia. Mmmm... dalam hal ini, kita lebih terkehadapan rupanya.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Dan ketika beberapa rakan pembaca sudah memilikinya, saya belum lagi kerana saya berada di Bogor! Argh! Sengsaranya jiwa ini. Berbeza dengan melihatnya di alam maya, saya begitu teringin menyentuhnya dengan tangan sendiri.
Dari Bogor, saya ke Cipanas. Kawasan tanah tinggi ibarat Cameron Highlands di negara kita. Sejuknya Cipanas, cantiknya pemandangan, tebalnya kabus, geramnya melihat sayur dan buahan yang segar tidak dapat memadamkan ingatan saya pada 'Jangan Lupakan Aku'!
Hingga ALLAH SWT menurunkan bantuanNYA. Saya terkena keracunan makanan - muntah-muntah dan berulang ke kamar kecil berkali-kali membuat saya fokus pada diri dan sekeliling sementara kaki belum terjejak ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta - Terminal 3!
Di dalam kapal terbang untuk pulang, saya mula gelisah kembali. Suami memandang saya dengan pandangan yang memahami. Tiba di KLIA, kami terus pulang ke Istana Cinta. Dia bersiap dan berkata, "Jom, Sayang! Ikut Abang!"
"Ke mana?" soal saya. Jual mahal.
"Makan!" ajaknya serius.
"Makan apa?" soal saya. Masih jual mahal.
"Jomlah! Dah jam 8.30 malam..." ajaknya. Sedikit memaksa tetapi lembut bicaranya.
Kami tidak ke gerai nasi kukus kegemaran kami. Dia terus membawa saya ke Popular di The Summit! 'Jangan Lupakan Aku' tiada di sana! Sistem menunjukkan, 'Jangan Lupakan Aku' yang paling dekat dengan kami adalah di IOI Mall atau di Sunway Piramid.
"Mana?" soal suami mahu saya membuat pilihan.
Saya mengangkat bahu! Tidak tahu. Jalan jem sana-sini. Jam pula menunjukkan pukul 9.30 malam. Dia memandu ke Sunway Piramid. Serius! Saya pula menghubungi Direktori TM untuk mendapatkan nombor Popular Sunway Piramid.
"Kedai tutup pukul berapa?" soal saya.
"10.00 malam!" jawab suara di hujung talian.
Sebagaimana 'Jangan Lupakan Aku' merupakan magik ALLAH SWT dalam hidup saya, cara saya mendapatkannya kali pertama juga begitu. Tepat jam 9.59 malam, 'Jangan Lupakan Aku' berada di dalam genggaman.
Percaya atau tidak?! Sebaik saya menyentuhnya, lampu di bahagian novel Melayu terus gelap menunjukkan masa saya sudah tamat. Kedai sudah mahu tutup! Kami hanya dibenarkan membuat bayaran. Kami membeli dua buah buku. Satu untuk saya. Satu untuk suami.
Malam itu, kami membaca. Baca dan baca dari kulit ke kulit. Sebaik tamat, saya termenung. Teringatkan malam tanpa lena. Editor saya demam menyiapkan tugasannya. Ini memang hadiah ALLAH!
Alhamdulillah! Semoga sesiapa yang membacanya mendapat manfaat, itu harapan saya!
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Saya tenggelam dalam tugasan saya di Bogor. Sebuah bandar yang mendukung perkembangan teknologi perhutanan di Indonesia. Adanya SEAMEO-Biotrop dan Botanical Garden menjadi lambang komitmen Bogor, di tambah lagi dengan nyamannya pandangan mata melihat rusa-rusa di perkarangan Istana Presiden di bandar ini. Istana Presiden dan Taman Botani terletak sebelah menyebelah, saling mengindah antara satu dengan lain.

Panggilan dari Karangkraf yang tidak terjawab mengembalikan saya pada diri sendiri pada sisi kehidupan yang sebelah lagi. Editor saya, Lis memaklumkan 'Jangan Lupakan Aku' kini telah berada di pasaran. Itu buat saya tersentak. Lalu, saya tanyakan pada diri. Sudah bersediakah saya?
Selama hidup ini, saya memang suka melakukan tiga perkara. Membaca! Menulis! Mengira! Saya suka membaca dan ramai teman-teman tahu tentang hobi saya ini. Saya suka mengira dan ramai teman-teman tahu minat saya yang mendalam terhadap matematik dan kewujudan nombor. Saya suka menulis - saya ada blog ini, tempat saya mendokumentasi pengalaman dan buah fikiran. Saya ada FB tempat saya berkongsi maklumat. Tetapi saya tidak pernah menguar-uarkannya secara serius. Kini, saya ada 'Jangan Lupakan Aku'!

Blog dan FB memudahkan saya menjadi kura-kura. Malu? Masuk sahaja kepala dalam karapas! Novel? Ia tidak begitu.Blog dan FB boleh dibaca tanpa bayar apa-apa. Novel? Teman pembaca akan mengeluarkan belanja RM mendapatkannya. Elokkah? Baguskah? Sukakah? Tidakkah? Soalan demi soalan menerjah sanubari.

Suami menasihatkan saya. Ingat sahaja tajuknya! Baik atau tidak, Jangan Lupakan ALLAH! Saya kekal menjadi hambaNYA. Jangan Lupakan suami! Saya tetap isterinya, Insya-ALLAH! Jangan lupakan kakak dan anak kami. Jangan lupakan keluarga yang amat menyayangi. Semoga ALLAH mengaturkan manfaat buat semua di sepanjang perjalanan ini.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Alhamdulillah! 'Jangan Lupakan Aku' dilahirkan pada hari ini sebagaimana perancangan ALLAH. Sesungguhnya, perancangan ALLAH adalah yang terbaik dan semoga saya, keluarga dan rakan pembaca mendapat manfaat darinya.


Adakah saya sudah berubah?
Tentu!
Saya kini lebih sayangkan ALLAH! Impian saya tercapai akhirnya dengan cara yang paling cantik, di tempat yang paling cantik pada masa yang paling cantik.

Saya sedang menunggu penerbangan ke Jakarta. Ada misi khas yang diamanahkan buat saya. Sudah tentu saya harus fokus padanya. Jauh dilubuk hati, saya mengingatkan pada diri yang saya tak perlu terlalu bimbang. 'Jangan Lupakan Aku' saya tinggalkan pada pemiliknya yang sebenar iaitu ALLAH SWT. Setentunya DIAlah yang sebaik-baik pelindung.


Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Tak pernah saya jangkakan sebegini indah hadiah ALLAH buat saya. Sejak mula pena dalam genggaman untuk Jangan Lupakan Aku, saya tidak pernah menjangka ini akhirnya. ALLAH menyusunkan sebaik-baik perancangan buat saya. Setiap apa hadiah yang ALLAH beri, ALLAH beri dugaan bersama dengannya sekali. Supaya, saya layak untuk dapat hadiah lagi, jika saya terus sabar dan redha diuji.

Terima kasih, ALLAH
Atas setiap titis ilham yang Kau berikan
Yang mengalir bagai sungai tinta emas
Hingga buat aku berani meluah cinta

Terima kasih, ALLAH
Atas rasa rindu penuh dendam
Tak cukup hanya memandang sekilas
Mahu bersama kini dan selamanya
 
Demi Mu, ALLAH yang memiliki ini semua
Alhamdulillah! Semoga KAU izinkan Jangan Lupakan Aku bermanfaat dan dimanfaatkan
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
p/s : Novel Jangan Lupakan Aku akan berada di pasaran bermula Februari 2013.
 
Kecoh rakyat jelata dengan AES. Pelik! Pada ketika kita inginkan jalanraya yang lebih selamat, kita tertipu dengan pendapat yang entah apa-apa. Ini mungkin terjadi kerana kita mengira bilangan manusia dengan penjodoh bilangan 'ORANG' dan bukannya 'NYAWA' 

Sefaham saya...
i) Jalanraya bukan tempat berlumba, maka, saya akan ikut peraturan yang ditetapkan. Kenapa? untuk elak kemalangan yang mungkin menyebabkan saya tercedera atau mencederakan orang.

ii) Buatlah apa-apa undang-undang, saya akan patuh. Kenapa? Undang-undang adalah untuk kebaikan semua orang dalam mendidik sikap kita agar lebih berhati-hati.

iii) Pasanglah apa jua alat untuk membantu saya
Tak kisahlah walaupun kamera zaman Albert Einstein atau apapun. Asal boleh menjadi asbab bagi saya untuk selamat sepanjang berada di jalanraya.

iv) Jika saya di saman oleh AES, itu memang salah saya. Siapa suruh saya langgar lampu merah atau memecut di kawasan kemalangan. Mujurlah, bukan takdir ALLAH untuk saya menemui kemalangan atau tercabut nyawa di mana-mana akibat kecuaian diri ini. Maka, saya akan bayar saman itu. Semoga jadi ingatan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam MENJAGA DIRI SENDIRI!!!

v) Saya tak peduli siapa yang pasang AES sama seperti saya tidak peduli siapa yang dapat kontrak buat toilet di jeti Kuah atau baiki jalanraya di kawasan Puchong Perdana atau besarkan longkang di bandar Batu Pahat untuk elak banjir. Yang penting, apapun yang di buat adalah untuk saya, keluarga, jiran dan sahabat mendapat manfaat.

Kepada para Pegawai JPJ,

Jangan putus asa untuk berusaha kerana saya amat menghargainya. Harap dapat tukar papantanda. Tuliskan sebagaimana contoh di bawah:

Pada TAHUN 2011, sebanyak 2089 nyawa melayang di KM terdekat, maka untuk mengelakkan nyawa anda dikira sama, kami pasang AES 1 KM di hadapan.

atau

Pada TAHUN 2011, sebanyak 56,789 kemalangan berlaku di simpang terdekat, maka untuk mengelakkan perkara serupa berlaku pada anda, kami pasang AES di situ.


Jika nak pasang AES depan rumah mak saya di Batu Pahat, saya sokong 100% kerana telinga ini belum pekak lagi dengan bingitnya motor atau kereta yang lalu lalang pada waktu siang dan malam dengan kelajuan yang hai... hai... hai... sedangkan rumah mak saya berhadapan dengan sebuah sekolah.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Ramai yang kerap ulang tanya, kenapa pasangan berubah dalam dua keadaan:
 
Sebelum Berkahwin vs Sudah Berkahwin
 
Ini jawapan saya. Sebab SYAITAN!
 
SEBELUM BERKAHWIN
 
Semasa mengurat.
Objektif syaitan - dua hamba ALLAH ini mesti jadi pasangan kekasih!
 
Maka, syaitan akan menyucuk apa yang patut untuk kita:
i) melihat si dia sebagai insan yang paling bertanggungjawab, macho, bijak dan kelakar. (memang rugi kalau kita tolak cinta dia)
ii) menjadi pasangan si dia yang cun, sporting dan canggih dalam semua segi. (memang rugi kalau si dia tak pilih kita) 
Pandainya syaitan, tarikan antara dua hamba ALLAH ini kebanyakannya berkaitan nafsu!
 
Semasa bercinta.
Objektif syaitan - dua pasang kekasih ini mesti membuat sebanyak-banyaknya maksiat.
 
Maka, syaitan akan menyucuk lebih lagi, untuk pasangan:
i) membuktikan pada diri si dialah insan yang layak menjadi kekasih yang terbaik. (memang rugi jika berpisah) 
Syaitan juga akan memberi idea bagaimana untuk saling berkasih-sayang. Sebab itu, pada waktu ini, pasangan kekasih sanggup menyentuh dan rela disentuh.
Mula-mula guna hujung kuku tapi lama-lama...
Mula-mula beralaskan baju tapi lama-lama...  
 
Syaitan akan takutkan kita rasa peritnya perpisahan. Sebab itu, pada waktu ini, pasangan kekasih akan kerap merajuk dan memujuk rayu yang berlebih-lebihan. Semuanya ekstrem. Merajuknya ekstrem! Memujuknya pun ekstrem! Peliknya, semua pun sanggup untuk dibuat asalkan dapat kembali bersama.
 
ii) kekal sebagai pasangan kekasih selama mungkin
Syaitan akan memberi idea bagaimana untuk berkhayal dalam cinta. Jika berjumpa, lebih suka jumpa berdua. Jika berdua, lebih suka di tempat sunyi dari tempat yang ramai orang. Jika duduk, lebih suka rapat-rapat...
 
iii) tidak memikirkan isu perkahwinan
Syaitan akan segera menukar strategi sebaik salah seorang dari pasangan memikirkan tentang perkahwinan.
 
Senario:
L: Macam nak kahwin, tapi duit tak cukup lagi. Kalau nak share, malu!
P: Macam nak ajak kahwin, tapi dia macam tak cukup duit. Aku pun tak ada duit!
Kesimpulan:
L atau P: Tak apalah... Tunggu lagi setahun dua. Lagi pun masih muda...
 
Semasa ingin mendirikan rumah tangga
Objektif syaitan - perkahwinan dibatalkan/ perkahwinan tidak diberkati
 
Syaitan akan kalah sebaik ikatan menjadi sah. Syaitan akan menyucuk pasangan agar:
 
i) kerap bergaduh apabila merancang perkahwinan
Banyak isu yang dulu sekepala tiba-tiba menjadi tak sekepala. Dari isu yang kecil hingga paling besar. Dari isu pasangan hingga isu keluarga dan lain-lain.
 
ii) mula menyesal dengan perhubungan
Ada pasangan yang mula mengingati semula kekasih lama. Ada juga yang mula menyedari kehadiran orang yang lain.
 
iii) hati kecut lalu lari dari ambang perkahwinan
Ada bakal pengantin yang tidak mampu menghadapi cabaran menerima beratnya tanggungjawab.
 
iv) mencaca- marbakan majlis perkahwinan.
Akad nikah adalah majlis yang mulia tetapi dicaca-marbakan dengan pakaian pengantin yang ketat dan seksi dan solekan yang keterlampauan. Itu belum dikira dengan nafsu untuk menunjuk, membazir dan kedekut.
Ha! Macamana boleh membazir dan kedekut pada masa yang sama?
Solekan yang berlebihan adalah pembaziran.
Pakaian yang ketat dan seksi adalah kedekut. Betul tak?
 
 
SELEPAS BERKAHWIN
 
Syaitan yang dihantar adalah syaitan yang pangkatnya lebih tinggi. Ideanya lebih hebat dan apa yang berlaku?
 
-Suami akan melihat isteri bukan wanita idaman. Isteri akan melihat suami bukan lelaki idaman.
Mata mudah nampak insan di luar sana yang lebih lebat, hati lebih mudah suka pada mereka, lidah lebih ringan untuk memuji dan akal lebih banyak untuk membuat perbandingan. Tidak mustahil jika pasangan akan mula menyesal.

 
-Skil memujuk & merayu hilang tiba-tiba.
Banyak perkara akan jadi bahan pergaduhan lebih dari bahan untuk berkasih-sayang. Hati mula berkira-kira untuk memberi malah banyak pula ingin meminta-minta atau mahu menerima sahaja. Yang memujuk sudah malas memujuk dan yang dipujuk pula mudah jual mahal. Yang merayu sudah berego tinggi untuk merayu dan yang dirayu pula sengaja suka nak buat orang lebih sakit hati.

Pada waktu ini,
sudah hilang rasa cinta di dada
sudah hilang rasa dinginnya jiwa bila bertentang mata
sudah tidak rela diri disakiti
sudah tidak mungkin terubat segala luka di hati.
 

-Ada pula muncul minah perfect atau mat perfect tiba-tiba di mana-mana entah siapa-siapa.
Sekadar salah satu cara syaitan menghancurkan ikatan perkahwinan, jika iman lemah dan hati cepat pasrah, tidak mustahil pada waktu ini pasangan akan kalah.

Jangan terkejut, jika tatkala bertelingkah isu ibubapa kita atau adik-beradik kita atau kehidupan masa lampau kita diungkit kembali. Percayalah, pada waktu menyebutnya, mana-mana pasangan pun akan rasa menang, itu adalah kemenangan yang ilusi. Tatkala syaitan sudah merasa kita mampu merosakkan diri sendiri dan perkahwinan yang ada, dia akan pergi dan bertepuk tangan. Bersoraklah dia... Dan pada waktu kita mendapat ilham penginsafan, syaitan akan datang lagi dan menakut-nakutkan kita dari semua segi atau memberanikan kita dari segi yang lain, objektifnya cuma satu, BIAR RUNTUH RUMAH TANGGA ITU.

MAKA...

Hanya keimanan dan kesabaran serta pegangan kita pada tali ALLAH sahaja yang membantu kita menuju ke arah yang sebenar di dalam perkahwinan. Hormat dan kasihkan pasangan kerana ALLAH bukan kerana pasangan kita. Mereka hanya manusia biasa yang pada waktu bila-bila mungkin terpedaya, sama juga dengan kita. Siapalah kita yang hanya meminjam cinta dari ALLAH... Maka, untuk elakkan diri dari terpedaya, mari cintai ALLAH setiap saat, semoga kita dilindungiNYA dan mendapat berkat!

Buat semua pasangan yang mendirikan rumah tangga pada musim cuti sekolah ini, SELAMAT PENGANTIN BARU, MOGA BAHAGIA HINGGA KE SYURGA...

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya