Saya tidak percaya yang saya akan sayangkan dia sehebat ini. Kami berlainan ibu dan bapa. Kami berlainan generasi. Apa hubungan saya dan dia? Dia anak saya tapi saya bukan ibu kandungnya.
 
Sungguh Saya Sayangkan Dia...
 
Kecilnya dulu dia manja... Mmm... Dia suka coklat Cadbury. Mama dia beri dia makan dua atau tiga atau lebih sikit. Dia akan buka pembalutnya dengan jarinya yang mungil buat saya geram, rasa nak gigit... Oh! Dia pernah kena gigit di nursery. Mungkin sebab dia putih melepak dan gebu...
 
Kecilnya dulu dia bijak... Mmm... Dia mewarisi kebijaksanaan Mama dan Abahnya.
 
Kecilnya dulu dia aktif... Mmm... Berilah dia permainan apa sahaja, dia akan main sepuas-puasnya... hingga saya tidak mengerti bila dia rasa penat... Dialah satu-satunya anak kecil yang menasihatkan saya, pada waktu itu umurnya lima tahun...
 
"Cikgu, bawa kereta baik-baik! Pegang kunci rumah baik-baik. Jangan sampai jatuh! Nak lintas jalan tengok kiri kanan..." Ketika itu, saya mahu pulang selepas menziarahi dia dan keluarganya. Saya ketawa bahagia di tepi jalan pada waktu itu. Bahagia dinasihatinya demikian sekali. Terasa diri amat disayangi.
 
Kini dia sudah dewasa. Ya! Umurnya sudah sebelas tahun. Sudah pandai malu. Masih manja, aktif dan tentu sekali amat bijak. Tapi sudah malu. Saya pula yang kadang-kadang hilang malu. Saya masih mahu memeluknya dan menciuminya. Sepuas-puasnya hingga melekat semua baunya pada hidung saya.
 
Akhir minggu lepas, saya bertemunya. Saya katakan, "Cikgu minta maaf sebab Cikgu masih mahu peluk dan cium kamu. Cikgu tahu kamu tidak gembira sebab kamu fikir kamu sudah dewasa. Tapi dalam hati Cikgu, kamulah insan yang paling cute dan comel dan Cikgu masih gagal membuang ingatan itu. Ini mungkin pelukan dan ciuman kali yang terakhir. sampai masanya, Cikgu tidak akan memeluk atau mencium kamu lagi. Cikgu terpaksa wakilkan Mama dan Abah kamu untuk melakukannya bagi pihak Cikgu... Walaupun itu sebenarnya yang paling Cikgu ingini untuk lakukan sendiri..."
 
Dia mengeraskan badannya ketika saya memeluk dia dan menciumi dia. Dia mungkin sudah tidak rela. Dan saya tidak boleh lagi memaksa. Hari ini, takdir ALLAH, saya memikirkan dia. Saya terima hakikat, itu mungkin pelukan dan ciuman yang terakhir dari saya untuk dia... Sungguh, saya sayangkan dia dan saya doakan dia bahagia dan berjaya di dalam kehidupannya... Ya! Dia sudah dewasa... Memang manja, aktif dan bijak, macam yang saya suka. cuma, dia sudah dewasa...
 
Saat Pena di Genggaman,
Iza Safiya
 
p/s: Sekadar satu coretan. Kebanyakan watak anak manja dan bijak, saya dedikasikan buat dia... Irfan Helmi dalam Ilham Cinta, Delmira Aisya dalam Ijtihad Cinta, Baby Sarah dan Haikal dalam Istana Cinta. Jika saya yang bukan mamanya, amat sayangkan dia, saya yakin Mama dan Abahnya pasti sayangkan dia lebih lagi. Sampai nak pecah dada! 
Mmm... Kita mesti letak target sebab dah tahun baru... Tahun ini saya mahu jadi hamba ALLAH yang lebih baik hubungannya dengan ALLAH dan manusia. Saya mahu saya sayang ALLAH lebih lagi dan saya mahu saya sayang diri saya dan hamba ALLAH lebih lagi.
 
Saya mahu pandang apa juga yang ALLAH beri pada saya adalah untuk saya kongsikan pada hamba ALLAH yang berhak. Saya mahu pandang jika saya gagal tentang sesuatu, saya redha yang saya belum berhak untuk mendapatkannya tetapi itu tidak bermaksud saya juga gagal untuk membantu insan lain mendapatkannya kerana mungkin mereka lebih berhak dari saya.
 
Mmm... banyak yang saya kena fikir untuk buat dengan cara yang paling berhikmah dan ikhlas. Apa yang lebih penting adalah istiqamah dan ikhlas.
 
Saat Pena di Genggaman,
Iza Safiya  
Wanita dan air mata? Mujur air mata itu percuma... Jika tidak, wanita tiada sahabat sejati. Siapa sahabat sejati wanita? Saya tanya diri saya semula... Air mata? Oh bukan... Pemilik air mata... iaitu ALLAH. Jika bersedih, menangislah sepenuh hati. Moga ALLAH dekat dengan kita. Tapi jangan lama-lama, hati yang terlalu lama berduka, ada syaitan di dalamnya.

Bila susah hati, ingat ALLAH... Jangan ingat manusia dulu. Ingat ALLAH dulu yang mencipta manusia. ALLAH akan pilihkan, manusia mana yang yang jadi asbab untuk kita merasa lega. Mungkin dengan kata-katanya, mungkin dengan sentuhan manjanya atau mungkin dengan doanya. Ada tiga orang yang menjadi pendengar setia pada masalah saya ketika bersedih, Suami, Mama dan Kakak...

Saya bersyukur, bila saya sedih sendirian, ALLAH selalu hantar samada salah seorang atau kesemuanya untuk bersama saya. Bahagianya saya...

Pada waktu sedih, saya menangis. Pada waktu bahagia, saya menangis. Mujur ALLAH beri air mata percuma... jika tidak, bankrap lah saya!

Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya
Setahun lebih saya menulis secara serius, sudah hampir ada empat buah novel campur dua (on the way). Pada 12 November 2012, saya terima berita baik. Salah sebuah novel saya dipertimbangkan untuk diterbitkan. Berita yang dengan izin ALLAH, saya mungkin akan mencatat sejarah buat diri saya dan keluarga... Bahagianya sampai menusuk kalbu, terasa ALLAH sangat sayang pada saya yang banyak kekurangan ini.
Satu malam tidak boleh tidur lena... Rasa bahagia itu disulami dengan sakitnya jantung saya... Saya rasa bahagia, tapi jantung saya sakit... Pelik! Rasa bahu mendapat bebanan. Bebanan untuk memastikan apa yang saya tulis bermanfaat. Saya tidak mahu ianya sia-sia.

Saya mahu, apa yang saya tulis mampu buat perubahan.
Tulisan Arenawati buat saya minat sastera, walhal saya pelajar sains yang gila nombor sejak kecil.
Tulisan Khadijah Hashim buat saya ingin jadi wanita tabah, sebagai mana Mazni dalam Novel Badai Semalam.
Tulisan Tuan A, saya tidak ingat siapa, buat saya sayang pada datuk saya, sebagaimana satu watak dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung, jika tidak silap.
Tulisan Sydney Sheldon buat saya gila membaca untuk memperbaiki Bahasa Inggeris saya. Ada berpuluh koleksinya dalam simpanan di rumah Mama.
Tulisan Prof Kamil buat saya ingin jadi hamba ALLAH yang baik... Ingin segera buat Haji...
Mmmm... Tulisan saya akan buat apa? Saya soal pada diri saya... Tulisan saya mesti jujur dari hati... ikhlas untuk berkongsi cerita... semoga ALLAH izinkan saya mendapat manfaat, yang menerbitkannya boleh mendapat manfaat dan yang membacanya boleh mendapat. Ya ALLAH! Saya akur dengan jantung yang sakit dan bahu yang memberat... 

Ia ibarat ujian yang baru bermula. Saya harap, saya lulus ujian. Kerana saya minta dengan ALLAH, jika usaha ini bermanfaat untuk saya dan orang lain, izinkanlah berlaku. Jika tidak, sembuhkanlah hati saya dari kelukaan kegagalan.
Maka nikmat ALLAH yang mana satu yang saya mahu dustakan? Tidak!
 
Saya tidak akan berputus asa... Ingin lulus ujian dan akan terus berusaha... Usaha itu Mulia, cogankata Temenggong Ibrahim Girls School, Batu Pahat... kerana, jika usaha dengan cara yang betul, kita dapat pahala... Itu yang best!
 
Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya
Seorang yang saya kenal diserang kanser. Tahap 4! INNALILLAH! Sakit dada saya mendengarnya. Bukannya apa, setahu saya dia seorang yang sihat. Kali terakhir saya jumpa pertengahan tahun lepas. Dia sihat, santai dan okey... Apa yang tak kena?
 
Dulu masa di USM, saya ada buat sedikit pembacaan tentang kanser. Ini semua gara-gara Nenek Saudara saya diserang kanser, Abah saya keluar arahan pada saya. Jaga kesihatan! Mungkin kerana Nenek Saudara (kini sudah Arwah) diserang kanser payu dara, hanya saya yang menerima arahan itu, kerana saya anak perempuan tunggal. Mmmm...
 
Antara alasan yang saya ketahui (melalui pembacaan dulu), kanser disebabkan keturunan, terdedah pada asap rokok yang mengandungi karsinogen, pemakanan berlemak dan berminyak serta cara hidup yang tidak sihat.
 
Apa pilihan yang ada?
 
Saya pecahkan kepada dua:
 
i) Jika kita datang dari keturunan yang ada penyakit kanser - elakkan penyebab dua hingga empat. Itu akan accelerate sel kanser untuk hidup subur beranak pinak dalam badan.
 
ii) Jika kita datang dari keturunan yang tiada kanser -  elakkan penyebab dua hingga empat. Tak pasal-pasal, kita menambah bilangan manusia yang ada sel kanser dalam badan.
 
Moralnya, jauhi rokok, minimumkan makanan berlemak dan berminyak dan amalkan cara hidup sihat. Susah? Memang susah! Ini bukan kerja sendirian, ini kerja satu bangsa.
 
Sebabnya :
 
i) isteri yang berkurung dalam rumah pun mungkin akan terkena kanser jika ada ahli keluarga yang merokok.
ii) suami yang tidak merokok mungkin terkena kanser jika isteri hidangkan makanan berminyak selalu.
iii) anak yang tidak merokok dan makan makanan sihat setiap hari pun mungkin kena kanser jika asyik mendengar ibubapa bergaduh setiap hari. 
 
Dalam ketiga-tiga senario di atas, kita tunggulah hasilnya selepas 20 tahun lagi. Saya pasti, jika setiap anggota bangsa tidak berubah, bilangan pesakit kanser, apa juga jenis, pasti meningkat... Persoalannya, adakah itu termasuk kita?
 
Ironinya, kita ada sahaja alasan... 
- "Abang merokok nie... Asap yang masuk dalam dada Abang lagi banyak, Jah!" Itu alasan suami.
- "Kalau Jah tak masak kari, Abang dan anak-anak makan macam siput... Buat penat Jah masak aje..." Itu alasan isteri.
Paling kasihan, belum sempat anak-anak buka mulut, kita cantas dengan berkata, "Along diam! Jangan kurang ajar dengan mak bapak!" Kenapa? Sebab anak akan tanya, "Apa salah Along... kenapa Along yang kena kanser?"
 
Saat Pena di Genggaman
Iza Safiya
   
jalan cerita di dunia ini milik ALLAH! ALLAH beri bahagia. ALLAH beri sengsara. Inilah asam garam hidup orang yang bercinta. Aku pernah berijtihad demi cinta. Tugas aku kini adalah beristiqamah, tetap tabah dan sabar mencari cinta ALLAH yang aku pernah ijtihadkan!
                                                             -SUFIYAH HAMDAN-

ALHAMDULILLAH... UMMI BERSYUKUR AZAM SEORANG LELAKI YANG BUDIMAN. MENERIMA SUFI DAN ANAK-ANAK DENGAN HATI YANG TERBUKA... SAYANGILAH DIA KERANA ALLAH! SUAMI ADALAH PINJAMAN ALLAH... TERKADANG KITA MINTA DIA SAYANGKAN KITA. NAMUN, KITA SELALU LUPA ALLAH YANG BERI RASA SAYANG DI HATI DIA UNTUK KITA.
                                                           -USTAZAH ZAHARAH, UMMI SUFIYAH-

ALLAH yang memiliki aku dan semua yang aku ada. Terkadang aku gembira. Terkadang aku berduka. Inilah ceritera insan sedang bercinta. Aku pernah menerima cinta yang mengilhamkan. Tugas aku kini yang utama adalah beristiqamah, tetap kuat dan tenang mencari cinta ALLAH yang pernah memberi ilham kepadaku!
                                                        -LIA ZULAIKHA ISMAIL-

MAMA TERIMA AZAM SEBAGAI SUAMI LIA SEBAB DIA SEORANG MUSLIM YANG BAIK. DIA LEBIH TUA DAN DAH MATANG, MAMA HARAP DIA SABAR. DENGAN KEDUDUKAN LIA, LIA MEMANG PERLU LELAKI YANG BOLEH LIA HORMATI DAN SANJUNGI SEBAB ANTARA KALIAN, KALIAN HANYA PERLU BERPEGANG PADA SATU IKATAN IAITU PERKAHWINAN. ITU BUKAN PERTALIAN DARAH!
                  -ALlAHYARHAMAH PUAN RAHAMAH, MAMA LIA ZULAIKHA-

Saat Pena Di Genggaman

Iza Safiya

p/s: ISTIQAMAH CINTA adalah sebuah novel motivasi cinta karya Iza Safiya.


Andainya Engkau Rindu
[Karya Buat Suami Tercinta]

Andainya engkau rindu
Engkau kena selalu mengingati saat kita bersama
Hangatnya malam dan dinginnya siang yang meringankan kepala
Setiap lebuhraya dan lorong kecil yang kita susuri
Bersama senda gurau dan tawa yang menyenangkan
Biar terkadang turunnya hujan air mata
Itu hanyalah aku yang suka meminta manja
Atau engkau yang ingin lebih dibelai mesra

Andainya engkau rindu
Hatimu mungkin akan gerhana, itulah jua hatiku
Gerhana hingga dunia kelam semata
Kita mesti usaha untuk hentikan segera! Rindu yang disusul dengan sabar pasti dapat pahala
Aku yakin itu, biarpun aku bukan Tuhan
Aku yakin itu, kerana ‘darah’ antara kau dan aku adalah ‘darah’ yang sama
Bergaul di dalam empangan yang sama di Istana Cinta Kita
Lalu ia mengalir bahagia menuju lautan milik ALLAH yang memiliki cinta
DariNYA, kita jangan malu meminta lagi
Berilah kami cinta! Berilah kami rindu!
Berilah kami juga rasa kuat untuk beristiqamah dalam cinta halal ini
Hingga ke detik akhir nyawa kami
Hingga ke Syurga akhirnya nanti

Andainya engkau rindu
Sebutlah namaNYA
Ada 99 namaNYA! Kau pilihlah satu yang engkau suka
Aku juga ada pilihanku, atau kita berkongsi pilihan yang sama
DIA yang memberi pinjam rasa rindu
DIA yang memberi pinjam rasa cinta
Semoga Rindu dan Cinta yang kita rasa mendekatkan diri kita kepadaNYA
Dan dengan IzinNYA, kau dan aku bersatu biar tanpa bertemu
Semua itu mampu untuk berlaku, pasti dengan izinNYA...


Saat Pena Di Genggaman
Iza Safiya
p/s: INSYA-ALLAH, ini catatan terakhir di dalam Ramadhan 1433H...