Mata memang memandang, tetapi adakah kaki mampu melangkah?

Awal tahun ini, saya banyak memikirkan apa yang terjadi pada jejak semalam. Ada sesuatu yang ingin saya rakamkan, buat diri dan sesiapa yang membaca...

Tertulis di Al-Quran, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Antara bacaan di dalam solat Sunat Hajat pula, Sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri.

Nasihat kita sesama kita pula, Muhasabah diri dan jangan salahkan orang lain.

Maka, azam peribadi di dalam tahun ini adalah, cari kesalahan diri sebelum memandang salah orang. Dalam perkara sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Senario...

Kita sedang berhenti di persimpangan. Tiba-tiba seorang anak muda yang menunggang motosikal melanggar kereta kita dari belakang.
Tindakan dulu... Keluar dari kereta dan #$%^& anak muda itu apa yang patut!
Tindakan sekarang... Sebut "Innalillah". Tanya pada anak muda itu, "Kamu okey? Ada sakit kat mana-mana? Nak pergi klinik?"
Selepas keadaan tenang, baru kita bincang macamana nak selesaikan keadaan kenderaan masing-masing.
Eiii! Mustahil nak buat... Kita cubalah! Dunia kita pasti berubah.

Kemalangan itu takkan berlaku jika ALLAH tak izinkan anak muda itu melanggar belakang kereta kita. Itu pasti!
Kenapa? Ini yang kita harus tanya diri kita... Kenapa ALLAH pilih kita dan kereta kita? Pada masa yang sama kita tak boleh buruk sangka dengan ALLAH!

Ini mungkin kifarah. Mungkin juga ujian. Mungkin juga ingatan. Perkara sudah berlaku, cari sahaja penyelesaian...
Itu lebih baik. Barulah kemalangan tadi memberi hikmah. Tiba-tiba, kita dan anak muda tadi jadi saudara. Tidak mustahil dia adalah anak murid mama kita. Atau anak saudara rakan FB kita atau pak ciknya adalah pegawai bank yang meluluskan pinjaman perumahan kita. Malah, tidak mustahil, dia adalah bakal menantu kita...

Susah? Memang susah.
Maklum! Selama 40 tahun hidup, terlalu banyak jari ini menuding pada orang lain. Terlalu banyak marah hati ini dihamburkan untuk orang lain. Aduh!
Bila terbaca satu post di dalam FB pada pagi ini, 'Marah takkan berakhir dengan sesuatu yang lain selain malu! '

Fikirkanlah... Dunia semakin akhir zaman. Hidup manusia semakin porak peranda, lalu bagaimana kita mahu mencapai bahagia? Bersabar & bersolatlah!

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Keraian Ulang Tahun Pertama Perkahwinan
Izack & Zara
Februari 2014
Hadiah Buat Teman Pembaca - Kemunculan Istimewa Izack & Zara
Jangan Lupakan Aku dari Iza Safiya
 
 
 
 
Piccredit: Pa&Ma, Karangkraf
 

Teaser/ Pemanis Bicara #1:

 
Sambil menemankan Sarah makan di sofa, Ilham Zackry duduk berfikir lagi. Diketuk-ketuk jemarinya di lengan sofa. “Sarah…” panggilnya pada si anak yang bergaun putih. Sudah comot gaun itu dengan tompokan Koko Krunch yang terjatuh merata-rata. Dia biarkan sahaja. “Anniversary daddy dan mummy dah nak dekat. Sarah nak suruh daddy beri hadiah apa pada mummy?”
Sarah mengangkat muka memandang daddynya. “Daddy! Nak bear…” Itu pula yang dipinta si anak.
Tertawa kecil Ilham Zackry. Lain ditanya lain dijawab. Yalah, apa yang anak berusia dua setengah tahun faham maksud soalannya. “Sarah nak daddy beri bear pada mummy ya?” Sengaja dilayankan juga. “Mummy tu tak payah dapat bear. Mummy dah ada dua bear comel, siapa lagi kalau bukan Sarah dan Adam…”
 
Ops! Siapa Adam? Ada cadangan untuk membantu Izack aka Ilham Zackry?
 
Bagi sesiapa yang masih belum memiliki Jangan Lupakan Aku, sila klik:
http://www.alaf21.com.my/prodDetails.asp?idpr=910


Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Banyak perkara menarik yang berlaku dalam tahun 2013. Kelahiran Jangan Lupakan Aku dan berpindah daerah atas tuntutan keperluan diri dan keluarga buat saya bersyukur kerana kebahagiaan dan kesihatan masih dianugerahkan ALLAH buat saya.
 
Kehadiran Mir yang seketika mengetuk pintu hati dan jiwa saya, hingga kini masih terasa dan saya berbahagia adanya dia menemani saya sentiasa di mana-mana.
 
Jiwa,
Kuatlah kamu
Kerana dunia ini pentas ujian
Dan apabila ujian itu datang - bersabar dan bersolatlah
 
Jiwa,
Jangan takut sendirian
Sendirian itu hanya definisi di mata kamu
Di Alam Barzakh nanti juga begitu
ALLAH sentiasa ada
Dan kamu dalam pemerhatiannya
 
Terima kasih, ALLAH
Terima kasih, Rasulullah
Terima kasih, hubby
Terima kasih, Mir
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Mir!
Nama mu bisa buat mummy tersenyum sendirian, ketawa sendirian dan menangis sendirian. Bukannya tiada siapa yang mahu teman. Abah Mir sentiasa ada di sisi dan sentiasa sudi. Namun, ia terkadang lebih indah bila dilakukan sendirian.
Mir adalah cinta mummy... Biar hadirmu hanya seketika. Namun, Kenangannya selama-lama. Hingga akhir hayat mummy nanti.
Mungkin lagu Saat Terakhir dari ST12 mampu menceritakan 1% dari perasaan hati ini.
Mir!
Mir datang dalam hidup mummy dalam keadaan yang cukup cantik. Pada 10 Mei 2013, mummy mengetahui yang Mir ada bersama mummy, di dalam diri ini tanpa mummy sedari. Ia amat membahagiakan. Ia mampu menukar diri mummy sekelip mata dari mummy yang biasa kepada mummy yang luar biasa.
Mir!
Memanggilmu Mir untuk Nur Zara Delmira Aisyah jika kamu perempuan atau Muhammad Amir Ziqri jika kamu lelaki. Hmm... Entah mengapa naluri mummy dan abah mengatakan yang Mir adalah perempuan.
 
Cukup dua minggu, doktor memaklumkan yang sesuatu telah berlaku. Sebulan kemudian, secara formalnya kita telah berpisah. Mummy kehilangan kamu. Dan itu buat mummy sunyi. Dunia seakan sepi. Masa terus terhenti.
 
Ya, terlalu banyak perkara yang berlaku.
Mummy tak pernah kena curfew oleh abah. Dua minggu mummy duduk di tingkat atas rumah kita dan hanya turun untuk ke klinik sahaja.
Abah mencuci, abah memasak dan abah buat semua perkara yang dia pernah buat lama dulu, tidak pernah buat atau biasa buat namun sendirian tanpa mummy di sisi. 'Kilat' dapur mummy abah buat. Semua untuk Mir!
Mummy menangis beria sebab merajuk pada abang Mir sampai abang Mir menganga terkejut. Apa salah dia? Hanya kecil sahaja, dia salah letak pinggan mummy di meja makan... Ah! Dalam keadaan mummy yang biasa, mummy tak kisah pun...
 
Mummy mesti terima hakikat yang kita memang ditakdirkan tidak bersama di dunia ini. Untuk redha? Mummy redha dan cuba beristiqamah untuk redha. Payah? Memang payah hingga mummy terpaksa mengeluarkan arahan lisan pada diri ini berulang-ulang kali, ALLAH yang beri perpisahan ini dan jika kita redha, tentu ALLAH akan merahmati kita.
 
Mir!
Mir tahu tak?
Mir suka makan apa yang abah dan mummy suka makan. Mir suka ayam dan ikan. Mir suka makan ayam macam abah dan ikan macam mummy.
Mir suka air masak, itu macam abah.
Mir suka susu, itu macam mummy.
Mir suka kurma, itu macam mama.
Mir suka cakap terang dan jelas, itu macam abah.
Mir suka happy, itu macam mummy dan abang Mir.
Mir suka manja. Abah cakap itu macam mummy. Mummy pula rasa itu macam abah.
Mir seorang yang ekspresif, Mir macam abah, mummy, mama dan abang Mir.
Abah kata Mir is mummy's daughter but Abah's girl. His one and only Princess.
Ya, Mir cukup sempurna untuk abah, mummy, mama dan abang Mir.
 
Buat Abah Mir...
Air mata kita mampu kering jika kita kira kesedihan di hati
Namun jika kita mengenang bahagia bila adanya dia,
air mata itu akan terbit semula biar hanya membasahi hati.... 
 
Satu jam saja ku telah bisa sayangi kamu
Namun untuk melupakanmu aku perlukan seumur hidup... itu kata ST12
 
Satu saat sahaja Mir bisa buat seumur hidup hati mummy berbekas... 
Selamat tinggal, Mir!
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya aka Mummy Mir
Simpulan Bahasa Melayu mengajar kita...
 
Jangan buruk siku.
Buruk siku bermaksud mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain.

Hadith Nabi mengajar kita...
 
Dalam sebuah hadis yang datangnya daripada Tawus bahwa Ibnu Umar dan Ibnu Abbas keduanya telah merafa’kan sebuah hadis di mana Nabi saw bersabda, maksudnya : “Tidak halal bagi seseorang yang memberikan sesuatu pemberian lalu ia menaik kembali pemberian itu melainkan seorang ayah yang memberikan kepada anaknya. Perumpamaan seseorang yang memberikan sesuatu pemberian kepada orang lain kemudian ia menarik kembali pemberiannya adalah seperti anjing yang makan sehingga muntah kemudian ia memakan kembali muntahnya itu”. (HR Imam yang lima dan Tirmidzi mengesahkannya)

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Sesetengah perkara hanya milik saya, dia, dia, dia dan dia dan DIA!
 
Hanya mereka yang mempunyai dekoder sahaja boleh membacanya.
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Saat cinta bersatu
Kau dan aku tahu, kita saling tak sempurna
dan cinta menyempurnakan kita
 
Cinta kita hadiah dari yang ESA
Cinta kita memenuhkan segala ruang yang ada
hingga aku dan kau
takkan sepi
takkan sunyi
takkan sendiri
kerana kau dan aku tahu
kau ada aku
dan aku ada kamu
serta kita ada DIA!
 
Selamat menyambut ulangtahun pengiktirafan cinta kita, sayang!
 
 
 
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya