Antara dua makhluk yang wujud di dunia, Si bodoh dan Si penipu. Tanpa menambah syarat dan ciri lain, siapa yang kita lebih rela jumpa?

Jawapan saya.... Si bodoh.Itu pilihan saya. Si bodoh akan kata tak tahu dalam semua hal yang dia tak tahu. Lebih memudahkan, Si bodoh tidak menipu dan cuba memperbodohkan kita.

Si penipu pula, dengan sifat penipu itu mampu membuat kita nampak dia seperti orang yang pandai, orang yang bodoh, orang yang kaya atau orang yang miskin. Mana-mana pun boleh dilakonkan watak itu di hadapan kita mengikut apa kepentingannya.

Dalam memulakan hubungan, jauhkan diri dari Si penipu, walaupun kita kata kita pandai 'handle' orang seperti ini, kerana tiada penipu yang boleh berhenti menipu. Kenapa? Satu penipuan perlu ditutup dengan tiga penipuan. Kira sahajalah gandaannya berapa. Jika terpaksa pula berkawan dengan si bodoh, ajarlah dia jadi cerdik. Si bodoh boleh menjadi cerdik kalau kena gaya dan usahanya.


Kepada Si penipu, jika yang ditipu isu diri sendiri, itu terpulang. Namun, kalau ia melibatkan hak atau kepentingan ramai orang - tunggu sahaja bala yang datang. Janji Allah adalah benar, doa orang yang dizalimi akan diangkat. Jika kita tergolong dalam kumpulan yang dizalimi, senyum banyak-banyak pada ALLAH... doa banyak-banyak. Semoga semuanya diangkat. Jangan lupa doakan kawan-kawan yang masuk dalam kumpulan Si bodoh supaya cepat jadi cerdik.

Paling penting, doakan diri sendiri dan keluarga tersayang supaya ALLAH lindung kita semua dari menjadi seorang penipu dan seorang yang bodoh. Amin


Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
ALHAMDULILLAH.... Tahniah Harimau Muda... Tahniah kepada Penolong Jurulatih Tak Rasmi (PJTR) kepada Ong Kim Swee, iaitu Suami saya yang cute. Apatah lagi, malam ini tugasnya disokong oleh Pembantu Penolong Jurulatih Tak Rasmi (PPJTR), iaitu Anak saya yang juga cute, dalam memberi arahan, komen dan motivasi dari luar padang, dari luar stadium, dari luar Jakarta dan dari luar Indonesia. Usaha mereka melalui telepati kepada pemain dan jurulatih memang berbaloi. Bukan itu sahaja, para pengadil juga nampaknya mendapat isyarat telepati mereka berdua dengan jelas...:-) Tak perlu guna satelite pun.....

Saya pasti, malam ini tidur mereka berdua lena dan semoga mimpi indah.  Nampaknya harapan saya di entri sebelum ini menjadi kenyataan. ALHAMDULILLAH....

Saya jarang menulis entri di blog ini pada hari selain Sabtu & Ahad. Namun, saya mengambil sedikit masa untuk menyatakan, ini adalah hadiah dari ALLAH. Doa kita dimakbulkan. ALLAH memang sangat sayangkan Malaysia. Fa-biayyi alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban.

Tahniah! Jurulatih & Krew yang komited, Kapten yang sangat bermotivasi, Penjaga Gol yang cekap dan Pertahanan yang nampak gagah, Penyerang & Midfield yang nampak garang.

Satu saya kena tegur, kena kawal sifat marah dan baran. Ada satu dua pemain, marah sampai nampak di muka. Ia melemahkan jiwa, walaupun anda bermain permainan yang anda suka. Hilang konsentrasi dan merugikan. Terkadang peluang depan mata, hingga terlepas kerana tergesa akibat rasa hangat di hati itu. Malah sifat itu menyebabkan anda menidakkan sifat kerjasama sepasukan.

Belajar dari Kapten... Macamana dia boleh sentiasa senyum? Lari senyum. Gol Senyum. Jatuh Senyum. Bangun lagi, juga senyum. Sambung lari pun senyum. Mungkin itulah sebabnya ALLAH beri hadiah buat Kapten yang sentiasa senyum.... hingga bola yang ditendangnya melantun lembut bergolek masuk ke gawang gol... macam tak percaya.....

Buat pasukan yang dapat pingat warna lain..... cuba lagi lain kali. Kali ini, rezeki kami.

Akhirkata, teruskan usaha....Semoga berjaya mengalahkan Syria pada 23 November 2011 ini... Teruskan keberanian dan semangat Harimau Muda ...

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

[i]Fa-biayyi alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban bermaksud Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan. Surah Ar-Rahman.
Hendak jadi orang hebat memang kena tough dalam semua hal. Paling sedih, terkadang si pemerhati sudah tidak anggap kelebihan itu perlu dihargai, malah terkadang pihak lawan yang mendapat kelebihan motivasi dari si pemerhati.

Contoh, Superman.... banyak cerita superman, versi lakonan atau kartun, tiada siapa peduli jika dia terseksa akibat Krypton. Dia kena selamatkan diri sendiri. Kasihan.

Saya terfikir untuk menurunkan tinta ini apabila menyaksikan Datuk Nicol David beraksi dalam perlawanan akhir Skuash Terbuka Hongkong 2011. Setiap aksinya memang menarik, penuh fokus dan penuh taktik, sesuai dengan gelaran lagenda Skuash dunia yang di dalam genggamannya kini. Jika dia mendapat mata, tidak mendapat tepukan... mungkin semua berkata di dalam hati Well... She is Nicol David.

Namun apabila lawannya, Raneem Al Waleily dari Mesir yang berusia 22 tahun, seorang bakat baru dalam dunia Skuash, membuat sedikit aksi, tepukan gemuruh yang diterima.... Jika itu satu motivasi, tentu Nicol David juga wajar mendapat tepukan. Apatah lagi mereka bertarung di gelanggang neutral. Benar apa yang di kata Joe Bannet, watak di dalam sebuah siri drama berkata Once you are up there, the only place to go is down here. And people is waiting the time happen...

Saya pasti, seperti Superman, Nicol dah lali dengan hal ini. Dan demi Malaysia, saya berharap Nicol akan terus berada di persada kecemerlangan itu.


 
Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya 
ALHAMDULILLAH... TEAM MALAYSIA setakat tadi yang saya tahu, Malaysia dah dapat 51 pingat Emas.

Paling saya suka saksikan bersama keluarga adalah acara Wusyu.... kami cubalah nak jadi salah seorang pengadil. Walaupun sasaran markah sering lari jauh.

Suami saya pula jadi Pembantu Jurulatih Tak Rasmi (PJTR) kepada Ong Kim Swee, jurulatih bolasepak. Kira oklah... sebab saya pun boleh faham arahan dia. Semoga masa final dia terus bertugas dengan baik dan semoga ALLAH menghadiahkan pingat Emas buat pasukan bolasepak... sebab saya tak nak buat PJTR sedih dan tak boleh tidur. Dah lah tak dapat pergi Jakarta, tak dapat nak join naik barracuda...... Bila team bolasepak dapat emas, saya percaya itu akan menjadi pembakar semangatnya untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran buat pasukan Bolasepak Kebangsaan pada masa depan. Saya akan jadi saksi yang setia...

Paling saya tak sanggup nak saksikan acara yang menyakitkan badan seperti tinju, karate-do, silat. Banyak usaha untuk meredakan perasaan oleh mak-mak peserta yang menyaksikan anak mereka kena belasah di kaca TV. Paling syahdu bila saksikan angkat berat wanita.... kasihan... nampak tersiksa. Memang! Tak sanggup!

Paling saya geram..... bila saluran yang saya bayar, tak ada gambar. Pula berlaku masa acara penting yang satu keluarga berkumpul untuk saksikannya bersama... Alasan cuaca macam tak boleh terima sebab penaiktarafan sistem kerap dibuat, malahan bayaran tak boleh lambat. Akhirnya... duduklah ramai-ramai dalam bilik tidur... tengok TV  lama melalui saluran RTM 1... memang tak pernah mengecewakan. Saluran Tengok Tak Tengok Kena Bayar pulak tetap macam tu..... Siapa nak jawab?

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Setiap kita mesti bersyukur dengan apa yang ALLAH SWT berikan kepada kita. Namun terkadang kita terlepas perbuatan dalam kehidupan seharian. Untuk mengakuinya pada orang lain mungkin sukar. Namun, jika kita tidak mengakuinya pada diri sendiri, lantas proses memperbaiki diri adalah suatu perkara yang mustahil dan tidak mungkin akan berlaku.

Sayang, sepanjang tempoh kita duduk dalam kebodohan dan memperbodohkan diri, mungkin kelima - lima perkara sebelum, seperti yang tersebut di dalam Sabda Rasulullah SAW akan terlepas tanpa kita sedar. Jadilah kita manusia yang beruntung tapi tak tahu diuntung.

Kenapa?

Kita mungkin berjaya dalam satu fasa kehidupan, kita berjaya melaluinya namun harus diingat dalam setiap apa yang kita dapat, adalah anugerah dari ALLAH SWT atas keinginan kita, usaha kita dan doa kita, setentunya kerana kasih-sayang dan belas kasihan dari NYA. Pada fasa yang lain kehidupan yang seterusnya, kita mungkin jadi manusia yang paling tidak bahagia, menyesal dan hidup melara. Hendakkah kita begitu?

Satu demi satu kekhilafan dan kesilapan yang kita lakukan sejak baligh akan ALLAH SAW datangkan semula ingatan tersebut pada kita pada bila-bila masa kerana ALLAH masih ingin memberi peluang untuk kita bertaubat. Sejak menghampiri usia 40, itu yang berlaku pada saya. Dan mana-mana individu yang telah melepasi tempoh umur itu, yang saya hubungi dan bersetuju untuk berkongsi cerita, juga mengakui bahawa mereka juga melalui pengalaman yang sama.

Apa yang saya harus lakukan?

Kakak saya kata, patut bersyukur kerana saya menyedari petunjuk dariNYA. Walaupun saya akui, ada sesetengah ketidak sempurnaan itu begitu mengganggu fikiran sebenarnya. Kakak saya kata jangan biarkan, dengar petunjuk itu dan ambil tindakan perlahan-lahan.

Contohnya,

Solat... Bila kita mula yakin dengan Solat yang kita lakukan? Masa remaja dulu, terkadang solat macam ribut. Lebih ribut dari berlari keluar jumpa kawan untuk bermain bersama di pangkin belakang rumah. Buat kerja sekolah dan tolong Mama pula macam siput.

Puasa... Bila kita mula puasa dengan sempurna mungkin?

Dalam hal Solat dan Puasa, bukanlah tidak solat atau tidak puasa, namun bersolat dan berpuasa yang BERASA. Sedikit sebanyak, boleh rasa solat itu atau puasa itu. Apa rasa ketika hendak menyerahkannya kepada ALLAH SWT. Itu maksud saya.

Bayar Zakat Pendapatan.... Bila kita mula membayar zakat pendapatan? Ironinya, ketika saya menjadi pengurus dulu, beria-ia saya memanggil pegawai KWSP dan HLDN datang ke organisasi saya untuk mereka memberi penerangan tentang hak dan tanggungjawab pekerja bawahan saya, yang rata-ratanya orang muda. Namun saya tidak terfikir pula untuk memanggil Pusat Zakat memberi penerangan yang sama. Ampunkan aku, Ya ALLAH.

Adakah saya ingin menjadi orang yang beruntung tapi tidak beruntung?

Orang yang dianugerahkan ibubapa yang baik, tetapi mudah melupakan jasa mereka.
Orang yang diamanahkan suami dan keluarga yang bahagia, tetapi mudah mengetepikan sumbangan mereka.
Orang yang dianugerahkan sahabat yang baik, namun, hanya kerana berpisah arena, sepotong doa pun tidak saya ucapkan untuk mereka...

Masya-ALLAH. Inilah manusia memang lalai. Saya lalai dan wajib buat saya untuk keluar dari kelalaian itu.

Bagaimana untuk saya perbaiki kehidupan saya agar hidup saya lebih berkat pada masa hadapan.

i) Bayar balik semua hutang..... hutang puasa, yang masih berhutang, jika ada. Jangan lupa fidyahnya sekali. Hutang Zakat, malah pendapat sekarang, walaupun sedikit, bayar zakat siap-siap. ALLAH akan mengimarahkan lagi rezeki kita Insya-ALLAH. Hutang pinjaman pendidikan, hutang bank dan apa juga hutang duit, usahakan untuk kita bayar balik. Keberkatan rezeki amat penting. Duit yang kita bawa masuk sebagai rezeki keluarga akan jadi darah daging... mesti halalan toyyiban. 

ii) Ganti Solat .... tips ini saya dapat dari beberapa orang tua yang saya kenal. Setiap masuk waktu, mereka akan solat 2 kali, satu untuk waktu itu pada hari tersebut, satu untuk ganti waktu itu pada hari terdahulu.

iii) Buat baik banyak-banyak. Minta Ampun dari ALLAH SWT. Hanya DIA yang  berhak mengampunkan kita. Semoga Syurga di Akhirat ini buat kita atas kebaikan dan usaha kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. 

Wallahuaklam.


Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
Istiqamah atau Konsistensi????? Saya perlu struggle dalam hal ini.

Sepanjang persekolahan, hanya markah subjek Matematik sahaja yang konsisten. Bila saya diperkenalkan dengan Matematik Tambahan, markahnya juga konsisten kerana saya cintakan nombor sejak saya kecil. ALHAMDULILLAH...

Subjek lain? Ikut mood saya dan ikut cikgu.... saya suka atau tidak. Jika suka.... subjek Kimia yang saya sukar tangkap pun, saya boleh dapat A, kerana pensyarah yang begitu bersungguh-sungguh melayani pertanyaan bodoh saya, walaupun itu hanya paper option di USM dulu. Subjek Fizik pula buat saya kerap hilang mood, walaupun hanya melihat muka depan buku.... kasihan pada Cikgu Fizik saya dari Tingkatan 4 hingga Matrikulasi 1. Lepas tarikh itu, saya lelong buku Fizik saya. Tentu pada adik-adik saya... Kelakarnya, semua adik-adik saya suka subjek Fizik, dua darinya mengambil bidang kejuruteraan... ALHAMDULILLAH, rezeki mereka. 

Bagaimana untuk konsisten??? Istiqamah dalam erti kata yang sebenarnya. Pada hari ini saya terfikir untuk merekodkan prestasi konstensi saya dalam beberapa perkara yang saya usahakan. Tentu menarik. Jika saya ada Diari Kerja sejak Tahun 2000, saya juga ada Catatan Pencapaian sejak 17 Oktober yang lalu... Saya akan buat sesuatu tentang sikap ISTIQAMAH saya. Menuju ke usia 40 tahun beberapa tahun lagi... saya tidak mahu jadi buluh keras yang patah bila dilentur...

Dari beberapa rancangan TV, buku yang saya rujuk dan siri perbincangan dengan mereka yang rapat. Saya rancangkan semua yang di bawah:

i) Mengenal pasti semua perkara yang saya ingin Istiqamah....
ii) Mengenal pasti perkara seronok yang akan saya dapat jika saya lakukan perkara (i)
iii) Mengenal pasti perkara tak seronok yang akan saya dapat jika saya tidak lakukan perkara (i)
iv) Mengenal pasti tahap Istiqamah yang saya ingin capai
v) Mengenal pasti kaedah merekod prestasi Istiqamah saya

Tempoh masa.
Yang ini menarik... kena ada tempoh masa sebab Anytime Means No time. Saya dengar di sebuah rancangan TV, jika kita nak perbaiki diri, kita kena buat berturut-turut 40 hari. So, 40 days it will be.

Prinsipnya:
i) Buat kerana ALLAH SWT.
ii) Buat untuk diri sendiri.
iii) Buat perkara kecil dulu.
iii) Buat bermula sekarang.

Projek ini bermula dari 21 Nov - 30 Disember 2011.

Semoga mendapat izin dari ALLAH SWT untuk saya berusaha dan berjaya mencapai sasarannya. Amin

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya
ALHAMDULILLAH.... Bermula 17 Oktober 2011

Semalam, 16 November 2011, cukup sebulan apa yang saya lakukan, secara sebaik mungkin saya lakukan mengikut perancangan yang saya tetapkan. ALHAMDULILLAH.... menunjukkan hasil rezeki yang amat memberangsangkan. Apa yang pelajari, dari pengalaman selama sebulan ini?

i) Mohon rezeki dari ALLAH SWT - ALLAH pemilik rezeki untuk semua hambaNYA.

ii) Buat perancangan dengan baik - perancangan akan buatkan kita selalu on-track. Jika berjaya, ia membuatkan kita lebih bermotivasi. Jika tidak, kita akan pastikan kita masuk track balik.

iii) Jelas dengan sasaran - Dari sasaran keseluruhan, kita mesti segmenkan ke sasaran lebih kecil mengikut tempoh masa yang sesuai.

iv) Ada Coach/ Mentor yang baik - Ini penting kerana kita manusia dan kerap sit in our own box. We need somebody who can see us from outside the box and willing to give us a professional advice. Lebih manis, jika kita ada coach yang understand us like they are in the box together with us, but give a good and professional advice like they are outside the box. Contoh, Suami atau Isteri.

v) Tiada yang BIASA-BIASA/ Tiada yang SIA-SIA - setiap hari yang dilalui adalah berbeza sifatnya dan cabarannya. Tiada pengalaman yang biasa-biasa dan sia-sia. Semua pengalaman perlu diteliti dan dipelajari intipatinya. Kerana tiada perkara yang berlaku, berada dalam 100% sama keadaannya dan sifatnya.

vi) Ambil apa sahaja peluang - kill like a sniper.... seperti yang saya pernah tulis dalam entri blog terdahulu.

vii) Jangan Tamak - Mencari penghasilan yang wajar dengan risiko yang wajar. Dalam hal ini, orang Melayu seperti saya kerap dikatakan sebagai orang yang nak cepat kaya. Malas tapi nak cepat kaya. Jangan marah.... Saya kata pasal diri saya... Oh! Anda juga Melayu? Maaflah, itu hakikat... lebih baik kita terima, baru kita boleh nampak kelemahan dan perbaikinya. Saya tak emosi? Tentu emosi... tapi saya lebih suka untuk salurkan emosi saya menjadi energy untuk mengubah diri. Ini adalah hakikat. Tiada perniagaan bermodal RM10.00 boleh jadi RM1,000.00 tanpa risiko yang sangat tinggi.

Metaforanya begini, modal RM10.00 boleh jadi RM15.00 dengan risiko bernilai 5. Contoh, Mak Gayah yang jual kuih.
Modal RM 10.00 boleh jadi RM20.00 dengan risiko bernilai 10. Contoh. Ali yang jual air soya.
Dan jika inginkan untung yang semakin besar, dengan modal yang sama sebanyak RM10.00, tinggikan risiko, hingga kita mungkin hilang modal kita, RM 10.00 atau modal yang lain seperti networking, persahabatan, persaudaraan, nilai diri dll. Lihat sahaja orang yang membeli nombor ekor atau mereka yang terlibat dalam skim cepat kaya, apa yang mereka risikokan..... contoh yang baik bukan?.

Pada pendapat saya, apa yang paling penting adalah menjaga modal. Jaga modal pokok. Modal kena bertambah setiap hari, jika inginkan perniagaan bertambah besar.

viii) Buat apa sahaja untuk meningkatkan peluang berjaya.

ix) Berdoa banyak-banyak dan minta restu dari mereka yang menyayangi kita dengan hak - suami, ibu & bapa, anak-anak dll.

x) Rekodkan setiap pencapaian. Ini membolehkan kita menitip semula setiap asam garam rempah ratus pengalaman kita, yang mana, dalam tempoh yang ALLAH sahaja tahu, mungkin akan kita lalui senario seakan ini semula.

xi) Disiplin & Konsisten - Ini penting untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi. Saya akur tiada kejayaan untuk mereka yang tidak berdisiplin dan tidak konsisten.

xii) Setiasa bersyukur kepada ALLAH SWT. Bersyukur jika dapat balik modal. Bersyukur jika dapat untung RM1.00. Bersyukur jika dapat untung RM5.00. Jangan lupa.... modal kita cuma RM10.00. Apatah lagi jika ALLAH beri lebih.

xiii) Jangan buruk sangka pada ALLAH SWT. Jika Mak Gayah baru menyusun kuih di gerai dan hujan turun, Mak Gayah merungut kenapa hujan. Sedangkan ALLAH hendak turunkan hujan itu sekejap sahaja. Hujan itu juga menyebabkan ramai suri rumah terlewat bangun, hingga tak sempat menyediakan sarapan pagi.... Apa lagi... Para Suami kena bergegas ke gerai Mak Gayah untuk beli kuih dan Nasi Lemak untuk sarapan pagi sekeluarga... rezeki siapa tu? Mak Gayah patut malu kerana merungut tentang hujan turun...   

Rasa risau TAK APA kerana kita adalah manusia.
Merungut TAK BOLEH kerana kita cuma manusia.   

Semoga ALLAH SWT mengizinkan saya terus mampu berusaha dan mampu mencapai apa yang saya dan keluarga hajatkan. Semoga rezeki ini diberkati, dapat kami sekeluarga gunakan untuk menjadi perantaraan kami terhadap apa yang kami hajatkan iaitu kebahagiaan di dunia dan Akhirat.

Kepada ALLAH SWT, kami berserah.

Saat Pena Di Genggaman...
Iza Safiya

[Kod : P 544/1935 - A 659/485]